NABI SYITH AS DAN NABI IDRIS AS MENGHIDUPKAN AMAL SALIH


Nabi Syith as

Adam as dibekalkan dengan pengetahuan yang cukup untuk menjalankan tugas sebagai Khalifah Allah swt di bumi. Adam as memperturunkan pengetahuannya kepada keturunannya secara langsung atau tidak langsung. Adam as mengajar secara langsung kepada anak-anaknya ilmu penternakan (Habil mengambil bidang penternakan), ilmu pertanian (Qabil mengambil bidang pertanian) dan ilmu pembinaan (pembinaan Rumah Ibadat). Sejak generasi manusia yang pertama Adam as sudahpun mengajarkan asas kesinambungan kehidupan iaitu penyediaan tempat tinggal dan sumber makanan.

Tidak semua ilmu sempat diajarkan oleh Adam as secara langsung kepada anak-anaknya. Kebanyakan dari ilmu berpindah melalui benih atau gene. Semua bakat kemanusiaan terkumpul pada benih manusia, seperti juga benih pokok tersimpan dalam satu biji. Pada biji yang satu itu tersimpan bakat dan keupayaan untuk melahirkan akar, batang, ranting, daun, bunga, buah sehingga muncul satu batang pokok yang lengkap. Lebih kompleks lagi pada benih asal yang satu itu ada keupayaan untuk membiak menjadi pokok-pokok yang lain yang sama jenis yang tidak terhingga banyaknya. Pada benih Adam as dan keturunannya tersimpan bakat dan keupayaan untuk melahirkan ilmu yang bersumberkan apa yang Allah swt ajarkan sebagaimana firmanNya:

Surah al-Baqarah 2/31-33: Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (pengenalan yang lengkap) sekaliannya;

“Dia mengajarkan” merupakan jaminan Allah swt bahawa Tenaga Ilahiah sentiasa memelihara dan mengawal apa yang Dia kurniakan kepada Adam as yang akan diwarisi kepada Bani Adam sekaliannya. Tenaga Ilahiah memelihara dan mengawal benih manusia, gene atau DNA atau hormon atau jenis darah atau apa sahaja yang manusia sudah tahu, yang belum tahu dan yang tidak akan tahu selama-lamanya. Tenaga Ilahiah mempastikan evolusi manusia berjalan dengan sempurna, meletakkan bakat pengetahuan pada benih, mengembangkannya pada akal sehingga muncullah inovasi dalam kemahiran manusia.

Iblis telah berjaya memperdayakan Adam as sehingga Adam as dikeluarkan dari Taman (Syurga). Di bumi pula iblis berjaya memperolehi wadah pertamanya pada Qabil sehingga Qabil membunuh saudaranya Habil. Tidak diketahui dengan jelas kisah Qabil sesudah melakukan pembunuhan itu. Ada yang meriwayatkan Qabil membawa Ikrima lari meninggalkan penempatan bapa mereka. Qabil mengambil penempatan di Irak dan disanalah keturunannyaa membiak (riwayat ini tidak dapat disahihkan).

Selepas kematian Habil, pasangan Adam as dan Hawa dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Syith. Syith adalah satu-satunya anak kelahiran Hawa yang tidak ada kembarnya. Ada riwayat mengatakan Syith as hidup sekitar 3630-2718 SM, meninggal pada usia 1042 tahun. Menurut keterangan Ibnu ‘Abbas, ketika Syith as dilahirkan, Nabi Adam as sudah berusia 930 tahun. Ketika masih sakit, Nabi Adam as berwasiat kepada Syith as untuk menggantikan tempatnya sebagai pemimpin Bani Adam. Syith as juga dikatakan menjadi guru Nabi Idris as yang pertama kali mengajarkan baca dan tulis, ilmu falak, menjinakkan kuda dan lain-lain.

Meskipun Nabi Syith as tidak termasuk dalam senarai 25 Rasul yang wajib diketahui, namun Nabi Syith as memberi makna yang besar kepada Bani Adam selepas peristiwa pembunuhan Habil. Kesalihan Nabi Syith as mengimbangi semula kekacauan yang berlaku berpunca dari Qabil. Nabi Syith as menyambung tugas bapanya Adam as dalam membimbing Bani Adam kepada jalan yang lurus. Nabi Syith as merupakan anak Adam as yang paling teratas dalam segi keilmuan, kecerdasan, ketakwaan dan kepatuhan dibandingkan dengan semua anak Adam as yang lain. Nabi Syith as merupakan anak yang paling banyak menimba ilmu dari telaga ilmu bapanya. Di samping pengetahuan yang diperolehi dari bapanya Nabi Syith as juga menerima sebanyak 50 syahifah daripada Allah swt, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Dzar, Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah menurunkan 104 shahifah (lembaran suci, yakni selain empat Kitab Suci pada empat Rasul). Sebanyak 50 shahifah diberikan kepada Syith”.

