FIKIRAN, LIBERALISMA DAN SEKULARISMA

Adam a.s ditempa daripada tanah. Bahagian Adam a.s yang ditempa daripada tanah ini dinamakan jasad, tubuh badan atau diri yang zahir. Jasad yang dari tanah itu walaupun sudah sempurna kejadiannya, cukup lengkap dengan sekalian anggota namun, ia tetap kaku, tidak dapat bergerak, tidak merasakan apa-apa dan tidak dapat berkata-kata. Ia sudah mempunyai otak tetapi otaknya tidak dapat berfikir. Ia sudah mempunyai mata tetapi matanya tidak dapat melihat. Ia sudah mempunyai telinga tetapi telinganya tidak dapat mendengar. Ia hanyalah satu lembaga yang kaku. Tetapi sebaik sahaja ia menerima tiupan dari Roh Allah s.w.t segala-galanya berubah dengan serta merta. Otaknya mula berfungsi. Mata, telinga dan semua anggotanya juga mula berfungsi. Ia juga boleh merasa. Ia bukan lagi satu lembaga yang kaku tetapi ia sudah menjadi insan yang hidup, boleh berfikir, boleh berkata-kata, boleh bergerak dan boleh merasa. Keajaiban itu berlaku semata-mata kerana tiupan dari Roh Allah s.w.t. Bahagian Adam a.s yang menerima tiupan daripada Roh Allah s.w.t itu dinamakan Diri Batin atau rohani.

Adam a.s dan keturunan beliau a.s yang dibangsakan sebagai manusia diciptakan Allah s.w.t untuk dijadikan khalifah di bumi. Khalifah boleh diartikan menurut beberapa pengertian. Pada pengertian pertama khalifah bermaksud pengganti kepada makhluk yang telah pupus. Satu ketika dahulu bumi ini pernah didiami oleh satu bangsa makhluk tetapi makhluk tersebut telah dibinasakan oleh Allah s.w.t kerana mereka berbuat derhaka kepada Allah s.w.t. Sejak makhluk bangsa tersebut pupus tidak ada lagi makhluk berakal yang mendiami bumi. Adam a.s diciptakan untuk menggantikan bangsa yang telah pupus itu. Khalifah pada makna yang kedua bermaksud pengganti Rasulullah s.a.w, yang menjadi pemimpin umat Islam setelah baginda s.a.w wafat. Khalifah dalam segi ini ada dua kategori iaitu khalifah rasyidin (yang dipimpin) dan khalifah umum. Saidina-saidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali termasuk dalam golongan khalifah rasyidin yang mendapat pimpinan Allah s.w.t dan dijamin kebenaran mereka. Pimpinan mereka mendapat keredaan Allah s.w.t. Perbuatan dan perkataan khalifah rasyidin boleh dijadikan rujukan dalam pembentukan hukum-hukum agama, selepas al-Quran dan as-Sunah. Khalifah yang selain mereka tidak memiliki darjat yang demikian. Pada makna yang ke tiga pula khalifah bermaksud makhluk atau golongan yang memiliki ciri-ciri khusus mengatasi semua makhluk atau golongan lain. Ia bermaksud bangsa manusia yang memiliki bakat-bakat serta keupayaan melebihi makhluk lain dalam menguruskan hal-ehwal di bumi yang meliputi kehidupan manusia sendiri dan juga makhluk yang lain.

Allah s.w.t mengurniakan fitrah sejagat kepada manusia kerana mereka memikul amanah serta beban tugas yang suci lagi mulia:
 (Allah bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. ( Ayat 172 : Surah al-A’raf )

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk  mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah al-Dhariyat )

Fitrah manusia bukan sekadar berperanan dalam mentadbir penghidupan menurut tabiat semula jadi kemanusiaan malah lebih penting lagi ia adalah persediaan buat manusia melakukan kehambaan (ubudiah) terhadap Allah s.w.t.

Manusia yang bergerak dalam sekop fitrahnya mampu memperolehi maklumat melalui akal fikiran, ilham dan kasyaf. Pancaindera dan fikiran bergabung di dalam mendapatkan maklumat mengenai perkara yang zahir. Maklumat yang diperolehi dengan cara ini boleh dikembangkan oleh akal fikiran dengan menggunakan hukum logik dan formula-formula yang dapat disusun oleh akal fikiran. Kebolehan berfikir yang dihasilkan oleh fitrah manusia mampu membawa manusia meneroka segala bidang lahiriah seperti sains, teknologi maklumat, matematik, astronomi, kedoktoran, pentadbiran negara dan lain-lain. Sempadan bagi akal fikiran adalah logik. Ia tidak mampu mengolah sesuatu yang telah keluar daripada daerah logik.

