NUH AS: PERPINDAHAN DIMENSI DAN MUKJIZAT PELAYARAN

Nabi Nuh as (Perpindahan Dimensi)

Surah az-Zariat 51/7: Demi langit yang mempunyai jalan-jalan.

Allah swt bukakan pintu-pintu langit. Apabila terbuka pintu langit muncullah laluan pintas dari langit ke bumi. Perumpamaan laluan pintas itu seumpama dua buah corong: corong kemasukan dan corong keluaran. Dua corong tersebut bercantum di bahagian paling kecil. Perpindahan dimensi dilakukan dengan memasukkan bahan yang hendak dipindahkan melalui lubang corong yang besar pada corong kemasukan. Bahan tersebut bergerak dari ruang yang luas ke ruang yang kecil sehingga ke ruang yang paling kecil. Pergerakan jirim dari ruang yang besar kepada ruang yang kecil menyebabkan berlaku tindak balas kimia: penguraian jirim kepada jauhar yang kecil sehinggalah menjadi jauhar yang paling kecil, yang pada kajian sains tidak mungkin terurai lagi. Teori dan formula sains tertumpu kepada jauhar, atom, jirim, jisim dan tindak balas fizikal. Teori dan formula sains tidak mampu memasukkan satu faktor iaitu malaikat. Dalam teori sains tidak ada peranan malaikat. Dalam melaksanakan perintah Allah swt, seperti membuka laluan pintas untuk perpindahan dimensi, malaikat memainkan peranan yang sangat penting.

Surah al-Ma’arij 70/4: Malaikat dan Roh naik kepada-Nya dalam satu Hari yang kadarnya lima puluh ribu tahun.

Kelajuan pergerakan malaikat dalam satu hari malaikat bersamaan lima puluh ribu tahun bumi. Boleh dibuat perbandingan kelajuan malaikat dengan kelajuan cahaya. Bintang yang paling jauh dengan bumi adalah galaksi yang paling jauh (yang dapat dikesan oleh peralatan manusia). Jaraknya 12.9 billion tahun cahaya daripada bumi. Ini bermakna cahaya bintang tersebut mengambil masa 12.9 billion tahun untuk sampai ke bumi. Dianggarkan terdapat sebanyak 170 billion galaksi di dalam alam maya yang mampu diperhatikan dari bumi sekarang, kerana cahaya (atau lain-lain isyarat) dari objek-objek berkenaan sempat sampai ke bumi sejak permulaan pembentukannya. Kesemua galaksi berada dalam gugusan galaksi, seumpama udara-udara yang berada dalam sebiji bola, tidak ada udara langsung di luar kulit bola. Kesemua jauhar, atom, jirim dan jisim yang terbentuk melalui apa yang dipanggil ‘Big Bang’ berada dalam ruang satu kerangka. Di luar dari kerangka tersebut ujud kejadian yang bukan atomik, iaitu kejadian rohani. Peringkat alam selepas kerangka tadi sehingga ke peringkat yang lebih tinggi itulah tempat malaikat.

 Cahaya mengambil masa 12.9 billion tahun untuk bergerak dari galaksi yang paling jauh ke bumi. Malaikat bergerak dari tempat yang terlalu jauh untuk dibandingkan dengan galaksi yang paling jauh itu dalam masa yang terlalu singkat. Malaikat yang begitu kuat dan pantas itulah yang membentuk corong dimensi iaitu corong cahaya malaikat.

Corong dimensi berbeza dari black hole. Black hole adalah satu ruang di dalam ruang angkasa yang gravitinya sangat kuat hinggakan cahaya yang masuk ke dalamnya tidak terlepas dari sedutananya. Oleh kerana cahaya tidak terlepas dari black hole maka ia kelihatan hitam. Dan jika cahaya tidak dapat melepaskan diri dari black hole maka tidak ada bahan lain yang mampu melepaskan diri darinya. Black holeh bukanlah satu lubang dalam erti kata sebenarnya dan ia bukanlah kosong. Ia dipenuhi oleh berbagai-bagai bahan, dimampatkan dalam ruang yang sangat sempit. Ini menjadikan black hole mempunyai tarikan graviti yang terlalu kuat. Apa sahaja yang menghampirinya akan ditelannya. Apabila bahan yang ditelan itu berlaga dengan pusat black hole bahan tersebut akan hilang selama-lamanya. Bila sampai satu masa black hole akan musnah. Black hole mengeluarkan radiasi bahan hitam. Radiasi ini sebenarnya kehilangan jisim. Apabila kehilangan jisim berlaku dengan pantas akan sampai peringkat tiba-tiba black hole tidak ada lagi.

