ILHAM, FALSAFAH DAN PLURALISMA

Apa yang Tuhan ajarkan kepada Adam a.s (dan manusia sekaliannya) bukan sekadar penggunaan akal fikiran. Apabila sampai kepada kemuncak kekuatan berfikir iaitu apabila hukum logik gagal memberi huraian maka manusia beralih kepada bakat keduanya iaitu ilham. Bidang ilham sesuai untuk diterokai oleh mereka yang bebas daripada hukum logik, iaitu tarikan anasir alam, pengaruh kebendaan dan hawa nafsu. Kebanyakan yang termasuk di dalam golongan ini adalah ahli falsafah yang telah membebaskan hati mereka daripada sempadan kebendaan. Bila hati sudah berjaya melepaskan diri daripada kongkongan kebendaan dapatlah ia masuk ke dalam bidang ilham yang berada di sebalik alam kebendaan. Ilham membuka kefahaman tentang unsur ghaib yang mempengaruhi perjalanan kehidupan yang zahir.

Ilham boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ilham ahli falsafah dan ilham ahli sufi (ahli kerohanian). Ahli falsafah menggunakan kekuatan dirinya untuk berjuang menentang hawa nafsu dan membebaskannya daripada tarikan anasir-anasir alam. Bila telah berjaya berbuat demikian rohaninya mampu memandang kepada keghaiban yang menyelimuti alam zahir. Dia dapat menyaksikan tenaga ghaib yang membentuk sistem dan mempengaruhi perjalanan segala yang zahir. Di sebalik semua itu dia dapat melihat kesempurnaan: kesempurnaan peraturan dan perjalanan alam maya dan kesempurnaan Pencipta segala kesempurnaan itu. Renungan ahli falsafah berakhir dengan pengakuan tentang wujudnya kekuasaan Mutlak yang mencipta dan mengatur perjalanan alam ini. Kelarutan (kefanaan) di dalam kesempurnaan itu menjadikan ahli falsafah mencintai yang sempurna dan bergerak membentuk kesempurnaan di dalam kehidupan ini.

Ahli sufi pula di samping berjuang menentang hawa nafsu dan tuntutan badaniah dia juga membenamkan dirinya ke dalam zikir atau ingatan kepada Allah s.w.t secara terus menerus. Pergantungannya tidak terlepas daripada Tuhan. Apabila dia berjaya di dalam perjalanannya dia berjaya di dalam keadaan ingat dan bergantung kepada Allah s.w.t. Oleh itu ilham yang terbuka kepadanya lebih berkaitan dengan Tuhan daripada makhluk Tuhan. Perhatiannya terhadap makhluk, termasuklah dirinya sendiri, mengecil dan perhatiannya kepada Tuhan membesar. Jika ilham ahli falsafah lebih tertumpu kepada kesempurnaan dan kerapian  penciptaan iaitu perbuatan Tuhan, ilham ahli sufi pula tertumpu kepada keelokan dan kesempurnaan sifat Tuhan yang menciptakan segala kesempurnaan dan keelokan itu. Ilham ahli falsafah melahirkan rasa kekaguman terhadap Pencipta sementara ilham ahli sufi pula melahirkan rasa kehampiran dan keasyikan terhadap Pencipta Yang Maha Indah lagi Maha Sempurna. Ilham sufi bukan sekadar melahirkan pengakuan dan keasyikan terhadap Yang Maha Mencipta dan Maha Mengatur, malah ahli sufi juga memperolehi keyakinan tentang kedudukannya pada taraf kehambaan yang perlu membuktikan kehambaan itu.

