ILAH DAN RABB

Jalan kepada makrifat

Surah al-Ikhlas 112/1: Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani.
Katakanlah: “Dia adalah Allah, Ahad (Maha Esa).”

Dia sendiri yang mengajarkan supaya Dia dipanggil Allah dan Dia menceritakan yang Dia adalah Satu (Esa). Jika tidak ada perkhabaran daripadaNya nescaya manusia tidak tahu bagaimana mahu memanggilNya. Dia menceritakan perihal DiriNya kepada mausia dalam bahasa manusia. Dia juga menceritakan perihal DiriNya kepada makhluk yang lain.

Surah Fussilat 41/11: Kemudian Dia menuju kepada langit dan ia adalah asap, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Datanglah kamu berdua dengan rela atau terpaksa.” Kedua-duanya berkata: "Kami datang dengan rela.” 

Dia berfirman kepada langit dan bumi dalam bahasa yang langit dan bumi faham (tentu sekali bukan dalam bahasa manusia). Langit dan bumi tahu yang berfirman itu adalah Allah dan kedua-duanya akur dengan firman Allah.


Surah an-Nahl 16/68-69: Dan Rabb (Tuhan)mu mewahyukan kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarang-sarang di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang mereka dirikan. Kemudian makanlah daripada segala jenis buah-buahan, serta turutlah jalan Rabb (Tuhan)mu dengan merendahkan diri.” (Dengan itu) akan keluarlah daripada perutnya (lebah itu) minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Dia mewahyukan kepada lebah dan lebah faham wahyu tersebut. Tentu sekali wahyu kepada lebah dalam bahasa lebah, kalau tidak bagaimana lebah boleh faham. Dia bercakap kepada manusia dalam bahasa manusia, bercakap dengan langit dan bumi dalam bahasa langit dan bumi, bercakap dengan lebah dalam bahasa lebah. Dia mewahyukan kepada RasulNya berbangsa Arab dalam bahasa Arab supaya RasulNya mengerti apa yang diwahyukan itu.

Surah az-Zukhruf 43/2-4: Demi Kitab yang menerangkan. Sesungguhnya Kami jadikannya Quran bahasa Arab supaya kamu mengerti.  Dan sesungguhnya ia dalam Ibu Kitab di sisi Kami, benar-benar tinggi, berhikmah. 

Quran diturunkan dalam bahasa Arab kerana Rasul Allah yang menerimanya berbangsa Arab, tetapi Quran itu ada dalam Ibu Kitab di sisi Allah, benar-benar tinggi, berhikmah. Tidak diketahui apakah bahasa Quran yang ada pada sisi Allah itu. Adakah ianya berhuruf atau dalam bentuk kod atau dalam keadaan yang lain namun Jibrail faham bahasa tersebut dan dapat membawanya turun sebagai berbahasa Arab.

Surah al-Syu’ara 26/191-195: Dan sesungguhnya Rabb (Tuhan) engkau, Dia adalah Al-‘Aziz (Yang Maha Perkasa), lagi Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Dan sesungguhnya ia (Quran) benar-benar diturunkan oleh Rabb (Tuhan) sekalian alam. Ia (Quran) dibawa turun oleh Roh al-Amin. Ke dalam hatimu (Muhammad saw), agar engkau menjadi (salah seorang) antara orang yang memberikan peringatan. Dengan bahasa Arab yang jelas. 

Jika RasulNya berbangsa Melayu tentulah diturunkan wahyu dalam bahasa Melayu, tetapi kerana RasulNya berbangsa Arab maka diturunkan wahyu dalam bahasa Arab. Kitab-kitab langit yang lain tatkala berada pada sisi Allah keadaannya sama dengan keadaan Quran yang di sisi Allah. Apabila diturunkan kepada Rasul-rasul ia diturunkan menurut bahasa Rasul berkenaan. Kitab Zabur dalam bahasa Nabi Daud as. Kitab Taurat dalam bahasa Nabi Musa as. Kitab Injil dalam bahasa Nabi Isa as.

