ISLAM DAN TOLERANSI AGAMA


Surah al-Fath 48/28-29: Dia utuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan al-din yang benar, agar dimenangkan-Nya terhadap semua al-din. Dan cukuplah Allah sebagai Penyaksi. Muhammad Rasul Allah! Dan orang yang bersamanya keras terhadap orang kafir, berkasih sayang sesama mereka. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia daripada Allah dan keredaan; tanda mereka pada wajah mereka daripada bekas sujud. Demikianlah perumpamaan (sifat) mereka dalam Taurat dan perumpamaan mereka dalam Injil, seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya; ia menguatkannya, lalu ia menjadi besar, tegak di atas batangnya, menakjubkan penanamnya kerana Dia hendak menjengkilkan orang kafir kepada mereka. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih antara mereka keampunan dan pahala yang besar.

Allah swt memberikan janji yang kuat iaitu Dia utuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan al-din atau agama yang benar. Apa yang Allah swt kurniakan itu mempunyai kekuatan untuk menundukkan semua agama-agama yang lain.  Dalam istilah agama yang lain itu termasuklah apa juga isma yang manusia ciptakan, baik liberalisma atau sekularisma atau pluralisma. Ia juga lebih baik daripada apa jua sistem politik seperti demokrasi, sosialis, komunis atau lain-lain. Islam adalah unik baik dari segi sistem, ideologi atau isma. Keunikan Islam adalah ia berteraskan tauhid. Tidak ada al-din atau agama, ideologi, sistem dan isma yang lain berteraskan tauhid. Orang Islam yang mencapai fitrah Muslim menemui tauhid. Kaum-kaum lain terhenti pada tahap fitrah manusia, maka mereka tidak mampu menemui kebenaran yang sebenar iaitu tauhid. Oleh kerana kaum Muslimin satu-satunya kaum yang menemui tauhid, maka kaum Muslimin menjadi ‘keseorangan’ berhadapan dengan semua kaum-kaum yang lain. Bukan setakat berhadapan dengan kum-kaum yang bukan Islam, malah golongan tauhid itu perlu juga menghadapi orang-orang Islam sendiri yang membelakangi tauhid iaitu puak liberalisma, sekularisma dan pluralisma. Kekuatan golongan tauhid satu sahaja iaitu yakin bahawa Allah swt utuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan al-din yang benar, agar dimenangkan-Nya terhadap semua al-din. Golongan tauhid perlu menghadapi kaum-kaum yang lain dengan keberanian dan bijaksana. Dalam Islam sudah ada hujah untuk mematahkan apa juga pendapat dari fahaman liberalisma, sekularisma, pluralisma dan juga kepercayaan syirik. Golongan yang sesat itu tidak mampu mengeluarkan hujah yang benar. Mereka sekadar melontarkan keraguan agar umat Islam menjadi keliru. Mereka mempersoalkan keadilan Allah swt. Jika Allah swt adil mengapa kaum wanita tidak dibenarkan menjadi Khatib dan Imam sembahyang Jumaat? Mengapa talak dipegang oleh kaum lelaki? Mengapa ada yang misikin dan ada yang kaya? Mereka Allah swt jadikan orang kafir? Mengapa Allah membiarkan orang Islam di Palestin dibunuh oleh orang Yahudi? Berbagai-bagai lagi keraguan yang dilontarkan kepada orang Islam. Ingatlah, Allah swt tidak meninggalkan golongan tauhid berhadapan dengan musuh-musuh mereka. Allah swt sudah membuat aku-janji bahawa “cukuplah Allah sebagai Penyaksi”. Allah swt sebagai Penyaksi bukan sekadar memandang, bahkan Dia membantu dan menguatkan orang yang bertauhid, seterusnya memenangkan mereka.

Allah swt telah membuat deklarasi bahawa “Muhammad Rasul Allah!” Allah swt memberikan jalan yang jelas kepada umat manusia. Allah swt melantik Nabi Muhammad saw membina jalan tersebut. Apa juga perintah, larangan, berita gembira, berita menakutkan dan segala informasi yang Allah swt hendak sampaikan Dia sampaikan melalui RasulNya, Muhammad saw. Apa yang Rasulullah saw terima daripada Allah swt, sebelum disebarkan kepada orang lain, baginda saw sendiri mengamalkannya terlebih dahulu. Pengikut baginda saw hanya perlu mengikut apa yang baginda saw buat, tidak perlu mereka-reka amalan. Sembahyanglah sebagaimana Rasulullah saw bersembahyang. Tidak boleh mereka-cipta sembahyang sendiri. Al-Quran menceritakan dengan indah keadaan Rasulullah saw dan orang yang beriman.

Surah al-Baqarah 2/285: Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Rabb (Tuhan)nya, dan (demikian juga) orang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan seseorang (dengan yang lain) daripada para Rasul-Nya.” Dan mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat, (justeru) ampunkanlah kami, Rabbana (wahai Tuhan kami)! Dan kepada Engkau tempat kembali.”

Ikrar orang yang beriman adalah “Kami dengar dan kami taat!”

Surah an-Nisa’ 4/59: Wahai orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah dan taatilah kamu kepada Rasul dan Ulul Amri (pentadbir) antara kamu. Sekiranya ada perselisihan mengenai sesuatu, hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah yang paling elok dan (ianya) kesudahan yang paling baik.

Institusi Islam dibina di atas dua prinsip:
1:  Ketaatan kepada Allah swt.
2:  Ketaatan kepada Rasul Allah dan Ulul Amri.
Ketaatan kepada Allah swt adalah mutlak. Tidak boleh mentaati makhluk sehingga mencabar ketaatan kepada Alalh swt. Jika makhluk ditaati itu adalah kerana mentaati Allah swt. Agar ketaatan kepada Allah swt tidak terpesung, ia mestilah melalui ketaatan kepada Rasul Allah kerana Rasul Allah yang menerima perutusan dari Allah swt. Pengikut Nabi Muhammad saw wajib mentaati baginda saw dalam mentaati Allah swt. Ketaatan kepada Rasul Allah diperturunkan pula kepada ketaatan kepada Ulul Amri, iaitu orang yang mengurus-tadbir hal ehwal kaum Muslimin. Ketaatan kepada Ulul Amri bersangkut dengan ketaatan kepada Rasul Allah. Ulul Amri wajib mentaati Rasul Allah agar mereka tidak mengkhianati ketaatan kaum Muslimin yang di bawah urus-tadbir mereka.

Ulum Amri berada dalam semua peringkat. Ketua keluarga adalah Ulul Amri kepada keluarganya. Ketua kampung adalah Ulul Amri kepada qariah kampungnya. Ketua syarikat adalah Ulul Amri kepada pekerja syarikatnya. Pemimpin negara adalah Ulul Amri kepada rakyat negaranya. Setiap Ulul Amri kaum Muslimin berkewajipan membawa ahli-ahlinya mencontohi baginda Rasulullah saw dan para sahabat baginda.

Surah al-Fath 48/29: Muhammad Rasul Allah! Dan orang yang bersamanya keras terhadap orang kafir, berkasih sayang sesama mereka.

Dalam menghadapi kaum kafir perlu ada ketegasan. Lawan kafir adalah iman. Ia bermakna dalam mempertahankan apa yang diimani mestilah ada ketegasan, tidak boleh bertoleransi. Surah al-Baqarah 2/285 menceritakan tentang iman: “Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Rabb (Tuhan)nya, dan (demikian juga) orang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya.” Induk kepada iman adalah:

Tuhan melainkan Allah
Kesucian akidah tauhid wajib dijaga. Kesucian Zat Allah, Sifat Allah dan Nama Allah dalam iktikad hendaklah dipelihara tanpa toleransi.

Surah al-Maaidah 5/72-73: Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: “Allah itu Almasih ‘ibn Maryam,” sedangkan Almasih telah berkata: “Wahai Bani Israil! Abdikan dirimu dan beribadatlah kepada Allah, Rabb (Tuhan) aku dan Rabb (Tuhan) kamu.” Sesungguhnya sesiapa mensyirikkan Allah, maka sungguh Allah mengharamkan baginya Taman (Syurga) dan tempatnya ialah Api (Neraka). Dan tidak ada untuk orang yang zalim itu seorang penolong. Sesungguhnya telah kafirlah orang yang mengatakan: “Allah itu salah satu daripada tiga,” padahal tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Ilah (Tuhan), Wahid (Maha Esa). Jika mereka tidak hentikan perkataan mereka itu, nescaya orang yang kafir di kalangan mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.

Sesiapa mensyirikkan Allah haram baginya Syurga: mensyirikkan Zat Allah swt dengan mengatakan ada Ilah lain selain Allah swt; mensyirikkan Sifat Allah swt dengan mengatakan ada yang lain selain Allah swt mempunyai kuasa sebagaimana kuasa Alalh swt; mensyirikkan Nama Allah swt dengan mengatakan ada entiti lain bernama Allah selain Allah swt yang diimani oleh Nabi Muhammad saw. Orang Islam yang merelakan perlakuan syirik tersebut boleh menyebabkan menjadi syirik!

Sesiapa mengatakan Allah swt itu salah satu dari tiga adalah kafir: mengatakan Allah swt adalah salah satu daripada tiga Tuhan, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Suci adalah kafir. Orang Islam yang merelakan perlakuan menjadikan Allah swt sebagai salah satu Tuhan yang tiga boleh menyebabkan menjadi kafir! 

Allah swt memberikan penjelasan:

Surah al-Maaidah 5/75: Almasih ‘ibn Maryam itu tidak lain melainkan seorang Rasul yang telahpun didahului oleh beberapa orang Rasul, dan ibunya adalah seorang perempuan yang sangat benar; kedua-duanya (Almasih dan ibunya) memakan makanan (sama seperti manusia lain). Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka dan perhatikanlah ke mana mereka berpaling.

Allah swt tidak bertoleransi terhadap perkataan dan perbuatan mensyirikkan ZatNya atau SifatNya atau NamaNya. Allah swt tidak bertoleransi terhadap perkataan dan perbuatan menjadikanNya satu daripada tiga Tuhan. Jika Allah swt tidak bertoleransi, Rasul Allah juga tidak bertoleransi, Ulul Amri kaum Muslimin juga tidak bertoleransi dan orang yang beriman juga tidak bertoleransi. Allah swt meemrintahkan supaya mengatakan:

Surah al-Maaidah 5/77: Katakan: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau pada al-din (agama) kamu yang bukan kebenaran. Dan janganlah kamu menuruti hawa nafsu orang yang telah sesat dahulunya dan mereka (pula) menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka telah tersesat jauh daripada jalan yang lurus.

Ulul Amri kaum Muslimin dan orang yang beriman hendaklah mengatakan kepada Ahli Kitab: “Janganlah kamu melampau-lampau pada agama kamu yang bukan kebenaran.” “Cukuplah kamu melontarkan keraguan dan kekeliruan kepada umat Islam.” Ahli Kitab hari ini telah disesatkan oleh orang terdahulu yang menurut hawa nafsu. Kaum Muslimin janganlah terikut-ikut disesatkan oleh mereka. Allah swt menceritakan motif mereka:

Surah at-Taubah 9/32: Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka sedangkan Allah tidak berkehendak melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyenanginya.

Allah swt telah memberikan cahaya yang terang benderang kepada kaum Muslimin. Musuh-musuh Islam cuba memadamkan cahaya tersebut dengan keraguan dan kekeliruan mengenai Allah swt, Nabi Muhammad saw, Kitab Suci al-Quran dan malaikat. Orang yang beriman wajib mempertahankan iman mereka walaupun tidak disukai oleh orang kafir. Orang beriman juga wajib mempertahankan ibadat mereka seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji. Tidak ada toleransi dalam soal akidah dan upacara keagamaan.

Dalam perkara-perkara yang tidak boleh ditoleransikan itu pegangan kaum Muslimin ialah:

Surah al-Baqarah 2/256: Tidak ada paksaan pada al-din (beragama). Sesungguhnya telah nyata kebenaran dan kesesatan. Sesiapa menolak Taghut (tuhan selain Allah) dan beriman kepada Allah, sesungguhnya dia telah berpegang dengan tali yang teguh, yang tidak akan putus selamanya. Dan Allah adalah Sami’ (Maha Mendengar), lagi ‘Alim (Maha Mengetahui).

Tidak ada paksaan bagi seseorang untuk memilih agama. Sesiapa inginkan agama yang benar boleh pilih yang benar. Sesiapa inginkan agama yang sesat boleh pilih yang sesat.

Surah al-Kafirun 109/1-6: Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani.
Katakanlah: “Wahai orang kafir.” Aku tidak menyembah kepada apa yang kamu sembah. Dan bukanlah kamu menyembah kepada apa yang aku sembah. Dan aku bukanlah menyembah sebagaimana kamu menyembah. Dan kamu bukanlah penyembah sebagaimana aku menyembah. Bagi kamu al-din (agama) kamu dan bagiku al-din (agama)ku.

Dalam soal memilih agama tidak ada paksaan. Bila masing-masing sudah buat keputusan agama apa yang dipilih, tidak ada toleransi lagi dalam soal akidah dan ibadat. “Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami. Upacara agama kamu untuk kamu, upacara agama kami untuk kami.” Orang Islam tidak boleh menyertai upacara keagamaan penganut agama lain. Penganut sesuatu agama membuat upacara kerana Tuhan yang mereka sembah. Menyertai upacara tersebut bermakna reda dengan Tuhan yang selain Allah seperti dianuti oleh mereka. Mengaminkan doa orang kafir juga tidak boleh. Mengaminkannya bermakna bersetuju permohonan dibuat kepada Tuhan yang selain Allah seperti dipertuhankan oleh orang kafir itu.

Ketika mula-mula membina kerajaan Madinah, Rasulullah saw memperkenalkan Piagam Madinah. Ia digubal pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah dan merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Ia mengandungi 47 fasal. 23 fasal menyentuh hubungan sesama umat Islam, iaitu Ansar dan Muhajirin. 24 fasal menyentuh hubungan umat Islam dengan yang bukan Islam, terutamanya Yahudi. Piagam atau Perlembagaan Madinah digubal berasaskan Syariat Islam. Ia menajdi contoh terbaik dalam membina negara yang penduduknya berbilang kaum. Perkara utama yang terkandung dalam Perlembagaan Madinah ialah:
1.  Nabi Muhammad saw adalah Ketua Negara bagi kesemua penduduk Madinah. Baginda saw juga adalah Hakim. 
2.  Semua penduduk Madinah hendaklah menerima identiti mereka dan bersatu sebagai bangsa atau kaum Madinah. Tidak boleh bermusuhan sesama mereka.
3.  Semua penduduk Madinah bebas mengamalkan upacara keagamaan masing-masing.
4.  Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam bidang ekonomi dan pertahanan.
5.  Orang Yahudi dijamin keselamatan mereka selagi mereka akur dengan Perlembagaan Madinah itu.

Orang Islam diperingatkan:

Surah al-An’am 6/108: Dan janganlah kamu memaki-maki apa yang mereka pertuhankan selain Allah, kerana (natijahnya) mereka akan memaki-maki Allah dengan keterlaluan tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami hiaskan bagi tiap-tiap umat amalan mereka. Kemudian mereka akan dikembalikan kepada Rabb (Tuhan) mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka tentang amalan mereka dahulu.

Apabila seseorang sudah membuat pilihan mengenai agama yang mahu dianutinya, pilihannya itu mesti dihormati. Tetapi menghormati agama lain bukan bermakna mengassimilasikan atau meleburkan kepercayaan Islam ke dalam kepercayaan agama lain. Semua agama dituntut bertoleransi dalam hal-hal interaksi sosial atau mu’amalat bagi menjaga hak individu, keselamatan dan kebajikannya agak terpelihara. Toleransi demikian menjadi ruang bagi setiap individu menguruskan kehidupannya tanpa berasa terancam. Pada masa yang sama mereka bebas mengamalkan kepercayaan agama mereka.

Dalam konteks toleransi beragama Islam menegaskan “Tiada paksaan dalam beragama. Bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami!” Dalam perkara yang tidak melibatkan upacara keagamaan Islam menggalakkan toleransi. Toleransi berjiran tanpa mengira agama. Toleransi bekerjasama membangun negara. Toleransi dalam bidang ekonomi. Di antara dasar toleransi yang penting dalam masyarakat majmuk ialah:
1.  Ada titik pertemuan pada persamaan yang dikongsi bersama. Dalam hal ini ia adalah Piagam atau Perlembagaan.
2.  Ulul Amri melaksanakan kehendak Piagam atau Perlembagaan secara adil dan saksama.
3.  Mentaati Ulul Amri.
4.  Aset paling penting bagi setiap individu adalah tanah airnya.
5.  Bersatu dalam mengadakan aset pertahanan negara.
6.  Tidak mengkhianati negara dengan menyebelahi musuh baik dari luar atau dari dalam.
7.  Tidak melindungi, apalagi membantu musuh yang mahu menjahanamkan negara.
8.  Pembahagian harta negara secara adil.
9.  Hak asasi individu hendaklah tunduk kepada hak asasi orang ramai.
10. Memelihara nyawa lebih utama dari memelihara harta.
11. Dan lain-lain.

Toleransi dalam bidang hubungan sosial adalah sikap saling menghormati dan saling bekerjasama di antara puak masyarakat yang berbeza baik secara etnik, bahasa, budaya, politik, maupun agama. Menurut ajaran Islam toleransi bukan sahaja sesama manusia, malah mencakupi alam semesta, binatang, makhluk seluruhnya. Umat Islam diperingatkan: 

Surah al-Mumtahanah 60/8-9: Allah tiada melarang kamu terhadap orang yang tidak memerangi kamu kerana al-din (agama) dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu, bahawa kamu berbuat baik dengan mereka dan berlaku adil dengan mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu terhadap orang yang memerangi kamu kerana al-din (agama) dan mengusir kamu dari kampung halaman kamu dan mereka membantu untuk mengusir kamu, bahawa kamu menjadikan mereka kawan. Dan sesiapa menjadikan mereka  kawan, maka mereka itulah orang yang zalim.