Ahli falsafah ‘berjalan’ mencari kebenaran tanpa membawa sesuatu kepercayaan awal. Di akhir perjalanannya dia menemui kebenaran bersifat universal: Wujud kekuasaan Mutlak yang mencipta dan mengatur perjalanan alam ini. Yang Memiliki kekuasaan mutlak itu mencipta dan mengatur dengan sempurna. Segala-galanya yang ada dalam alam ini berada dalam keseimbangan. Planet-planet berinteraksi sesama sendiri sehingga terbentuk jaringan tenaga yang menstabilkan seluruh zarah alam. Setiap makhluk berfungsi dengan sempurna dalam sekop penciptaan masing-masing. Wujud Mutlak yang mencipta dan mengatur segala-galanya itu tidak memerlukan balasan dari makhluk ciptaanNya. Cukuplah sekadar makhluk itu sendiri memelihara kesempurnaan, kestabilan dan keseimbangan yang sudah diciptakan oleh Maha Pencipta. Jika mahu juga menunjukkan terima kasih kepada Maha Pencipta lakukanlah apa yang difikirkan wajar sekadar kemampuan makhluk itu sendiri, asalkan ianya ikhlas. Kebenaran universal yang ditemui oleh ahli falsafah inilah asas kepada fahaman pluralisma.
Pluralism berarti beragam pemahaman, atau bermacam-macam fahaman. Pluralisma agama merupakan konsep yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai. Di antara fahaman pluralisma agama adalah Tuhan mencipta banyak agama menurut kesesuaian umat manusia yang terdiri dari berbagai bangsa di pelbagai masa dan tempat. Semua ajaran agama-agama adalah benar dan semua orang boleh sampai kepada Tuhan dengan mengikut jalan manapun. Semua agama di dunia ini menyeru pada Tuhan dan semuanya adalah benar. Sesiapapun tidak boleh mendakwa agama mereka sahaja yang benar dan betul sementara agama lain salah dan sesat! Kerjasama dan dialog antara agama-agama yang berbeza perlu digalakkan bagi meningkatkan persefahaman dan mengujudkan suasana harmoni di antara masyarakat yang berbilang agama.

Falsafah pluralisma mudah diterima oleh pengamal liberalisma malah golongan liberalisma merupakan penyebar fahaman pluralisma yang aktif. Mereka terdiri daripada penganut berbagai-bagai agama. Mereka juga mempunyai kedudukan yang tinggi dan penting dalam masyarakat antarabangsa. Mereka memiliki sumber kewangan yang banyak. Lebih utama mereka mempunyai pengaruh dalam politik negara-negara di seluruh dunia. Senjata mereka adalah hak asasi, demokrasi dan kesamarataan agama.

Pluralisma agama bukanlah perkara baharu. Jalaluddin Muhammad Akbar, juga dikenali sebagai Akbar Agung (15 Oktober, 1542 – 15 Oktober, 1605), anak kepada Humayun yang menjadi pemerintah Empayar Mughal daripada 1556 hingga 1605, telahpun memperkenalkan kesatuan agama yang dipanggil Din-i-Ilahi (Agama Tuhan). Beliau berhasrat mendamaikan rakyatnya yang menganut berbagai-bagai agama dengan cara mengambil unsur terbaik daripada semua agama, terutamanya Islam, Hindu, Kristian, Jainism dan Zoroaster. Beliau menggalakkan toleransi beragama dan diadakan debat agama dimana ulama memperdebatkan masalah keagamaan dengan mubaligh agama-agama yang lain. Orang Islam, Hindu, Katholik malah Ateis juga diajak menyertai perdebatan demikian. Beliau membina sebuah bangunan yang dipanggil Ibadat Khana atau Rumah Ibadat sebagai tempat pertemuan dan perdebatan ahli-ahli agama. Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan Gereja Katolik, yang sentiasa menghantar para paderi Jesuit untuk berdebat, dan sekurang-kurangnya tiga daripada cucunya telah dibaptis sebagai Katolik (walaupun mereka menjadi Muslim pada kehidupan mereka). Hasil daripada perdebatan ahli-ahli agama, Akbar merumuskan tidak ada satu agamapun yang berhak mendakwa sebagai satu-satunya agama yang benar.