Bakat-bakat fitrah merupakan kenyataan kepada firman Tuhan yang bermaksud: “Dan telah diajarkan kepada Adam nama-nama semuanya”. Segala maklumat yang perlu bagi manusia menjalankan tugasnya sebagai khalifah di bumi sudahpun ada pada fitrahnya. Proses pembelajaran, pengalaman, penyelidikan dan sebagainya merupakan cara mencungkil maklumat yang tersimpan di dalam khazanah fitrah, bukan membawa masuk maklumat yang baharu. Pada satu tahap, maklumat di dalam khazanah fitrah dicungkil melalui cara berfikir. Kebolehan berfikir ini dikuasai oleh semua manusia kecuali orang gila.

Kemampuan akal fikiran manusia sangat mengagumkan. Manusia mampu membentuk sistem politik, sosial dan ekonomi mereka dengan bakat yang ada pada akal fikiran mereka. Dalam hal ini nilai-nilai asas yang ada pada manusia menjadi dasar kepada pembentukan sistem tersebut. Nilai-nilai asas dikongsikan oleh semua mansuia tidak kira apa bangsa, keturunan dan agama. Sesuatu sistem politik, sosial atau ekonomi yang diperkenalkan oleh seseorang mampu diterima oleh orang ramai walaupun berlainan bangsa dan agama. Oleh kerana akal fikiran mampu mencipta sistem yang sangat rapi, maka manusia merasakan mereka tidak perlu kepada sumber lain untuk berbuat demikian. Mereka merasakan mereka tidak memerlukan sistem yang bersumberkan Tuhan seperti yang dikatakan oleh ahli agama, lebih-lebih lagi masyarakat yang dibayangi oleh doktrin agama yang terkeluar jauh daripada nilai asas kemanusiaan. Apabila doktrin agama tidak mampu menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh akal yang kritis, mudahlah manusia meninggalkan agama dan berpegang kepada akal fikirannya.

‘Pertuhanan’ kepada akal fikiran menajdi asas kepada ideologi liberalisma. Liberalisma ialah pegangan yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi. Secara umum, liberalisma mencita-citakan suatu masyarakat yang bebas, dicirikan oleh kebebasan berpikir bagi para individu. Fahaman liberalisma menolak adanya kongkongan atau pembatasan, khususnya dari pemerintah dan agama. Dalam masyarakat modern, liberalisma dapat tumbuh dengan subur dalam sistem demokrasi, hal ini dikarenakan keduanya sama-sama mendasarkan kebebasan majoriti. Liberalisma menekankan hak-hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan beragama, kebebasan pemahaman dan pelindungan dari campur tangan kerajaan di dalam kehidupan peribadi. Liberalisma secara umumnya menentang peraturan-peraturan kerajaan di dalam kesusasteraan, seni, akademik, perjudian, seks, pelacuran, penguguran kandungan, arak, ganja dan dan lain-lain yang dianggap sebagai hak individu. Kebanyakan ahli-ahli liberal menentang separuh atau semua peraturan-peraturan kerajaan yang mencampuri hal-hal ini. Ahli liberal ekonomi mahu hanya sedikit atau tiada langsung peraturan-peraturan kerajaan di pasaran. Ada ahli liberal ekonomi yang berpendapat bahawa kerajaan tidak mempunyai fungsi langsung dalam hal pegurusan ekonomi ada juga yang hendak mengecilkan peranan kerajaan kepada perundangan, keselamatan dan pertahanan sahaja.
 
Liberalisma menghidangkan perkara yang paling digemari iaitu kebebasan: kebebasan berfikir (free thinking), kebebasan seksual, kebebasan bersuara, kebebasan dari kongkongan agama dan apa juga kebebasan yang manusia inginkan. Liberalisma menghalalkan zina asalkan dilakukan secara suka sama suka. Hubungan sejenis juga halal asalkan syarat utama diikuti iaitu suka sama suka. Dibolehkan berkahwin sesama jenis malah ada yang berkahwin dengan orang mati dan lebih dahsyat lagi berkahwin dengan binatang. Semuanya dibolehkan atas alasan hak asasi. Hak asasi dan demokrasi menjadi landasan bagi puak liberalisma mengembangkan ideologi mereka.

