NUH AS: SAINS GENETIK DAN KIMIA ORGANIK

Nabi Nuh as: Sains genetik dan Tannur (tempat pembakaran)

Kaum Nabi Nuh as pula bukan setakat mereka sudah hilang bakat menerima kebenaran malah mereka juga kehilangan keupayaan melahirkan zuriat yang berpotensi menerima iman.

Surah Nuh 71/26-27: Nuh berkata: "Rabbi (wahai Tuhanku)! Janganlah Engkau biarkan di atas bumi ini, seorangpun antara orang kafir itu tinggal.” “Sesungguhnya Engkau, jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba Engkau, dan mereka tidak akan melahirkan kecuali yang fajir (derhaka) lagi  kafir. 

Nabi Nuh as adalah seorang yang pakar dalam sains genetik. Gene kaumnya telah rosak ke tahap tidak boleh diubati. Mereka bukan sekadar mengalami kesesatan akidah malah kesesatan akidah itu sudah menjadi penyakit yang menyerap pada gene mereka seumpama pesakit kanser yang memindahkan gene kansernya kepada keturunannya. Unsur genetik kanan mereka yang berupaya menerima Cahaya Ilahi dan menghasilkan tenaga amal salih sudah tidak berfungsi langsung. Unsur genetik kiri mereka yang menerima tenaga kegelapan Taghut sangat aktif. Jika mereka melahirkan zuriat, hanya unsur genetik kiri yang aktif pada bayi mereka. Amat sukar bagi unsur genetik kanan mahu bangkit semula. Inilah sebabnya bayi yang dilahirkan oleh ibu bapa Muslim diterima sebagai Muslim sejak lahirnya kerana unsur genetik kanan pada bayi tersebut sangat aktif dan mudah menerima pendidikan kepaada jalan Muslim yang sebenar. Sangat sukar untuk menukar seorang Muslim menjadi kafir. Bayi orang kafir pula dikuasai oleh unsur genetik kiri, maka mudahlah ibu bapa yang kafir mendidik anak mereka untuk terus menjadi kafir. Sangat sukar mahu menukar orang kafir menjadi Muslim. 

Sains genetik dan ilmu perkapalan dan pelayaran merupakan mukjizat Nabi Nuh as. Baginda as diberikan tugas yang besar iaitu memilih baka terbaik dari kalangan manusia dan  haiwan. Baka-baka yang dipilih oleh Nabi Nuh as mestilah berpotensi mengeluarkan jenis masing-masing terus menerus sehingga hari kiamat. Jika Nabi Nuh as salah membuat pilihan nescaya ada jenis yang pupus dalam masa yang singkat.

Allah swt membenarkan pengetahuan tentang sains genetik yang ada dengan Nabi Nuh as.

Surah Hud 11/36: Diwahyukan kepada Nuh: “Bahawa tidak ada lagi yang akan beriman daripada kaum engkau, kecuali orang yang sudah beriman, maka janganlah engkau berdukacita terhadap apa yang mereka kerjakan.”

Allah swt memutuskan bahawa tidak ada lagi yang akan beriman kepada Nabi Nuh as kecuali mereka yang sudah beriman, maka datanglah perintah sebagaimana ayat di bawah:

Surah al-Mukminun 23/27: Lalu Kami wahyukan kepadanya (Nuh): "Buatlah bahtera dengan mata-mata (pengawasan) Kami dan wahyu Kami.

Surah Hud 11/37-39: “Dan buatlah sebuah kapal dengan mata-mata (pengawasan) Kami dan wahyu Kami, dan janganlah engkau perkatakan kepada-Ku tentang orang yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan.” Dan dia (Nuh) membuat kapal itu. Dan setiap kali lalu kumpulan daripada kaumnya di hadapannya, mereka mengejeknya. Dia (Nuh) berkata: “Jika kamu mengejek kami, maka kami juga mengejek kamu sebagaimana kamu mengejek.” “Kelak kamu akan ketahui siapakah yang akan ditimpa azab yang menghinakan dan ditimpa azab yang berkekalan.”

Allah swt memerintahkan Nabi Nuh as membina kapal. Teknologi pembuatan kapal adalah perkara baru terutamanya bagi Nuh as yang tinggal di tempat yang tandus. Allah swt mengilhamkan ilmu dan menghantar wahyu tentang teknologi pembuatan kapal itu. Segala daya dan upaya adalah hak Allah swt. Dia mengurniakan daya dan upaya kepada hamba-hambaNya sehingga mereka mampu melaksanakan apa yang Allah swt perintahkan.

Sepanjang pekerjaan membina kapal itu Nuh as tidak perlu lagi menghiraukan urusan kaumnya. Allah swt sudah menetapkan mereka akan ditenggelamkan. Oleh itu biarkan sahaja apa juga gangguan daripada mereka. Mereka mengejek Nuh as kerana membina kapal di bumi gersang atau padang pasir. Bagi mereka pekerjaan yang demikian tidak masuk akal.  Bertambah-tambahlah kekufuran mereka.

Surah Hud 11/40: Sehingga apabila perintah Kami datang, tannur (tempat bakaran) mengeluarkan air, Kami berfirman: “Muatkanlah ke dalamnya (kapal itu) sepasang daripada setiap jenis, dan keluarga engkau, kecuali orang yang telah didahului oleh ketetapan atasnya (bahawa mereka ditinggalkan), dan (muatkanlah pula) orang yang beriman.” Dan tidak ada yang beriman bersamanya (Nuh) kecuali sedikit (jumlahnya).

Tanda sudah dekat masa akan berlakunya perintah Allah swt, iaitu kebinasaan bagi kaum Nabi Nuh as, ialah tannur mengeluarkan air. Apabila Nabi Nuh as melihat tannur mengeluarkan air, mulalah baginda as memasukkan jenis-jenis haiwan yang dipilihnya ke dalam kapalnya. Tidak ada nas yang sahih tentang berapa banyak yang dimuatkan ke dalam kapal tersebut, tetapi ianya satu jumlah yang sangat besar. Pekerjaan tersebut sangat rumit dan memakan masa yang lama.

Tannur

11-40: Sehingga apabila perintah Kami datang, tannur (tempat bakaran) mengeluarkan air,

Tannur adalah tempat pembakaran, seperti dapur, oven, kilang pembakar roti dan lain-lain. Apabila perintah Allah swt datang berlakulah keadaan yang luar biasa. Kimia organik benda-benda di bumi berubah sehinggakan api mengeluarkan air dengan jelas.

Api adalah hasil daripada tindak-balas kimia yang dipanggil pembakaran. Pada satu tahap tindak-balas pembakaran itu, dipanggil titik penyalaan, api terhasil. Kandunagn utama api adalah karbon dioksida, wap air, oksigen dan nitrogen. Agar pembakaran dan api terjadi, tiga perkara diperlukan: bahan bakar, oksigen dan tenaga (biasanya dalam bentuk haba).

Karbon dioksida biasanya dikeluarkan dalam api. Banyak benda yang boleh terbakar mengandungi karbon. Semua benda hidup mengandungi karbon. Benda yang dimaksudkan ialah organik. Benda-benda seperti kayu, kertas, gasolin, kerosen dan banyak daripada pakaian adalah dijadikan daripada bahan organik. Bila berlaku kebakaran karbon dalam bahan-bahan organik bergabung dengan oksigen dalam udara untuk menghasilkan haba. Dalam pembakaran yang lengkap, bahan bakaran akan mengeluarkan air dan karbon dioksida sahaja (tidak ada asap dan lain-lain produk). Apinya berwarna biru. Ia memerlukan oksigen yang mencukupi untuk menggabungkan sepenuhnya dengan bahan bakaran. Jika oksigen tidak mencukupi pembakaran menjadi tidak lengkap. Produk yang terhasil adalah karbon, karbon monoksida, air dan karbon dioksida. Apinya berwarna kuning atau oren dan kedapatan asap.

Bahan bakar yang aktif biasanya mengandungi sebatian organik, terutamanya hidrokarbon, pada tahap gas, cecair atau pepejal. Contoh pembakaran yang mudah ialah pembakaran hidrogen dan oksigen yang biasa digunakan pada tindak balas dalam enjin roket: 2 H2 + O2 → 2 H2O(g) + haba. Hasilnya ialah wap air.

Bila hidrokarbon (sebatian organik yang mengandungi hanya hidrogen dan karbon) terbakar dalam oksigen tindak balas tersebut akan hanya menghasilkan karbon dioksida dan air. Kebanyakan hidrokarbon ditemui di bumi secara semulajadinya berlaku dalam minyak mentah, dimana bahan organik yang yang reput dan terurai menyediakan dengan banyaknya karbon dan hidrogen.

Wap air merupakan bahan yang biasa ujud dalam gas gunung berapi, berjumlah 60% daripada jumlah pelepasan tatkala berlaku letusan permukaan. Tetapi wap air yang mengwap dari permukaan laut merupakan wap air terbanyak dalam atmosfera bumi.

Adalah benar api menghasilkan air. Jika sudu dihangatkan di atas api lilin wap air akan kelihatan di atas sudu itu. Air juga keluar dari paip ekzos kereta.

Air dari langit dan air dari bumi

11-40: Sehingga apabila perintah Kami datang, tannur (tempat bakaran) mengeluarkan air,

Apabila perintah Allah swt datang, maka datanglah kekuatan yang menguatkuasakan perintah tersebut. Allah swt memerintahkan api mengeluarkan air. Unsur-unsur alam tunduk kepada perintah tersebut. Berlakulah tindak-balas kimia yang mengubah bahan bakar menjadi organik hidrokarbon, menyimpan potensi yang tinggi untuk menghasilkan air. Dalam keadaan biasa api menukar air kepada wap dan air membungkus api daripada mendapat oksigen yang mencukupi. Kekuatan mukjizat datang merombak formula alam. Api mengeluarkan wap dan dengan serta merta menukar wap air itu kepada cecair air. Cecair air bertemu dengan api tetapi tidak mengganggu sifat api. Kekuatan mukjizat membentuk ‘dinding’ di antara air dengan api sehingga kedua-duanya boleh muncul bersama dengan sejahtera. Di bawah kawalan kekuatan mukjizat tannur atau apa jua yang membakar akan mengeluarkan air. Api dan air yang bersifat berlawanan bersatu untuk melaksanakan perintah Allah swt.

Surah Qamar 54/11-12: Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang tercurah. Dan Kami pancarkan daripada bumi mata air, maka bertemulah air itu untuk satu urusan yang sungguh telah ditetapkan. 

Terdapat tannur yang besar di bumi, iaitulah gunung-gunung berapi. Tannur yang paling besar ialah teras bumi. Di bawah lapisan bumi terdapat tannur yang bersedia mengeluarkan isinya. Kekuatan mukjizat menolak keluar bahan panas dari dalam bumi. Air yang dihasilkan mengeluarkan tenaga sejuk, bergabung dengan tenaga panas api, meretakkan bumi, lalu memancarlah air dari gunung-gunung berapi dan dari bumi melalui rekahannya. Keadaan bumi ketika itu benar-benar huru-hara. Semua yang berpotensi mengeluarkan haba mahu keluar ke permukaan bumi, menyumbang khidmat dalam menghasilkan air yang akan melaksanakan perintah Allah swt.

Ada penyelidik mendakwa telah menemui kapal Nabi Nuh as di atas sebuah gunung di Turki. Tinggi gunung tersebut 14,000 kaki. Jika ini diandaikan benar, bermakna paras air banjir zaman Nabi Nuh as itu melebihi 14,00 kaki dari paras laut sekarang.

Surah Hud 11/42-43: Dan ia (kapal) berlayar membawa mereka dalam ombak seperti gunung. Dan Nuh memanggil anak-nya yang berada di tempat yang jauh: “Wahai anakku, naiklah bersama kami dan janganlah kamu menyertai orang yang kafir itu.” Dia (anak Nuh) menjawab: “Aku akan mencari perlindungan di gunung yang akan menyelamatkan aku daripada air.” Nuh berkata: “Tidak ada yang dapat diselamatkan daripada ketentuan Allah pada hari ini, kecuali orang yang dikasihani-Nya.” Dan gelombang memisahkan keduanya, maka dia (anak Nuh) termasuk dalam golongan orang yang ditenggelamkan.

Ombak banjir tersebut setinggi gunung. Tinggi gunung yang biasa ialah 12,000 kaki. Anak Nabi Nuh as yang enggan naik kapal bapanya mahu mencari perlindungan di gunung tetapi Nabi Nuh as memberitahu anaknya tidak ada gunung yang cukup tinggi yang dapat menyelamatkan anaknya itu.

Jumlah air yang sangat banyak diperlukan untuk menjadikan banjir sebesar banjir zaman nabi Nuh as. Air laut dan air dari perut bumi tidak mencukupi. Sumber air yang sangat banyak ada di langit.

Surah Qamar 54/11: Maka Kami bukakan pintu langit dengan air yang tercurah.

Surah al-Anbiya’ 21/30: Dan apakah orang kafir tidak perhatikan langit dan bumi itu kedua-duanya (dahulu) adalah sekepal, kemudian Kami pisahkan antara kedua-duanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka apakah mereka tidak juga beriman?

Surah an-Nur 24/45: Dan Allah ciptakan semua jenis haiwan daripada air. Sebahagiannya ada yang berjalan di atas perutnya, dan sebahagian (yang lain) berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian (yang lain lagi) berjalan dengan empat kaki. Allah ciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu adalah Maha Kuasa.

Air merupakan asas penciptaan kehidupan. Pada suhu biasa air ujud dalam bentuk cecair. Air juga boleh ujud dalam bentuk ais dan wap. Air meliputi 71% daripada permukaan bumi. Di atas bumi 96.5% air adalah laut dan sungai, 1.7% adalah air dalam tanah dan 1.7% lagi adalah glasier dan selebihnya adalah jumlah kecil di dalam udara sebagai wap.

Air di dalam alam semesta (universe) terjadi akibat pembentukan bintang. Bila bintang-bintang terbentuk keluarlah angin yang kuat mengandungi gas dan debu. Bila bahan-bahan yang muncul itu bergeser dengan gas di sekelilingnya, gelombang kejutan yang berlaku akan memampat dan memanaskan gas. Air dihasilkan daripada gas tebal yang hangat itu. Para penyelidik menemui awan yang sangat besar mengandungi wap air yang jumlahnya 140 trillion kali lebih banyak daripada air yang ada di bumi keseluruhannya. Ia berada di ruang angkasa raya yang dinamakan quasar terletak 12 billion tahun cahaya dari bumi. Air juga dikesan di dalam awan-awan antara bintang (interstellar clouds) di dalam galaksi yang ada bumi padanya, iaitu Bima Sakti (Milky Way).

Surah Qamar 54/11: Maka Kami bukakan pintu langit dengan air yang tercurah.