Din-i-Ilahi ciptaan Akbar itu dilihat hanya untuk memuja dan mengagungkan dirinya sendiri dan agama itu tidak mendapat sambutan dan lenyap dengan singkat selepas kematiannya. Di antara ulama yang kuat menentang Din-i-Ilahi ialah Ahmad Sirhindi (digelar sebagai mujaddid atau pembaharu Islam) yang menghukumkan ianya adalah kekufiran.

Gerakan penentangan terhadap agama di Barat yang dilakukan oleh golongan liberal dan sekular berlaku akibat kecelaruan doktrin agama Kristian yang dianuti oleh sebahagian besar penduduknya. Kitab Injil yang asal sudah banyak diubah sehingga muncul berbagai-bagai versi Kitab Injil. Ia mendapat kritikan yang hebat. Kandungannya tidak lagi relevan. Golongan liberal dan sekular berpendapat kebenaran boleh  didapati dari manusia sendiri berasaskan akal rasional atau pengalaman dan bukan  kitab-kitab agama. Muncullah tiga jenis pegangan berhubung dengan keagamaan. Pegangan pertama, Tuhan tidak wujud atau diragui kewujudannya. Kedua, alam ini wujud dengan sendiri, iaitu menurut hukum alam bukan hukum Tuhan. Ketiga, akal manusia mampu memahami semua masalah manusia, fenomena alam dan lain-lain. Pendapat agama ditolak.

Gerakan liberalisma dan sekularisma masuk juga ke dunia Islam. Oleh kerana umat Islam rata-rata berpegang teguh dengan tradisi Islam, mereka susah terpedaya dengan propaganda liberalisma dan sekularisma. Serangan terhadap umat Islam diperkuatkan dengan menggabungkan pemikiran liberalisma, sekularisma dan pluralisma. Gabungan tiga isma tersebut mendapat sokongan daripada penganut agama-agama minoriti di negara-negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim. Golongan ini menjadi kuat apabila ada pemimpin-pemimpin Islam menyokong mereka. Liberalisma, sekularisma dan pluralisma menjadi agenda politik yang disembunyikan di sebalik isu kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, hak asasi menentukan amalan kehidupan, demokrasi yang menjamin kebebasan dan hak-hak tersebut dan juga jaminan kesamarataan agama. Mereka mahu kerajaan dan institusi keagamaan tidak mencampuri urusan yang mereka anggap sebagai hak peribadi. Mereka mahu mengamalkan dengan bebas aktiviti seks bebas, ekonomi bebas, bebas bersuara, bebas berkumpul, bebas mengkeritik termasuklah mengkeritik doktrin agama Islam, Kitab Suci Quran dan Nabi Muhammad saw. Perkara pertama yang dilakukan oleh Muslim dan juga bukan Muslim yang mengamalkan liberalisma, sekularisma dan pluralisma ialah meletakkan Nabi Muhammad saw sebagai manusia biasa yang sama kedudukan dengan manusia-manusia lain. Gerakan seperti ini sudahpun berlaku di zaman umat-umat terdahulu.

Surah al-Mukminun 23/33-34: Dan berkatalah pemuka kaumnya, orang yang kafir dan mendustakan pertemuan akhirat (kelak), dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia: "Tidak lain dia (Nuh) ini, melainkan manusia seperti kamu, memakan apa yang kamu makan, dan meminum apa yang kamu minum.” “Dan sesungguhnya jika kamu mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya kamu (menjadi) orang yang rugi.” 

Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Mereka memiliki kemewahan. Mereka melihat Nabi-nabi hanyalah manusia biasa yang makan dan minum seperti manusia yang lain. Apa yang dibawa oleh Nabi-nabi tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka, malah mentaati ajaran Nabi-nabi boleh menyebabkan mereka kerugian seperti kewajipan mengeluarkan zakat.