Liberalisma membawa kepada sekularisma. Sekularisma adalah konsep bahawa kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing dari agama dan/atau kepercayaan agama. Dalam istilah politik, sekularisma adalah suatu gerakan terhadap pengasingan agama dan kerajaan (di Barat diistilahkan pemisahan geraja dan negara). Ini adalah dirujukkan pada mengurangkan ikatan di antara kerajaan dan agama negara, menggantikan undang-undang berasaskan agama (Kitab Suci dan hukum Syariat) dengan undang-unudang sivil, dan menghapuskan perselisihan pada asas agama. Alasannya ialah untuk menambahkan demokrasi dengan melindungi hak asasi agama minoriti. Fahaman sekular memisahkan urusan kehidupan dunia daripada agama, ia tidak ada hubungan dengan Tuhan dan tidak ada hubungkait dengan akhirat. Perpisahan ini berlaku dalam semua bidang, tidak kira sama ada di bidang ekonomi, politik, pendidikan, pentadbiran, kebudayaan, perhubungan dan lain-lain lagi. Ia adalah fahaman keduniaan semata-mata. la tidak ada sangkut paut dengan akhirat. Bagi orang yang berfahaman sekular, hidup di dunia ini hanya habis di dunia. Untung rugi hanya berlaku di dunia. Susah atau senang hanya di dunia. Tidak ada balasan di akhirat. Dosa dan pahala tidak masuk kira kerana kehidupan hanya di dunia semata-mata. Di dalam fahaman sekular, syariat tidak dipedulikan. Syariat tidak ada tempat dalam kehidupan. Tuhan tidak campur tangan dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian manusia boleh buat apa sahaja. Yang penting mendapat untung. Yang diperlukan adalah pembangunan dan kemajuan. Yang mustahak mendapat kemenangan dan kejayaan walau apa cara sekalipun. Walau terpaksa menghalalkan cara. Halal dan haram jangan difikirkan. Pantang larang jangan diambil kira.

Golongan sekular yang tulin adalah mereka yang tidak percaya langsung adanya Tuhan dan kehidupan Hari Akhirat. Agama dianggap candu kepada manusia. Agama direka oleh manusia sendiri. Alam wujud secara semulajadi. Apa yang berlaku dalam alam ini tidak ada kena mengena langsung dengan Tuhan kerana Tuhan tidak wujud. Golongan yang berpegang dengan fahaman ini adalah orang yang berfahaman komunis, atheis atau free thinker.

Ada pula mereka yang masih percaya kepada Tuhan tetapi mereka mengikuti fahaman sekularisma. Ini disebabkan kepercayaan yang mereka pegang lebih berbentuk khayali, tidak mampu menjawab persoalan logik yang dikemukakan oleh akal fikiran. Agama menjadi tradisi atau adat dan upacara yang dilakukan dalam hal-hal tertentu, tidak dibawa masuk ke dalam kehidupan harian. Kehidupan harian diuruskan berpandukan fahaman sekularisma yang tidak mengambil kira doktrin agama mereka. Inilah golongan kafir yang masih percaya kepada Tuhan tetapi tidak faham apa yang dimaksudkan sebagai Tuhan.
 
Di kalangan umat Islam juga muncul puak yang mengambil fahaman sekular. Mereka ini terdiri daripada orang-orang yang berpendidikan tinggi dan merasakan mereka adalah golongan intelek. Mereka, sebagaimana ahli liberalisma yang lain, meletakkan bakat akal fikiran sebagai sumber tertinggi dalam menentukan benar atau salah. Tuhan dan peraturan Tuhan dibawa kepada analisa akal fikiran. Oleh kerana akal fikiran mereka tidak mampu menghuraikan tentang Tuhan, maka Tuhan diletakkan dalam perkara yang misteri. Akal fikiran mereka melihat segala yang berlaku dalam alam ini adalah berdasarkan humum logik dan sebab musabab, tidak kelihatan kepada mereka peranan Tuhan dalam urusan kehidupan ini. Oleh kerana mereka masih percaya kepada Tuhan, maka mereka masih melakukan upacara agama dalam hal-hal tertentu tetapi dalam urusan kehidupan, politik, sosial dan ekonomi, mereka beralih kepada fahaman liberalisma yang mengagungkan bakat akal fikiran.

Golongan liberal dan sekular hanya menumpukan perhatian mereka kepada dunia dan yang nyata. Jika mereka masih percaya kepada akhirat tetapi mereka tidak mengambil berat tentangnya. Bila perhatian kepada akhirat tidak ada syurga dan neraka tidak lagi memberi kesan. Dosa dan pahala tidak lagi diendahkan. Syariat tidak lagi menjadi amalan. Apa yang dicari hanyalah keuntungan dunia. Terkenallah kaedah matlamat menghalalkan cara.