Bani Adam berkembang biak. Selepas 40 tahun Adam as membina Masjidil Haram, Adam as membina Masjidil Aqsa. Ini bermakna dalam tempoh tersebut keturunan Adam as sudahpun berkembang hingga ke Palestin. Melalui keturunan Syith as sendiri lahirnya Nabi Idris as, Nabi Nuh as, Nabi Ibraham as dan keturunananya.

Nabi Idris as

Menurut satu riwayat Nabi Idris as adalah keturunan keenam dari Nabi Adam as melalui nasab Nabi Syith as. Ada riwayat yang mengatakan Nabi Idris as lahir di Irak dan ada pula yang mengatakan lahir di Mesir. Ada yang mengatakan Nabi Idris as lahir sesudah 1,000 tahun kewafatan Nabi Adam as dan ada yang mengatakan beliau as hidup bersama Adam as selama 308 tahun. Ada yang mengatakan Nabi Idris as wafat di langit keempat. Beliau as hidup selama 82 tahun. Ada pula yang mengtakan Nabi Idris as itu adalah Nabi Ilyas as.

Kesemua riwayat tersebut tidak ada dalil dari Quran atau Hadis. Apa yang sahih ialah Nabi Idris as merupakan salah seorang daripada 25 orang Rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam.

Surah al-Anbiya’ 21/85-86: Dan Ismail, Idris dan Zulkifli. Semua mereka termasuk orang yang sabar. Dan Kami masukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang yang salih.

Allah swt menceritakan Nabi-nabi tersebut adalah orang yang sabar dan mereka dimasukkan ke dalam rahmat Alalh swt. Mereka termasuk orang yang salih. Orang salih ialah orang yang melakukan amal salih dan amal salih mesti disertai iman. Jika tidak ada iman tidak ada salih.

Surah Sad 38/28: Atau apakah Kami jadikan orang yang beriman dan beramal salih sama dengan orang yang berbuat kerosakan di bumi?  Atau apakah Kami jadikan orang yang bertakwa sama dengan orang yang derhaka?

Lawan kepada amal salih ialah amal yang menyebabkan berlaku kerosakan di bumi. Orang yang beramal salih adalah orang yang bertakwa sementara orang yang melakukan kerosakan di bumi adalah orang yang derhaka.

Surah al-Baqarah 2/30:    Dan (ingatlah) ketika Rabb (Tuhan) engkau berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak jadikan seorang khalifah (wakil) di bumi.”

Surah al-An’am 6/165: Dan Dia menjadikan kamu Khalifah Bumi, dan Dia tinggikan sebahagian kamu melebihi yang lain beberapa darjat, untuk menguji kamu dengan apa yang Dia berikan kepada kamu. Sesungguhnya Rabb (Tuhan) kamu itu sangat cepat seksaan-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun), Maha Mengasihani.

Allah swt melantik bangsa manusia menjadi Khalifah di bumi, diberi amanah untuk memakmurkan bumi dan memelihara kesejahteraan serta mengelakkan daripada perkara yang boleh merosakkannya. Melaksanakan amanah tersebut bermakna melakukan amal salih. Mengkhianati amanah tersebut bermakna melakukan kederhakaan kepada Allah swt. Pelaksanaan secara benar tugas sebagai Khalifah merupakan pekerjaan yang salih.

Surah al-Baqarah 2/277: Sesungguhnya orang beriman dan beramal salih, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, bagi mereka pahala di sisi Rabb (Tuhan) mereka, dan tidak ada ketakutan pada mereka dan mereka tidak berdukacita.

Amal salih boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama amal salih dalam pengibatan kepada Allah swt. Dalam hal ini manusia tidak ada jalan kecuali berpandukan wahyu dari Allah swt. Hanya wahyu yang boleh menceritakaan bahawa Dia adalah “Allah”. Jika Dia tidak memberitahu Dia adalah Allah nescaya tidak ada yang tahu Dia adalah Allah. Hanya wahyu yang boleh mengajarkaan cara beribadat kepadaNya. Jika tidak ada bimbingan wahyu nescaya manusia merekacipta berbagai-bagai cara ibadat. Manusia yang menolak bimbingan wahyu beribadat dengan berbagai-bagai cara. Ada yang menyembah patung. Ada yang menyembah anasir alam. Ada yang menyembah manusia. Tanpa bimbingan wahyu manusia mengadakan ibadat yang berunsurkan syirik.

Amal salih jenis kedua ialah yang berhubung dengan kehidupan seharian manusia. Piawaian dalam hal ini ialah nilai-nilai murni kemanusiaan. Pada fitrah manusia sudah ada bakat mengenal yang benar dan yang salah. Apabila wahyu datang menceritakan mana yang benar dan mana yang salah fitrah manusia dapat menerimanya dengan mudah. Nilai-nilai murni kemanusiaan diperakui juga oleh golongan falsafah sekalipun mereka menolak wahyu. Secara umumnya manusia mengakui mencuri dan membunuh adalah salah. Secara umumnya juga fitrah manusia mampu menyusun dan mengurus-tadbir urusan sosial dan politik. Bakat fitrah juga membolehkan manusia meneroka bidang sains, astronomi, IT dan sebagainya. Wahyu datang membenarkan apa yanag sudah ada dengan fitrah manusia dan wahyu mengajarkan agar disertai dengan iman pada melaksanakan bakat fitrah tersebut. Apabila ada penyertaan iman maka pelaksanaannya menjadi amal salih.

Memelihara kesejahteraan bumi dan penduduknya adalah amal salih. Ahli kaji-cuaca yang beriman yang membantu umat manusia menyelamatkan diri sebelum ribut melanda adalah melakukan amal salih. Ahli sains yang beriman yang melakukan kajian tentang penyakit dan ubat-ubatan adalah mengerjakan amal salih. Pakar perikanan yang beriman yang mengkaji tentang pembiakan ikan adalah melakukan amal salih. Pakar pertanian yang mengkaji kaedah penanaman padi dua atau tiga musim adalah melakukan amal salih.

Menyekat perkara-perkara yang merosakkan bumi dan penduduknya juga amal salih. Orang beriman yang mengkaji cara membenteras penyalah-gunaan dadah dan jenayah adalah melakukan amal salih. Jurutera dan arkitek yang beriman yang membangun bangunan yang tidak runtuh, boleh didiami dengan selamat, adalah melakukan amal salih. Pakar ketenteraan yang beriman yang menyelidik kaedah menumpaskan musuh adalah melakukan amal salih.

Perkara yang sangat penting dalam melakukan amal salih ialah ilmu. Iman dan ilmu diperlukan dalam melakukan amal salih. Orang yang tinggi darjat salihnya adalah orang yang kuat imannya dan mendalam ilmunya. Dalam golongan ini yang paling atas ialah Nabi-nabi. Nabi-nabi bukan sahaja membimbing dalam urusan beribadat kepada Allah swt malah mereka juga pelupur dalam bidang ilmu.

Nabi Adam as dikatakan perintis ilmu sains. Baginda tahu kaedah menanam pokok dan membuat besi. Baginda juga mempunyai ilmu yang lengkap merangkumi pengiraan, kemahiran, keimanan, dan keduniaan. Selain itu baginda mahir dalam pelbagai bahasa yang kemudiannya tersebar ke seluruh dunia.

Sains Nabi Syith as dikatakan pakar dalam bidang perubatan dan pelopor kepada ilmu astronomi yang kemudiannya diwarisi oleh ilmuan Mesir, Yunani, dan Babylon.

Ada riwayat mengatakan Nabi Idris dianugerahi kepandaian dalam berbagai disiplin ilmu, kemahiran, serta kemampuan untuk mencipta alat-alat yang dapat mempermudahkan pekerjaan manusia, seperti pengenalan tulisan, matematik dan ilmu astronomi.

Nabi Nuh as dikatakatan memiliki ilmu fizik dan matematik yang tinggi. Baginda as memiliki ilmu pelayaran dan merupakan nakhoda yang cekap. Baginda as juga memiliki kemahiran dan teknologi membuat kapal, memiliki ilmu sains bahan iaitu sains kayu dan logam besi juga ilmu tumbuh-tumbuhan dan pertanian. Segala ilmu yang dimiliki oleh baginda as adalah daripda wahyu Allah swt.

Diriwayatkan Nabi Hud as dan Nabi Salleh as pakar dalam teknologi bangunan. Nabi Ibrahim as pakar dalam bidang astronomi. Nabi Sulaiman as mahir dalam bahasa haiwan dan binatang, juga ilmu mengenai tembaga. Nabi Isa as pakar dalam ilmu perubatan. Nabi Muhammad saw memiliki semua ilmu sains. Hal ini kerana Nabi Muhammad dianugerahkan sebuah kitab Al-Quran yang terkandung sumber segala ilmu pengetahuan. Di dalam Al-Quran terdapat lebih daripada 1000 petunjuk berkaitan dengan ilmu sains. Nabi Muhammad saw juga pakar dalam bidang geologi dan perubatan.

Walaupun Nabi-nabi tidak membentangkan secara terperinci ilmu yang mereka miliki namun mereka meletakkan asas ilmu yang dengannya mudah dikembangkan oleh ulul albab (orang yang kuaat pemikirannya). Ilmu-ilmu yang dibawa oleh Nabi-nabi dan dikembangkan oleh ulul albab menjadi petunjuk dalam melaksanakan tuntutan amal salih.

Surah Maryam 19/56-57: Dan peringatkanlah (tentang kisah) Idris dalam Kitab. Sesungguhnya dia  seorang yang sangat membenarkan (siddik) dan seorang Nabi. Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi.

Quran menceritakan Idris as adalah seorang siddik dan seorang Nabi. Siddik ertinya seorang yang sangat benar, sangat dipercayai. Siddik adalah seorang yang dikurniakan furqan, iaitu kebolehan membezakan yang benar dengan yang salah. Apabila perkara benar disampaikan kepadanya ‘lampu’ kebenarannya akan menyala. Jika yang salah disampaikan ‘lampu’ kebenarannya tidak menyala. Oleh sebab itu perbuatannya bersumberkan kebenaran yang melahirkan amal salih. Wahyu yang sampai kepadanya memberi makna yang jelas dan pegangan serta amalan berkenaan dengan wahyu itu adalah yang benar. Oleh kerana itu, untuk orang siddik segala maklumat yang sampai kepadanya sudah ditapis, diasingkan yang benar dari yang salah dan apa yang keluar daripadanya baik perkataan mahupun perbuatan adalah yang benar. Orang siddik menjadi penunjuk arah kepada kaum atau zamannya. Pada masa Nabi Idris as jumlah Bani Adam sudah ramai dan mereka menghuni beberapa di atas muka bumi. Ada riwayat mengatakan umat manusia sudah berkembang ke Irak dan Mesir. Keadaan ini menyebabkan berlakunya evolusi sosial, pemikiran dan jiwa. Sudah muncul kekeliruan dalam segi akidah dan amalan. Kekeliruan akidah mula lahir akibat memuliakan anak Adam as secara berlebih-lebihan. Di antara anak-anak Adam as generasi pertama ada yang benar-benar salih dan dimuliakan. Kesalihan dan kemuliaan mereka diceritakan kepada generasi kedua dan seterusnya. Generasi yang di belakang ingin mengenali moyang mereka yang salih itu. Daripada gambaran yang mereka dapat mereka ukir patung menyerupai moyang mereka yang salih itu. Pada peringkat awalan patung-patung moyang diziarahi semata-mata untuk dikenali dan sebagai tanda memuliakan moyang mereka. Generasi yang kemudian pula menziarahi patung-patung tersebut demi memuliakan patung moyang itu. Datang pula generasi seterusnya yang menyembah dan bermohon kepada patung tersebut. Setiap kepercayaan yang lahir ia membawa bersama sesuatu bentuk amalan. Apabila muncul akidah syirik lahir juga amalan syirik. Dalam suasana yang demikian umat manusia memerlukan bimbingan daripada orang siddik dan juga Nabi yang mampu mengasingkan akidah dan amalan yang benar daripada yang batil. Nabi Idris as datang untuk membawa umat manusia kembali kepada jalan yang benar.

Nabi Idris as diangkat Allah swt ke martabat yang tinggi. Ada berbagai-bagai tafsir tentang martabat tinggi yang dianugerahkan kepada Nabi Idris as. Tafsir yang jelas ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang diterimanya dari Syarik bin Abdullah bin Abi Namir, bahawa dia mendengar Anas bin Malik ra berkata, bahawa Rasulullah saw menceritakan tatkala baginda saw mikraj baginda saw berjumpa dengan Nabi-nabi Allah di tiap-tiap langit dan baginda saw berjumpa dengan Nabi Idris as di langit yang keempat. Demikian juga riwayat Muslim dari Malik bin Sya’sya’ah.

Berbagai-bagai riwayat yang lain tidak ada nas yang sahih.