Corong dimensi dibentuk oleh malaikat. Malaikat adalah cahaya yang sangat murni dan seni, tidak ada satu cahaya dalam dunia sepertinya. Corong cahaya tersebut sangat terang, terlampau terang sehinggakan ia tidak mampu dipandang oleh mata dan apa juga peralatan. Cahaya yang lain apabila masuk ke dalam corong cahaya ini akan menjadi malap berbanding cahaya malaikat, seumpama cahaya pelita di dalam cahaya matahari. Cahaya malaikat membungkus cahaya anasir dunia sehingga anasir dunia itu menjadi tidak kelihatan.  Kelajuan malaikat bertambah dengan bertambah kurangnya saiz bulatan corong menuju kepada bahagian yang paling kecil. Kekuatan dan kepantasan malaikat mengurai segala jirim yang masuk ke dalam corong dimensi tersebut. Apabila sampai ke titik terakhir corong kemasukan semuanya terurai sehingga tidak ada lagi atom atau jauhar yang bagaimana kecil sekalipun. Pada peringkat ini semuanya hilang buat selama-lamanya. Setelah peringkat ini akan muncullah cahaya seni lagi murni dipermulaan corong keluaran.

Cahaya seni lagi murni ini adalah bakat kejadian awal atau zat kewujudan bagi sesuatu jenis kejadian itu. Ia adalah anasir ghaib, bukan jauhar, atom, jirim atau jisim. Ia adalah latifah rabbaniyah atau urusan ketuhanan yang manusia tidak mempunyai pengetahuan tentangnya kecuali sangat sedikit. Apabila datang perintah Allah swt dengan firmanNya “Kun!”, berlakulah apa yang dipanggil “Big Bang”. “Kun” meletuskan bakat-bakat kejadian awal, mengeluarkan potensi dan maklumat yang tersimpan padanya. Sudah ada ketentuan berapa banyak jauhar yang akan tercipta dan berapa banyak atom yang terhasil. Sudah ada ketentuan berapa banyak jirim dan jisim yang akan muncul dari atom yang terhasil. Semuanya berlaku dengan sukatan. Penyimpan semua maklumat adalah kejadian awal dan penyimpan maklumat untuk satu individu kewujudan ialah cahaya seni lagi murni. Pada cahaya seni lagi murni ini terkumpul segala data mengenai jauhar, atom, jirim dan jisim dirinya sebelum memasuki corong kemasukan. Dalam proses kemasukan semuanya terurai sehingga apabila sampai kepada titik akhir corong kemasukan semuanya hilang, yang tinggal hanyalah penyimpan maklumat iaitu cahaya seni lagi murni itu. Perumpamaannya adalah seperti orang yang sudah mati, sudah hancur luluh, tidak ada satu kesanpun tentang kewujudannya. Walaupun semuanya hancur luluh namun maklumat individu itu tidak hilang. Apabila diperintahkan untuk bangkit semula penyimpan maklumat individu itu akan melahirkan semula individu yang sama dan serupa.

Dalam proses keluaran pula cahaya seni sebagai permulaan kejadian, membina semula dirinya sehingga terbinalah diri yang cukup lengkap sebagaimana keadaannya sebelum memasuki corong dimensi. Diri atau jisim yang lengkap itulah keluar dari lubang corong keluaran. Jika asalnya wap air maka yang keluar adalah wap air. Jika corong keluaran menala ke langit bumi maka wap air akan membentuk gumpalan awan pada langit bumi dan kemudiannya memeluwap menjadi titik-titik hujan yang turun ke bumi. Proses kemasukan dan keluaran, iaitu perpindahan dimensi ini kelihatan rumit tetapi ia adalah pekerjaan malaikat yang sangat pantas. Jadi, kemasukan dan keluaran itu berlaku seolah-olah pada masa yang sama. Ia merupakan proses mukjizat yang Allah swt adakan bagi melaksanakan sesuatu urusan yang Dia tetapkan.

Surah Qamar 54/11-12: Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang tercurah. Dan Kami pancarkan daripada bumi mata air, maka bertemulah air itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan. 