Surah Hud 11/27: Maka berkatalah pembesar-pembesar kafir daripada kaumnya itu: “Kami tidak melihat engkau (Nuh) melainkan manusia (biasa) seperti kami. Dan kami tidak melihat orang yang mengikuti engkau melainkan orang yang rendah (kedudukannya) antara kami, (iaitu yang mengikuti engkau) dengan tidak berfikir. Dan kami tidak melihat engkau memiliki suatu kelebihan (yang melebihi) daripada kami, bahkan kami beranggapan engkau adalah seorang yang berdusta.”

Setelah meletakkan Nabi-nabi pada kedudukan manusia biasa, mereka menjadikan pengikut Nabi-nabi yang kebanyakannya terdiri daripada golongan yang rendah kedudukannya, sebagai alasan bagi mengatakan ajaran Nabi-nabi hanya diikuti oleh orang-orang yang tidak berpelajaran, yang jahil, yang tidak berfikiran bebas. Jika hanya orang-orang dungu mengikuti Nabi-nabi sudah tentu ajaran Nabi-nabi itu boleh dipertikaikan.

Surah al-Mukminun 23/35-37: “Apakah dia (Rasul itu) menjanjikan kepada kamu, bahawa setelah kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan (daripada kubur)?” “Jauh, jauh sekali (daripada kebenaran) apa yang diancamkan kepada kamu itu.” “Ia tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini; kita mati dan kita hidup, dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi.”

Perkara yang paling tidak dapat diterima oleh pemikiran bebas ialah ada kehidupan sesudah mati, iaitu kehidupan akhirat. Golongan liberal melihat dunia inilah permulaan dan kesudahan kehidupan. Muslim yang liberal masih mempercayai akhirat tetapi ia tidak memberi kesan kepada hati untuk mencegahnya dari melakukan keburukan dan maksiat.

Surah Luqman 31/6: Dan antara manusia ada orang yang membeli (mempergunakan) cerita yang sia-sia untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan Allah tanpa pengetahuan, dan menjadikannya olok-olok.

Ideologi liberalisma, sekularisma dan pluralisma yang menyesatkan itulah yang lebih mempengaruhi jiwa mereka. Muslim liberal dan plural bekerjasama dengan kafir yang berfahaman yang sama untuk menghancurkan Institusi Islam. Kedudukan ulama diperlekehkan. Perjuangan menjatuhkan pemimpin-pemimpin Islam dianggap sebagai perjuangan suci menegakkan keadilan dan memelihara hak asasi manusia. Mereka lebih bertolak ansur dengan orang kafir daripada sesama Islam. Kecemburuan beragama tidak ada pada mereka, maka mereka tidak peduli jika ada orang Islam menjadi murtad (malah mereka sanggup membantu orang yang murtad demi menjaga hati sekutu mereka), Kitab Suci al-Quran dipijak atau dibakar, Nabi Muhammad saw dihina malah mereka sanggup menjual nama Allah demi mendapat habuan dunia yang sedikit.

Surah Luqman 31/7: Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berpaling dengan menyombongkan diri, seolah-olah dia tidak mendengarnya, seakan-akan ada penyumbat pada kedua-dua telinganya; gembirakanlah dia dengan azab yang pedih. 

Mereka tidak takut walaupun diperingatkan dengan ayat-ayat Allah, hukumanNya atau kehinaan dan azab yang akan menimpa mereka di akhirat kelak. Golongan seperti ini muncul dalam semua zaman. Mereka menerima tajalli syaitan untuk merosakkan akidah tauhid, mengubah Kitab-kitab Suci dan mengada-adakan cerita tentang Nabi-nabi bagi merendah-rendahkan martabat Nabi-nabi, bahkan di kalangan mereka ada yang membunuh Nabi-nabi.