Ada juga di kalangan orang Islam yang yakin kepada kebenaran Islam tetapi mereka berasa rendah diri apabila berhadapan dengan puak liberal yang lebih maju daripada mereka. Mereka menerima ideologi liberalisma dan sekularisma agar mereka diterima oleh golongan tersebut, atau demi menjaga sesuatu kepentingan mereka yang dikuasai oleh puak liberal dan sekular itu.
 
Orang Islam liberal dan sekular meminggirkan nilai ketuhanan dan menggantikannya dengan sesuatu bentuk pergantungan mutlak kepada rasional, sama seperti orang kafir yang liberal dan sekular. Fahaman demikian mudah diterima oleh orang yang lemah imannya kerana ia sangat bersesuaian dengan keinginan nafsu.

Orang yang mencampakkan syariat Allah swt ke belakang itu dipanggil fasik sebagaimana dinyatakan oleh Quran.

Surah al-Baqarah 2/26: Dan tidaklah Dia sesatkan dengan sebabnya melainkan orang yang fasik.

Surah al-Baqarah 2/27: (Iaitu) orang yang merombak perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan mereka memutuskan apa yang Allah perintahkan supaya diperhubungkan, dan mereka melakukan kerosakan di bumi. Mereka itulah orang yang rugi.

Orang fasik adalah orang yang merombak perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya. Mereka mengistiharkan diri mereka sebagai penganut agama Islam. Mereka mengucapkan kalimah iman dan tauhid. Mereka telah mengadakan janji yang teguh dengan Allah. Tetapi mereka memecahkan janji itu. Rupanya mereka laksana lalang yang hanya mengikut tiupan angin. Bila orang ramai berduyun-duyun memasuki Islam mereka pun ikut sama. Oleh kerana ibu bapa mereka Islam mereka juga menjadi Islam tetapi tidak ada ilmu dan penghayatan Islam. Mereka menjadi orang Islam yang tidak berpegang dengan Islam. Tiada iman dalam hati mereka. Jika adapun ianya sangat tipis dan mudah sahaja koyak. Oleh itu dengan mudah sahaja mereka melupakan ikrar mereka.

Orang fasik tidak berpegang dengan hukum dan peraturan Allah. Tidak ada istilah dosa dan pahala bagi mereka. Mereka boleh melakukan perkara keji tanpa berasa bersalah. Oleh kerana mereka berada dalam kelompok Islam mereka juga kadang-kadang mengerjakan amalan Islam seperti orang Islam yang lain. Mereka bersolat dan berpuasa tetapi mereka juga berzina, berjudi, meminum arak, menipu dan sebagainya. Perbuatan golongan fasik inilah yang sering dijadikan hujah dengan mengatakan amalan Islam tidak membendung kejahatan atau langsung sahaja dikatakan bahawa orang Islam dengan orang kafir sama sahaja. Mereka melakukan kerosakan di bumi. Mereka merosakkan imej Islam. Mereka bersekongkol dengan musuh-musuh Islam. Mereka memperlekehkan hukum dan peraturan Islam. Mereka melakukan perbuatan maksiat dan keji. Bila mereka mudah melakukan kerosakan dalam agama maka lebih mudah lagi mereka melakukan kerosakan pada kehidupan dunia. Mereka telah berada di dalam kelompok yang benar tetapi mereka tidak memperolehi manfaat daripadanya. Bila orang kafir dan munafik mencemuh Islam mereka mengikuti perbuatan jahat itu.

Quran telah menceritakan empat jenis manusia, satu berada di luar daripada Islam dan tiga di dalam golongan Islam. Orang kafir yang berada di luar Islam mudah dikenali. Mereka memusuhi Islam secara terang-terangan. Di dalam golongan Islam hanya satu golongan sahaja yang benar, iaitu orang yang beriman dan bertakwa. Puak yang paling bahaya ialah puak munafik. Munafik sebenarnya kafir, sama seperti orang kafir yang di luar Islam. Bezanya munafik berada di dalam kalangan umat Islam dan menunjukkan sikap beriman secara berpura-pura. Kafir dan munafik sama-sama inginkan kejatuhan Islam. Menangani puak kafir lebih mudah daripada menangani puak munafik. Kafir yang mengistiharkan permusuhan dengan Islam mudah dihadapi dengan terang dan berhadapan. Munafik pula bersembunyi di sebalik pengakuan keislaman mereka. Secara zahirnya mereka mempunyai hak yang sama dengan orang Islam. Jika silap mengambil tindakan ke atas mereka maka akan dikatakan bahawa orang Islam menganiayai orang Islam yang lain. Ini yang berlaku dalam dunia Islam. Apabila satu puak sudah mengistiharkan puak lain sebagai munafik, halallah harta, darah, dan nyawa puak yang dianggap munafik itu. Berlakulah pembunuhan di kalangan umat Islam. Apa yang ketara ialah orang Islam membunuh orang Islam. Begitulah sukarnya menangani isu munafik itu. Oleh sebab itu banyak daripada kejahatan mereka terlepas. Keadaan ini juga menjadikan mereka musuh dalam selimut yang sangat merbahaya. Perlu diingatkan bahawa puak munafik di dalam Islam bukan hanya wujud pada zaman Rasulullah saw, malah pada zaman ini juga ada puak munafik, bahkan tidak hairan jika bilangan mereka jauh lebih ramai dan mereka lebih berkuasa. Quran telah memberi gambaran tentang orang munafik. Rasulullah saw tidak mengambil langkah membunuh golongan munafik. Tetapi baginda saw mengambil tindakaan tegas membendung pergerakan munafik. Masjid yang didirikan oleh puak munafik dan dijadikan markas penyebaran fitnah telah diperintahkan oleh Rasulullah saw agar dirobohkan. Tindakan baginda itu mestilah dijadikan contoh. Ulul ‘Amri (pemerintah umat Islam) perlu mengawasi dan mengenalpasti golongan munafik dan tidak membiarkan pertubuhan mereka bergerak bebas menyebarkan fitnah dan menyebabkan orang ramai menjadi keliru oleh fitnah mereka.

Puak munafik ini diperkuatkan lagi dengan kewujudan puak fasik di dalam Islam. Orang fasik boleh dikatakan Islam tidak dan kafir pun tidak. Oleh kerana tidak ada ketaatan dan kecintaan terhadap agama maka mereka boleh menjadi orang yang menjual agama atau bersatu dengan musuh Islam bagi menghancurkan Islam. Orang fasiklah yang banyak mencemarkan imej umat Islam kerana mereka mencampurkan amalan Islam dengan amalan yang dibenci oleh Islam.
   
Perlu diingatkan orang munafik dan orang fasik tidak mengaku mereka munafik dan fasik. Bahkan mereka berani mengaku mereka lebih arif tentang Islam. Mereka dengan mudah sahaja menolak pendapat ulama yang muktabar. Golongan inilah yang menyebabkan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam.

Surah al-Baqarah 2/99: Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada engkau ayat-ayat yang jelas, dan tidak ada yang mengingkarinya melainkan orang yang fasik.

Wahyu Allah adalah jelas, tulen, benar dan tahan diuji. Orang yang tidak dapat melihat kebenaran wahyu Allah adalah orang yang fasik. Orang yang secara sengaja dan berpengetahuan mengingkari wahyu Allah adalah juga orang yang fasik.

Kemunafikan dan kefasikan bukanlah halangan untuk mereka memperolehi ilmu pengetahuan, membina kemajuan dan mengumpul kekayaan. Ramai di antara orang Islam yang bersifat munafik dan fasik itu berada dalam kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Islam. Ada yang menjadi pemimpin, pendidik, pedagang dan lain-lain. Mereka mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran dan
pengurusan kaum Muslimin. Oleh kerana keimanan mereka tidak ada atau sangat lemah dan kecintaan mereka kepada Islam tidak lahir, maka perhatian mereka bukan kepada Islam. Tindak tanduk mereka bukan berdasarkan mencari keredaan Allah dan menegakkan takwa. Oleh itu mereka dengan rela dan bangga menyebarkan perkara-perkara yang bertentangan dengan tatasusila, budaya dan peraturan Islam. Malah ada di kalangan mereka yang berani menanggung dosa orang lain demi menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan hukum dan peraturan Islam.

Orang yang beriman berkewajipan menyelamatkan diri mereka daripada fitnah dan menjadikan al-din hanya untuk Allah semata-mata. Mereka hendaklah benar-benar ikhlas dalam memegang dan melaksanakan al-din. Kumpulan orang beriman yang ikhlas ini akan menjadi besi berani menarik orang lain untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Kekuatan semangat perjuangan kumpulan beriman ini akan melemahkan kegiatan munafik dan fasik. Apabila fitnah kemunafikan dan kefasikan sudah dihentikan, maka tidak ada lagi permusuhan. Sesiapa yang masih juga meneruskan penyebaran fitnah, maka mereka terpaksa berhadapan dengan penentangan daripada kesatuan kaum Muslimin yang beriman dan bertakwa.