Semuanya berlaku menurut ketentuan Allah swt. Langit mencurahkan air. Bumi mengeluarkan air. Air langit dan air bumi adalah tentera Allah swt yang diutuskan untuk melaksanakan perintah Allah swt.

Pelayaran kapal Nabi Nuh as

Kapal Nabi Nuh as dibina dengan kekuatan mukjizat.

Surah al-Mukminun 23/27: Lalu Kami wahyukan kepadanya (Nuh): "Buatlah bahtera dengan mata-mata (pengawasan) Kami dan wahyu Kami.

Kapal Nabi Nuh as dibina dengan pengawasan Allah swt, iaitu malaikat-malaikat mengawasi pekerjaan tersebut, berpandukan wahyu Allah swt. Di zaman Nabi Muhammad saw malaikat juga turun ikut serta berperang menentang kaum kafir dalam peperangan Badar dan peperangan yang lain. Wahyu yang disampaikan oleh Allah swt berbeza dengan maklumat yang disampaikan oleh manusia. Jika manusia menceritakan sesuatu maklumat, yang diperolehi hanyalah sekadar apa yang diceritakan atau lebih sedikit kefahaman yang didapati. Apabila Allah swt menceritakan sesuatu perkara, misalnya ilmu, maka maklumat terperinci yang terdapat dalam ilmu tersebut difahami oleh orang yang menerima wahyu tersebut. Wahyu Allah swt tentang teknologi pembinaan kapal hanyalah ringkas tetapi ia menggerakkan minda untuk mengembangkan maklumat yang diperolehi itu sehingga ilmu yang lengkap tentang pembinaan kapal difahami dengan jelas.

Surah al-Qamar 54/13: Dan Kami angkut dia (Nuh) di atas (bahtera) yang daripada papan dan paku.

Bahan utama pembinaan kapal Nabi Nuh as ialah kayu dan paku. Pada zaman itu sudah ada ilmu pembuatan alat-alat pertukangan. Ilmu meleburkan logam untuk dijadikan alat pertukangan dan juga pembuatan paku juga sudah ada. Di bawah pengawasan malaikat, Nabi Nuh as dan orang-orang yang beriman bekerja membentuk kayu kepada papan, menyusun papan-papan dan memakunya sehingga terbinalah kapal yang lengkap. Nabi Nuh as mempunyai pengetahuan tentang kayu yang sesuai untuk digunakan, cara membentuk kayu dan tahu membuat paku yang mampu memegang papan menahan beban muatan, tekanan dan kuasa ombak yang sebesar gunung. Itulah kapal yang dibina dengan kekuatan mukjizat.

Surah Hud 11/41: Dan dia (Nuh) berkata: “Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan nama Allah sewaktu berlayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Rabb (Tuhan)ku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Apabila banjir datang berlayarlah kapal Nabi Nuh as. Kapal tersebut bergerak tanpa menggunakan enjin dan layar. Kuasa menggerakkan kapal itu ialah kuasa mukjizat:

“dengan nama Allah sewaktu berlayar dan berlabuhnya”

Nabi Nuh as dikurniakan mukjizat berpengetahuan tentang fenomena alam seperti udara, angin, air dan ombak. Nabi Nuh as tahu menggunakan anasir alam tersebut untuk memperjalankan kapalnya, sebagaimana Nabi Sulaiman as dikurniakan mukjizat mengawal angin.

Surah al-Anbiya’ 21/81: Dan bagi Sulaiman angin yang bertiup kencang, yang bertiup dengan perintahnya ke bumi yang Kami berkatinya. Dan Kami mengetahui segala sesuatu.

Angin adalah udara yang bergerak disebabkan matahari memanaskan semua benda di satu bahagian bumi (bahagian siang), termasuklah udara. Di bahagian satu lagi (bahagian malam) benda-benda menyejuk. Bumi berputar masuk kepada cahaya matahari dan keluar daripadanya setiap 24 jam. Jadi semua benda di bumi mengalami pemanasan dan penyejukan, termasuklah atmosfera. Bila udara dihangatkan ia mengembang dan naik ke atas. Udara sejuk di sekitar kawasan itu akan bersegera memasuki ruang yang ditinggalkan oleh udara panas, dan inilah yang dinamakan angin. Udara sejuk juga kadang-kadang boleh melunsur di atas udara panas menyebabkan muncul suasana yang tidak stabil dinamakan ribut.

Angin yang bertiup terus menerus beberapa hari akan menghasilkan banyak ombak yang akan berlaga sama sendiri. Jika terjana tenaga yang mencukupi ombak-ombak itu akan menghasilkan gelombang yang besar dan bergerak meninggalkan tempat ribut dan meneruskan perjalanannya ke pantai. Jika ombak yang berpadu itu mencukupi, tenaga yang terhasil akan mengujudkan gelombang ombak yang mampu bergerak dengan pantas dan jauh sehingga beribu-ribu batu sebelum sampai ke pantai.

Nabi Nuh as bukan sekadar mengetahui ramalan cuaca malah maklumat sebenar tentang pembentukan ribut di permukaan laut yang luas, arah dan halaju angin, pembentukan dan saiz ombak dan gelombang serta arahnya menurut tiupan angin, semuanya ada dalam pengetahuan Nabi Nuh as. Arah kapalnya dibina sudah mengambil kira faktor-faktor pelayaran yang akan dihadapi kelak. Pembinaan kapalnya berdasarkan konsep pengapungan. Prinsip pengapungan ialah badan yang keseluruhannya atau sebahagiannya terbenam dalam air akan diapungkan oleh daya yang sama dengan berat air yang digantikan. Daya apungan yang mengimbangkan berat kapal menahannya dari tenggelam.  Berat kapal dan muatannya menghasilkan daya yang bertindak ke bawah. Daya pengapungan menghasilkan daya yang bertindak ke atas kepada kapal yang di atas ombak: ke atas dan pada sudut yang sama  dengan kecondongan. Daya ini dan gandingan dengan lain-lain daya hidrodinamik menolak kapal ke hadapan. Gabungan daya tersebut (graviti, pengapungan dan hidrodinamik) menggerakkan kapal menurut arah ombak. Prinsip ini yang digunakan oleh orang yang menggunakan papan luncur dalam sukan luncur ombak.

Kapal Nabi Nuh as yang akan meluncur di atas ombak direka-bentuk agar mempunyai kesimbangan yang sempurna. Bahan atau kayu yang digunakan sesuai untuk diapungkan. Pusat gravitinya lebih ke bahagian ekornya. Susunan muatan tidak menyebabkan pusat graviti berubah ke hadapan. Jika pusat graviti berada jauh ke hadapan kapal itu akan terjunam ke dalam laut. Bagi memastikan kapal memperolehi tenaga ombak yang diperlukan momentum kapal mestilah bersamaan dengan momentum ombak. Dengan cara ini kapal dibawa oleh ombak, bergerak ke satu arah. Nabi Nuh as, di bawah pengawasan Allah swt dan dibimbing oleh wahyu, membina sistem pengemudian dan pengimbangan yang sempurna. Kapalnya mampu bertindak balas kepada daya angin dan gelombang sehingga kapal tersebut meluncur dengan baik walaupun di dalam ombak yang sebesar gunung, seolah-olah sekeping papan gelunsur membawa penggelunsur bergerak dengan daya ombak.

Surah al-Qamar 54/14-15:  Berlayar dengan pemeliharaan Kami sebagai balasan orang yang diingkari. Dan Kami tinggalkannya sebagai tanda, adakah orang yang memikirkan?

Pelayaran Nabi Nuh as adalah pelayaran yang membawa keselamatan bukan pelayaran yang membawa azab kepada orang yang derhaka. Oleh itu pelayaran Nabi Nuh as berada di bawah pemeliharaan Allah swt. Angin dan ombak melaksanakan perintah Allah swt membawa Nabi Nuh as dan muatan kapalnya ke satu destinasi dengan selamat.

Surah Yunus 10/73: Maka mereka mendustakan Nuh, lalu Kami selamatkannya dan orang yang besertanya di dalam bahtera itu, dan Kami jadikan mereka khalifah, dan Kami tenggelamkan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang diberi ancaman itu.

Surah al-Mukminun 23/28-31: Apabila engkau dan orang bersama engkau berada atas bahtera itu, ucapkan: “Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) yang menyelamatkan kami daripada kaum yang zalim." Dan berdoalah: "Rabbi (wahai Tuhanku)! Turunkanlah aku pada tempat yang diberkati, dan Engkau adalah sebaik-baik yang memberi tempat." Sesungguhnya pada (kejadian) itu terdapat tanda-tanda, dan sesungguhnya Kami menimpakan bala bencana. Kemudian, Kami jadikan sesudah mereka generasi yang lain.

Sejarah manusia sentiasa berulang. Nabi Adam as berhadapan dengan anaknya, Qabil, yang derhaka. Nabi Nuh as juga menghadapi anaknya yang derhaka.

Surah Hud 11/42-43: Dan ia (kapal) berlayar membawa mereka dalam ombak seperti gunung. Dan Nuh memanggil anak-nya yang berada di tempat yang jauh: “Wahai anakku, naiklah bersama kami dan janganlah kamu menyertai orang yang kafir itu.” Dia (anak Nuh) menjawab: “Aku akan mencari perlindungan di gunung yang akan menyelamatkan aku daripada air.” Nuh berkata: “Tidak ada yang dapat diselamatkan daripada ketentuan Allah pada hari ini, kecuali orang yang dikasihani-Nya.” Dan gelombang memisahkan keduanya, maka dia (anak Nuh) termasuk dalam golongan orang yang ditenggelamkan.

Surah Hud 11/45-47: Dan Nuh menyeru Rabb (Tuhan)nya dengan berkata: “Rabbi (wahai Tuhanku)! Sesungguhnya anakku daripada keluargaku, dan janji-Mu adalah benar, dan Engkau adalah sebaik-baik Hakim (Penghukum).” Dia (Allah) berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya dia (anakmu itu) bukanlah daripada keluargamu, sesungguhnya dia melakukan yang tidak salih. Maka janganlah engkau persoalkan kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya. Aku mengajarkan kepada engkau agar engkau tidak termasuk golongan orang yang jahil.” Dia (Nuh) berkata: “Rabbi (Tuhanku)! Aku berlindung kepada Engkau daripada mempersoalkan kepada Engkau sesuatu yang aku tidak berpengetahuan tentangnya, dan sekiranya Engkau tidak mengampunkan daku dan merahmati daku, (nescaya) aku termasuk orang yang rugi.”

Allah swt memutuskan anak Nabi Nuh as bukan lagi daripada ahlinya kerana anak itu menolak yang salih. Orang yang salih adalah orang yang beriman. Iman bukan warisan, hatta seorang Nabi tidak boleh mewariskan iman kepada anaknya. Iman adalah anugerah Allah swt kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa dipaksa oleh sesiapa.

Selepas banjir besar

Surah Hud 11/44: Dan difirmankan: “Wahai bumi, telanlah airmu, dan wahai langit, berhentilah.” Dan air menjadi surut, perintah telah terlaksana dan kapal berlabuh di atas bukit Judi, dan difirmankan: “Kebinasaanlah bagi orang yang zalim.”

Kemudian Allah swt memerintahkan bumi menelan airnya dan langit menghentikan curahan airnya. Berlakulah proses menyurutkan air, kebalikan daripada proses pembanjiran. Tannur kembali normal. Pembakaran dan bahan panas sekadar mengeluarkan wap air bukan lagi air yang banyak. Tekanan di dasar bumi juga kembali normal. Pada permukaan bumi terdapat banyak rekahan akibat letusan tannur yang di dalam bumi. Ada rekahan yang cetek dan ada yang dalam. Graviti menarik air ke bawah melalui rekahan-rekahan bumi tersebut. Ada air yang sampai kepada magma yang panas. Air menyejukkan magma, menjadikannya pepejal yang menahan air dari terus turun ke bawah. Ada air yang sampai kepada batu hampar di dalam perut bumi yang menghalang pergerakan air ke bawah. Air yang tidak boleh turun ke bawah lagi akan berkumpul dan bergerak mendatar, membentuk sungai-sungai. Sebahagian daripada air itu bertemu dengan bahan panas dalam bumi bertukar menjadi wap dan gas. Sebahagian lagi menjadi wap dalam atmosfera.

Air di bawah permukaan bumi terdapat di mana-mana, di bawah bukit, gunung, lembah dan padang pasir. Ada air yang sangat hampir dengan permukaan bumi seperti paya. Air juga mungkin berada beratus kaki di bawah permukaan bumi seperti di tanah gersang. Air di tempat yang cetek mungkin baharu beberapa jam masuk ke bumi. Air yang lebih jauh di bawah permukaan bumi mungkin sudah mengambil masa 100 tahun. Air yang jauh lebih dalam mungkin sudah mengambil masa beberapa ribu tahun, selepas bergerak dari tempat masuk di permukaan bumi hinggalah ke paras yang ia berada sekarang.

Nabi Nuh as, orang yang beriman dan haiwan yang berada di atas kapalnya semuanya di selamatkan Allah swt, yang lain semuanya dihapuskan. Terlalu banyak mayat manusia dan bangkai haiwan yang dihanyutkan oleh banjir besar zaman Nabi Nuh as itu. Banyak juga pokok-pokok yang tumbang dan dihanyutkan. Semua itu mesti disimpan di tempat yang sesuai agar tidak berlaku wabak penyakit yang boleh menyebabkan terpupus generasi baharu manusia dan haiwan yang dibawa oleh kapal Nabi Nuh as. Apabila air surut segala mayat, bangkai dan sampah sarap dihanyutkan ke bahagian bumi yang rendah. Di antara bahagian bumi yang rendah adalah Laut Mati di kawasan sempadan antara Jordan dengan Israel. Ia terletak 1,312 kaki di bawah paras laut. Mungkin di sana dan disekitarnya terkubur apa yang dibinasakan oleh banjit tersebut.

Allah swt mengikat penciptaanNya dengan Peraturan Keseimbangan.

Surah al-Mulk 67/3-4: Yang Menciptakan tujuh langit berlapis-lapis, kamu tidak melihat pada ciptaan Al-Rahman (Yang Maha Pemurah) itu sesuatu yang tidak seimbang. Kembalikan pandanganmu, adakah kamu melihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandang kedua kalinya, nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan membingungkan dan lemah.

Surah al-Infitar 82/7-8: Yang telah menciptakan kamu, lalu menyempurnakan kejadian kamu, lalu Dia menjadikan kamu seimbang. Dalam bentuk yang Dia kehendaki Dia menyusun kamu.

Peraturan Keseimbangan pada alam semesta menyebabkan setiap juzuk alam semesta ini menyumbang kepada kestabilan alam. Tenaga dan daya pada planet-planet membentuk jaringan yang rapi memegang setiap planet dengan teguh pada tempatnya. Manusia diciptakan seimbang. Planet bumi juga diciptakan seimbang. Jisim dan tenaga mengimbangi sesuatu kejadian. Jika terdapat lebihan air setelah banjir zaman Nabi Nuh as itu surut, lebihan tersebut mestilah dikeluarkan dari lingkungan bumi. Lebihan tersebut dibawa oleh malaikat, diurai kepada jauhar yang halus dan disebarkan di ruang angkasaraya yang luas, yang tidak memberi kesan kepada keseimbangan alam semesta.

Nabi Nuh As dan mereka yang besertanya menjadi kumpulan pertama yang akan membina generasi baharu di atas muka bumi. Allah swt bekalkan kepada mereka keselamatan dan keberkatan.

Surah Hud 11/48: Difirmankan: “Wahai Nuh! Turunlah beserta keselamatan daripada Kami, dan keberkatan atas engkau dan atas umat-umat daripada orang yang beserta engkau. Dan beberapa umat yang Kami berikan kesenangan kepada mereka, kemudian mereka ditimpa azab yang pedih daripada Kami.”

Surah al-Isra’ 17/3: Anak cucu daripada orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. Sesungguhnya dia (Nuh) adalah hamba yang banyak bersyukur.

Banjir besar mengubah permukaan bumi. Banyak sungai muncul, mengalirkan air ke tempat-tempat yang dahulunya gersang. Banyak gunung berapi menjadi tidak aktif akibat terendam di dalam air. Ada bahagian bumi yang tenggelam dan ada pulau-pulau yang baharu muncul akibat pergerakan plat bumi, gempa bumi dan letupan gunung berapi. Fenomena yang berlaku pada bumi bertujuan menyediakan bumi untuk dihuni generasi baharu khalifah bumi yang terdiri daripada orang-orang yang beriman sahaja yang telah diselamatkan. Hanya manusia yang baik-baik dan haiwan yang baik-baik dipilih untuk mengembangkan zuriat mereka. Permukaan bumi sudah disediakan sebaik-baiknya untuk mereka bertebaran meneruskan kehidupan. Allah swt bekalkan mereka dengan keselamatan. Mereka akan menurunkan keturunan mereka dengan selamat sehingga ke hari kiamat. Allah swt juga bekalkan mereka dengan keberkatan. Umat manusia dibekati dengan kedatangan Nabi-nabi dan wahyu Allah swt dari masa ke masa, sehinggalah kepada Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad saw.