Surah Aali-‘Imran 3/21-22: Sesungguhnya orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah dan membunuh Nabi-nabi tanpa hak (kebenaran), dan membunuh orang yang mengajak manusia berlaku adil, maka ancamkan mereka dengan azab yang pedih. Itulah orang yang amalan mereka menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak mendapat penolong.

Surah an-Nisa’ 4/155: Maka (Allah mengutuk mereka) kerana mereka memungkiri perjanjian mereka, dan mereka kufur kepada ayat-ayat Allah, mereka membunuh Nabi-nabi tanpa hak (dengan tidak benar) dan mereka katakan: “Hati kami tertutup,” bahkan (sebenarnya) Allah telah memetraikannya (hati mereka) kerana kekufuran mereka, maka mereka tidak akan beriman melainkan sedikit.

Surah al-Baqarah 2/102: Dan mereka ikuti apa yang diceritakan oleh syaitan-syaitan mengenai kerajaan Sulaiman, padahal Sulaiman tidak kafir, tetapi syaitan-syaitan itulah yang kafir.

Quran memanggil golongan tersebut sebagai syaitan-syaitan. Syaitan tersebut mengadakan cerita kononnya Nabi Sulaiman as menjadi kafir di penghujung usia beliau as. Selain Nabi Sulaiman as bapa beliau Nabi Daud as juga disabotaj oleh puak syaitan itu. Mereka membawa cerita yang sangat mengaibkan tentang Nabi Daud as, kononnya Nabi Daud as melakukan maksiat terang-terangan. Apabila Nabi-nabi dicemari dengan perlakuan maksiat, dosa dan kekufuran, mudahlah mereka mengenakan tipu daya kepada orang yang mempercayainya agar membuang ajaran Nabi-nabi.

Muslim yang menyokong liberalisma dan pluralisma membantu syaitan-syaitan merosakkan agama. Mereka tergamak berbuat demikian kerana mereka beragama bukan dengan sepenuh hati.

Surah al-Hajj 22/11-13:     Dan antara manusia ada yang mempertuhankan Allah secara sampingan; jika dia memperolehi kebaikan, tenteramlah dia dengannya, dan jika dia ditimpa bencana, berbaliklah dia atas mukanya (menjadi kufur). Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata. Dia menyeru selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudarat dan tidak memberi manfaat kepadanya. Demikian itu adalah kesesatan yang jauh. Dia menyeru kepada sesuatu yang mudaratnya lebih dekat daripada manfaatnya. (Yang diserunya itu) sejahat-jahat penolong dan sejahat-jahat kawan.

Sebelum menjadi plural ia bermula dengan liberal terlebih dahulu. Liberalisma adalah pemikiran bebas, tidak terikat dengan Quran, Hadis dan Ijmak. Fahaman liberalisma dan pluralisma mengancam semua agama sebab mereka yang liberal tidak terikat dengan mana-mana ajaran dan hukum-hakam agama masing-masing. Umat Islam perlulah memandang serius terhadap ancaman fahaman liberalisma dan pluralisma itu. Fahaman demikian merosakkan asas agama iaitu: memelihara kesucian agama, memelihara akal, memelihara keturunan, memelihara harta dan memelihara jiwa. Memelihara kesucian agama adalah memelihara tauhid. Golongan liberal dan plural tidak peduli samada orang bertauhid atau melakukan syirik. Mereka juga memandang remeh perbuatan meminum arak atau mendapatkan makanan dan minuman yang haram. Mereka juga menerima perbuatan zina dan meliwat sebagai hak asasi seseorang yang tidak boleh disekat baik oleh kerajaan ataupun otoriti agama. Sekiranya prinsip asas agama tidak dipelihara ia boleh mewujudkan hubungan sejenis, melakukan sesuatu tanpa merujuk al-Quran, Hadis dan Ijmak serta sanggup menggadaikan negara. Negara merupakan harta yang paling besar dimiliki oleh seseorang dan wajib dipertahankan dari dimusnahkan oleh golongan yang tidak ada kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara.