NABI HUD AS


Nabi Nuh as dan orang-orang beriman yang diselamatkan daripada banjir besar meneruskan kehidupan mereka, membina semula generasi dan tamadun umat manusia. Umat manusia kembali berkembang biak dan mereka bertebaran di atas muka bumi. Ada riwayat mengatakan pada zaman generasi Nabi Nuh as yang keempat iaitu Aus bin Aram bin Sam bin Nuh as, terdapat puak-puak ‘Ad, Thamud, Jurhum, Tasam, Jadis, Amim, Midian, Amalek Imlaq, Jasim, Qahtan, Yaqtan dan lain-lain di Semenanjung Arab. ‘Ad adalah anak kepada Aus. Kaum ‘Ad dikatakan tinggal di suatu tempat bernama al-Ahqaf terletak di utara Hadramaut antara Yaman dan Oman.

Surah AL-A’raf 7/69: “Apakah kamu hairan (melihat) peringatan daripada Rabb (Tuhan) kamu datang melalui seorang lelaki dari kalangan kamu sendiri, memberi ancaman kepada kamu? Dan ingatlah bahawa Allah menjadikan kamu pengganti-pengganti selepas kaum Nuh, dan dilebihkan kamu pada penciptaan (tubuh) yang kuat. Maka ingatlah nikmat Allah supaya kamu berbahagia.”

Nabi Nuh as dan orang-orang beriman yang mengikutnya menyampaikan ajaran tauhid kepada keturunan mereka. Kemudian apabila ramai orang-orang salih sudah meninggal, umat manusia dilanda oleh fitnah akidah. Rasulullah saw menggambarkan keadaan demikian yang menimpa umat manusia. Daripada Abdullah bin Amr bin 'Ash ra berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, "Bahawasanya Allah swt tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain." H.R. Muslim.

Orang-orang yang jahil tentang tauhid menggantikan orang salih menjadi pemimpin umat manusia. Perkataan Nabi dan orang salih sudah dilupakan. Manusia menjadikan akal fikirannya sebagai bakat mutlak dalam mendapatkan kebenaran. Ideologi akal fikiran adalah liberalisma, iaitu kebebasan berfikir dan bertindak. Manusia mampu menguruskan dan menentukan kehidupannya tanpa campur tangan kuasa lain. Manusia seperti ini tidak nampak hubungan mereka dengan Tuhan dan mereka tidak tahu adanya Hari Akhirat.

Oleh kerana naluri masih mencari Tuhan, maka ada golongan manusia yang beralih kepada falsafah ketuhanan. Mereka mencari Tuhan pada cerita-cerita orang salih yang hampir dengan Tuhan, yang mereka dengar dari nenek moyang mereka. Mereka melihat orang salih tersebut sebagai ‘penyimpan’ Tuhan. Tuhan yang dipertuhankan oleh orang salih tersebut terlalu tinggi untuk mereka mecapainya. Justeru mereka memerlukan orang salih yang hampir dengan Tuhan itu sebagai perantara. Pencarian mereka tidak sampai kepada Tuhan. Mereka berhenti pada orang yang mereka jadikan perantaraan dengan Tuhan. Pada orang yang demikian mereka letakkan sifat-sifat ketuhanan. Hal yang demikian berlaku dalam kalangan kaum ‘Ad. Perantara yang penting dalam kepercayaan mereka ialah Shamud dan Alhattar. Mereka membuat patung-patung yang diberi nama Shamud dan Alhattar dan itu yang disembah sebagai tuhan mereka yang menurut kepercayaan mereka dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan keuntungan serta dapat menolak kejahatan, kerugian dan segala musibah. Agama falsafah menjadi asas kepada pluralisma. Orang yang menyembah Shamud dan Alhattar tidak memusuhi orang lain yang menyembah bulan dan bintang. Bahkan mereka juga tidak memusuhi orang yang menyembah Allah asalkan ada Tuhan lain selain Allah yang diiktiraf. Allah swt menghantarkan Nabi Hud as kepada mereka untuk menceritakan kebenaran dan membawa mereka kembali ke jalan yang benar. Sejak dari Nabi-nabi terdahulu golongan yang paling kuat menentang Nabi-nabi dan mengingkari ayat-ayat Allah adalah golongan liberalisma dan pluralisma.

Surah al-A’raf 7/65: Dan kepada (kaum) ‘Ad (Kami utuskan) saudara mereka Hud. Dia (Hud) berkata: “Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadatlah kepada Allah; tidak ada Ilah (Tuhan) bagi kamu selain Dia. Mengapakah kamu tidak mahu bertakwa?”

Nabi Hud as adalah daripada keturunan Abdullah ibn Rabah ibn al-Khulud Ibn ‘Ad ibn Aus ibn Iram. Kaum Nabi Nuh as yang tinggal di al-Ahqaf itu terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan sasa. Mereka dikurniai oleh Allah tanah yang subur dengan sumber-sumber airnya yang mengalir dari segala penjuru sehingga memudahkan mereka bercucuk tanam untuk bahan makanan mereka. Tempat tinggal mereka ada kebun-kebun bunga yang indah-indah. Berkat kurnia Tuhan itu hidup mereka menjadi makmur, sejahtera dan bahagia serta dalam waktu yang singkat mereka berkembang biak dan menjadi suku yang terbesar diantara suku-suku yang hidup di sekelilingnya. Kemakmuran hidup yang mereka nikmati menurut anggapan mereka adalah kurniaan dan pemberian kedua berhala mereka yang mereka sembah. Justeru mereka tidak putus-putus sujud kepada kedua berhala itu mensyukurinya sambil memohon perlindungannya dari segala bahaya dan musibah berupa penyakit atau kekeringan.

Nabi Hud as diutuskan kepada kaum ‘Ad membawa perutusan dari Allah swt.

Surah Hud 11/50-52: Dan kepada (kaum) ‘Ad (Allah utuskan) saudara mereka Hud. Dia (Hud) berkata: “Wahai kaumku! Beribadatlah kepada Allah. Tidak ada bagimu Ilah (Tuhan) selain Dia. Tidak lain kamu ini hanyalah orang yang mengada-adakan (tuhan selain Allah).” “Wahai kaumku! Aku tidak meminta upah daripada kamu atas (pekerjaanku) ini. Tidak ada upah bagiku melainkan daripada yang menjadikan daku. Apakah kamu tidak mahu fikirkan?” “Wahai kaumku! Mohonlah keampunan daripada Rabb (Tuhan) kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, (nescaya) Dia akan turunkan hujan yang lebat ke atas kamu, dan Dia akan tambahkan kekuatan kepada kekuatan kamu (yang sedia ada), dan janganlah kamu berpaling sebagai orang yang berdosa.”

 Kaum ‘Ad hairan mendengar ada manusia seperti mereka, dari kalangan mereka dan yang mereka kenali, mengaku menerima perutusan dari Tuhan Yang Maha Tinggi sedangkan menurut logik akal mereka tidak ada yang boleh sampai kepada Tuhan Yang Maha Tinggi itu, malah mereka percaya hanya dengan melalui perantaraan tuhan-tuhan mereka baharulah boleh sampai kepadaNya. Nabi Hud as membawa keeprcayaan setiap orang boleh berhubung langsung dengan Tuhan Yang Maha Tinggi tanpa memerlukan perantara dan tuhan-tuhan mereka sebenarnya bukanlah tuhan dan tidak memiliki apa-apa kekuasaan dalam mendatangkan manfaat atau mudharat. Mereka tidak dapat menerima dakwaan yang demikian. Bagi mereka Nabi Hud as yang membawa keeprcayaan yang berlainan dengan kepercayaan mereka adalah seoranag yang terganggu fikiran.

Surah al-A’raf 7/66: Pemuka-pemuka kafir daripada kaumnya itu berkata: “Sesungguhnya kami melihat engkau terganggu fikiran, dan kami rasakan kamu daripada orang yang dusta.”

Logik akal mereka mengatakan orang yang mendakwa seperti didakwa oleh Nabi Hud as adalah orang yang terganggu fikirannya. Sempadan bagi liberalisma dan pluralisma adalah logik. Apa yang tidak mampu dihurai oleh logik mereka dianggap sebagai cerita dongeng. Mereka tidak percaya sifat ketuhanan menjadi monopoli satu Tuhan sahaja.

Surah Hud 11/53: Mereka berkata: “Wahai Hud! Engkau tidak datang kepada kami dengan bukti yang nyata, dan kami tidak akan meninggalkan tuhan-tuhan kami kerana kata-kata engkau itu. Dan kami tidak sekali-kali percaya kepada engkau.”

Mereka mahukan bukti yang nyata. Jika Nabi Hud as mengatakan Allah wujud, bawalah Allah ke hadapan mereka, baharu mereka akan percaya. Jika bukti yang demikian tidak mampu dibawa, maka mereka tetap yakin kepercayaan mereka adalah benar.

Surah Hud 11/54: “Kami tidak mengatakan melainkan bahawa engkau menerima akibat buruk daripada sebahagian daripada tuhan-tuhan kami.” Dia (Hud) berkata: “Sesungguhnya aku bersaksikan Allah, dan saksikan olehmu bahawa aku tidak terlibat dengan apa yang kamu sekutukan itu.”

Mereka malah mengatakan fikiran Nabi Hud as menjadi terganggu kerana kutukan tuhan-tuhan mereka. Jika Nabi Hud as tidak berhenti dakwahnya nescaya beliau akan menerima akibat yang lebih buruk lagi dari tuhan-tuhan mereka. Nabi Hud as berhujah dengan mereka dengan cara yang baik.

Surah al-A’raf 7/67: Dia (Hud) berkata: “Wahai kaumku! Fikiranku tidak terganggu, tetapi aku adalah Rasul daripada Rabb (Tuhan) sekalian alam.” “Aku sampaikan risalah daripada Rabb (Tuhan)ku dan aku adalah pemberi nasihat yang boleh dipercayai bagi kamu.”

Surah Hud 11/54-55: “Kami tidak mengatakan melainkan bahawa engkau menerima akibat buruk daripada sebahagian daripada tuhan-tuhan kami.” Dia (Hud) berkata: “Sesungguhnya aku bersaksikan Allah, dan saksikan olehmu bahawa aku tidak terlibat dengan apa yang kamu sekutukan itu.” “Selain daripada Dia, maka jalankanlah rancangan kamu terhadap aku, kemudian janganlah kamu berikan kesempatan kepadaku.”

Nabi Hud as dengan berani menghadapi ugutan kaumnya. Jika benar tuhan-tuhan mereka berkuasa, mintalah tuhan-tuhan itu mengenakan kepadanya apa yang mereka katakan. Mereka boleh minta tuhan-tuhan mereka bertindak dengan segera jika mereka benar dengan dakwaan mereka. Nabi Hud as tidak akan meminta tangguh atau cuba menyelamatkan diri. Beliau as hanya berdaksikan Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang berkuasa mendatangkan manfaat atau mudharat.

Surah Hud 11/56: “Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Rabb (Tuhan)ku dan Rabb (Tuhan) kamu. Tidak ada suatu jua yang melata melainkan Dia memegang ubun-ubunnya (takdirnya). Sesungguhnya Rabb (Tuhan)ku di atas jalan yang lurus (sentiasa benar).”

Nabi Hud as mengajarkan intipati tauhid. Manusia tidak ada jalan lain kecuali bertawakal atau berserah diri kepada Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada yang diciptakan kecuali Allah swt yang menguasai takdirnya. Allah swt sentiasa benar dalam apa jua yang dilakukanNya. Dia meletakkan fitrah pada apa yang Dia ciptakan. Fitrah itu mengheret makhluk berkenaan kepada jalan yang disediakan untuknya. Matahari, bulan dan bintang-bintang bergerak pada falak masing-masing. Ikan menyelam dalam laut tanpa lemas. Burung terbang di udara tanpa jatuh. Semuanya bergerak dalam perbatasan fitrah masing-masing.

Surah Hud 11/57: “Maka jika kamu berpaling, sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan (menyampaikan)nya kepada kamu, dan Rabb (Tuhan)ku akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain daripada kamu, dan kamu tidak mampu memudaratkan-Nya walaupun sedikit. Sesungguhnya Rabb (Tuhan)ku atas segala sesuatu adalah Hafiz (Maha Memelihara).”

Nabi Hud as sebagai utusan berkewajipan menyampaikan apa yang diperintah menyampaikannya. Allah swt menetapkan jika satu kaum menolak ajakan utusanNya maka kaum itu digantikan dnegan kaum yang lain. Ini sudah terbukti dengan apa yang berlaku kepada umat di zaman Nabi Nuh as. Apa juga yang dikatakan oleh Nabi Hud as ditolak oleh kaumnya.

Surah asy-Syuara 26/123-127: Kaum ‘Ad telah mendustakan para Rasul. Tatkala saudara mereka Hud berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?” “Sesungguhnya aku seorang Rasul yang amin (kepercayaan) untuk kamu.” “Bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” “Dan aku tidak meminta upah kepada kamu, upahku tidak lain hanyalah daripada Rabb (Tuhan) sekalian alam.”

Perbezaan pendakwah yang benar dengan pendakwah yang batil, walaupun menyampaikan perkara yang sama, ialah pendakwah yang benar tidak meminta upah sementara pendakwah yang batil mencari kemewahan melalui dakwahnya.

Surah asy-Syuara 26/128-129: “Mengapa kamu dirikan suatu tanda pada tempat yang tinggi, hanya untuk bermain-main.” “Dan kamu bina gedung seolah-olah kamu akan kekal?” 

Nabi Hud as mengingatkan kaumnya tentang kegiatan mereka yang melalaikan. Kaum ‘Ad yang memiliki tubuh badan yang sasa dan tenaga yang kuat gemar menunjuk-nunjuk dengan menawan tempat yang tinggi. Siapa yang mampu meletakkan tanda pada tempat yang paling tinggi dialah yang paling terkenal dan dihurmati. Mereka juga bermegah-megah dengan bangunan yang hebat-hebat. Keadaan bangunan yang dimiliki menunjukkan status seseorang dalam kaumnya.

Surah asy-Syuara 26/130: “Dan apabila kamu membalas, kamu membalas dengan kejam dan bengis?” 

Sifat yang sangat buruk pada kaum ‘Ad ialah mereka membalas dengan melampau-lampau secara kejam dan bengis. Mungkin jika mereka disakiti sedikit mereka membalas dengan membunuh. Sifat demikian ada juga pada raja-raja zaman dahulu, di mana jika seorang rakyat menderhaka kepadanya seluruh keluraga penderhaka itu dibunuh dengan kejamnya.

Surah asy-Syuara 26/131-132: “Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” “Dan bertakwalah kepada yang memberi kurnia kepada kamu dengan apa yang kamu ketahui.” 

Nabi Hud as mengajak kaumnya supaya bertakwa kepada Allah swt. Cara bertakwa kepada Allah swt ialah dengan mentaati NabiNya kerana Nabi Allah yang tahu cara berbakti kepada Allah swt. Jalan takwa diajar oleh Allah swt kepada NabiNya. Manusia tidak tahu membentuk jalan takwa yang Allah swt kehendaki.

Surah asy-Syuara 26/133-134: “Dia kurniakan kepada kamu binatang ternak, dan keturunan.” “Dan kebun dan mata air.”

Allah swt memberi pengajaran kepada kaum ‘Ad dengan menahan nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka. Allah swt jadikan kemarau menimpa kaum tersebut. Ladang dan kebun mereka menjadi kering kontang. Hasil tanaman tidak ada sehingga menimbulkan kesusahan dan kegelisahan kepada mereka. Dalam keadaan demikian Nabi Hud as berusaha meyakinkan mereka bahawa apa yang berlaku itu adalah peringatan dari Allah swt. Jika mereka bertakwa kepada Allah swt dan mentaati Nabi Hud as nescaya Allah swt kembalikan nikmat dan kemakmuran yang pernah mereka kecapi.

Surah asy-Syuara 26/135: “Sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab Hari yang besar."

Jika mereka terus juga mengingkari peringatan Allah swt nescaya peringatan tersebut menjadi ancaman kepada permulaan seksaan dari Allah swt yang lebih berat.

Surah asy-Syuara 26/136-138: Mereka menjawab: "Sama sahaja bagi kami, kamu beri nasihat atau tidak beri nasihat.” “Ini tidak lain, hanyalah adat kebiasaan orang dahulu.” “Dan kami sekali-kali tidak akan diazab.” 

Hati mereka telah tertutup dari menerima kebenaran. Apa juga nasihat diberikan oleh Nabi Hud as namun ia tidak sedikitun memberi bekas. Mereka menerima peninggalan generasi sebelum mereka sebagai sesuatu yang mesti dipertahankan. Generasi sebelum mereka sudahpun mengikuti cara tersebut dan mereka tidakpun ditimpa azab. Jika orang terdahulu tidak ditimpa azab tentu sekali mereka yang mengikuti jalan yang sama tidak akan ditimpa azab. Mereka menganggap apa yang dikatakan oleh Nabi Hud as sebagai pembohongan semata-mata. Mereka bahkan pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan dari musibah yang mereka hadapi.

Surah al-Ahqaf 46/21-23: Dan ingatlah (Hud) saudara kaum ‘Ad, dia memberi peringatan kepada kaumnya di al-Ahqaf (Bukit Pasir), dan sesungguhnya telah terdahulu beberapa pemberi peringatan sebelumnya dan sesudahnya: "Jangan kamu abdikan diri dan beribadat kepada selain Allah, sesungguhnya aku takut kamu ditimpa azab Hari yang besar.” Mereka berkata: "Apakah engkau datang kepada kami untuk memalingkan kami daripada ilah (tuhan) kami? Datangkanlah kepada kami apa yang engkau ancamkan kepada kami, jika kamu adalah orang yang benar.” Dia (Hud) berkata: "Sesungguhnya pengetahuan hanyalah pada sisi Allah, dan aku menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan dengannya, tetapi aku lihat kamu adalah kaum yang jahil.”

Bukan sekadar menolak risalat yang dibawa oleh Nabi Hud as malah mereka mempersendakannya dengan meminta disegerakan azab seperti yang dkatakan oleh Nabi Hud as itu.

Surah asy-Syuara 26/139-140: Maka mereka dustakannya (Hud), lalu Kami binasakan mereka. Sesungguhnya pada yang demikian itu (terdapat) tanda, tetapi kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Rabb (Tuhan) engkau, Dia adalah Al-‘Aziz (Yang Maha Perkasa), lagi Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani).

 Allah swt membalas persendaan mereka dengan mendatangkan azab sebagaimana yang Dia ancamkan.

Surah al-Ahqaf 46/24-25: Maka tatkala mereka melihatnya (berupa) awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami.” Bahkan itulah yang kamu meminta disegerakan, (iaitu) angin yang dalamnya (mengandungi) azab yang pedih. Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabb (Tuhan)nya, maka hilang lenyaplah mereka, kecuali (bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa.

Surah al-Haqqah 69/6-8: Adapun (kaum) ‘Ad, mereka dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Ditimpakan ke atas mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, maka kamu melihat kaum itu padanya mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul tamar yang telah lapuk. Maka adakah kamu melihat seseorang yang tinggal antara mereka?

Allah swt menghantarkan awan kepada kaum ‘Ad. Apabila melihat awan di langit mereka menyangka itu adalah awan yang membawa hujan. Mereka bersorak gembira kerana mengira musim kemarau sudah habis dan hujan akan turun membasahi ladang dan kebun mereka. Kelak kemakmuran yang mereka nikmati dahulu akan mendatangi mereka semula. Melihat sikap kaumnya yang sedang bersuka ria itu Nabi Hud as mengingatkan bahawa awan yang datang itu adalah petanda awal kedatangan azab dari Allah swt yang akan membinasakan kaumnya. Apabila melihat tanda tersebut Nabi Hud as membawa pengikutnya meninggalkan negeri al-Ahqaf yang akan dibinasakan. Tinggallah kaum ‘Ad dalam keseronokan menanti hujan turun, padahal yang akan datang adalah azab yang sangat keras.

Setelah Nabi Hud as dan orang-orang yang beriman sudah keluar ke tempat selamat datanglah awan menyerkup kaum ‘Ad. Awan membawa bersama-samanya angin yang sangat kencang dan sangat dingin. Kedinginan angin menyebabkan berlakunya kekejangan dengan sangat cepat sehingga mereka tidak sempat melarikan diri. Jika mereka masih ada tenaga namun mereka tidak mampu menembusi ‘benteng’ angin yang berpusing dengan pantas. Apa sahaja di bawah serkupan awan itu dibawa terbang oleh angin. Kelajuan angin puting beliung pada zaman ini boleh melebihi 450km/jam. Angin azab yang Allah swt hantarkan jauh lebih kencang dari angin puting beliung zaman ini. Angin azab itu mengangkat, melambung, melontar dan mencampakkan manusia kaum ‘Ad, haiwan, bahan-bahan bangunan, pokok-pokok dan bermacam-macam lagi. Al-Ahqaf adalah negeri yang banyak benteng-benteng pasir. Angin menerbangkan pasir-pasir yang bertindak seumpama pengisar mengikis daging-daging menjadikannya azab yang sangat pedih sebelum menemui ajal. Keadaan demikian berlaku terus menerus selama tujuh malam dan lapan hari.

Surah Hud 11/58: Dan apabila datang ketentuan Kami, Kami selamatkan Hud dan orang yang beriman besertanya dengan rahmat daripada Kami. Dan Kami selamatkan mereka daripada azab yang berat.

Surah al-A’raf 7/72: Kami selamatkan dia (Hud) dan orang yang bersama dengannya dengan rahmat daripada Kami, dan Kami putuskan akar (Kami binasakan semuanya) daripada orang yang mendustakan Kami, kerana mereka itu bukanlah orang yang mahu beriman.

 Allah swt menyelamatkan Nabi Hud as dan orang beriman yang besertanya. Kesemua kaum ‘Ad yang derhaka dibinasa sama sekali, diputuskan akar mereka. Tidak ada keturunan kaum’Ad yang derhaka. Apa yang tinggal hanyalah bekas kebinasaan tersebut.

Surah Hud 11/59-60: Dan begitulah (kisah kaum) ‘Ad yang mengingkari ayat-ayat Rabb (Tuhan) mereka, dan mereka derhaka kepada Rasul-Nya, serta mereka patuhi perintah setiap penguasa yang derhaka (kepada Rabb). Dan mereka diikuti dengan laknat di dunia dan di Hari Kiamat. Ketahuilah, sesungguhnya (kaum) ‘Ad itu kufur kepada Rabb (Tuhan) mereka. Ketahuilah, kebinasaan bagi ‘Ad, kaum Hud itu.

Nabi Hud as membawa pengikutnya berhijrah ke Hadramaut Di sana mereka memulakan semula kehidupan mereka, kembali membangun peradaban dan membiakkan keturunan dengan berasaskan tauhid.