Bahasa adalah alat menyampaikan maksud. Bila keluar dari mulut ia adalah bunyi dalam berbagai-bagai bahasa, tetapi bila ia sampai kepada otak, ia bukan lagi bunyi. Ia sudah menjadi kefahaman yang bukan lagi bahasa. Bila ia sampai ke hati ia menjadi penghayatan atau perasaan, yang bukan juga bahasa. Quran dibawa turun oleh Roh al-Amin ke dalam hati baginda Rasulullah saw dan baginda saw mengerti maksud wahyu yang diterimanya. Apabila baginda saw mengeluarkan maksud wahyu tersebut maka ia keluar dalam bahasa Arab kerana itulah bahasa baginda. Oleh kerana sumbernya adalah wahyu maka bahasa Arab yang keluar dari lisan Rasulullah saw adalah bahasa Arab wahyu bukan bahasa Arab biasa. Begitu juga ilham yang dihantar kepada seseorang. Ia bukan dalam bentuk bahasa tetapi orang berkenaan memahami apa yang diterimanya. Bila dia mengeluarkan ilham tersebut dengan lisannya maka zahirlah bahasa menurut lisan orang berkenaan.

Perasaan, fikiran, khayalan, cita-cita dan yang seumpamanya, tatkala dalam suasana asalnya, ia tidak berbahasa. Bila dinyatakan baharulah ia muncul melalui bahasa. Begitu juga dengan niat. Niat tidak berbahasa dan tidak berhuruf, tetapi orang yang berniat itu tahu apa yang dia niatkan. Apabila niat itu dizahirkan oleh orang Melayu ia zahir melalui bahasa Melayu. Apabila dizahirkan oleh orang Arab ia zahir melalui bahasa Arab. Dalam keadaan yang asal sebelum dizahirkan, niat itu jika hendak dibahasakan ia adalah bahasa fitrah, iaitu keupayaan semulajadi yang Allah swt bekalkan kepada manusia. Perjalanan dari dalam ke luar, bahasa fitrah melalui berbagai-bagai proses, dari cetusan hati ke sel otak, membentuk denyutan letrik, melalui otot lidah, mengawal ruang udara dalam mulut sehinggalah keluarlah suara, menjadi bahasa yang difahami. Ada pula proses dari luar ke dalam. Misalnya ayat Quran yang didengar masuk ke dalam telinga dihantar kepada otak, otak mentafsirkannya, maka terdapatlah satu darjat kefahaman. Jika ayat tersebut pergi lebih jauh ia akan mencari fitrah yang menjadi sumber kepada segala bakat-bakat. Ayat yang sampai kepada fitrah akan melahirkan darjat kefahaman yang lebih tinggi dari apa yang difahamkan oleh otak. Sejauh mana sesuatu ayat masuk ke dalam diri seseorang menentukan bagaimana kesannya kepada dirinya. Saidina Umar al-Khattab ra ketika pertama kali membaca ayat Quran, menggeletar seluruh tubuhnya dan terucap di mulutnya: “Ini bukan gubahan manusia.” Zikrullah dan ayat-ayat Alalh yang meresap ke dalam fitrah akan memberi kesan yang sangat mendalam sehingga terkeluar pada zahirnya, seperti gementar tubuhnya atau mengalir air matanya.

Surah al-Anfal 8/2-4: Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rabb (Tuhan) mereka bertawakal. (Iaitu) orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Mereka itulah orang beriman yang sebenarnya. Mereka mendapat beberapa darjat di sisi Rabb (Tuhan) mereka, serta keampunan dan rezeki yang mulia.

Surah al-Hajj 22/34-35: Dan bagi tiap-tiap umat Kami tentukan (syariatkan) cara ibadat, supaya mereka menyebut nama Allah atas apa yang Dia rezekikan kepada mereka daripada binatang ternak. Maka Ilah (Tuhan)mu ialah Ilah (Tuhan) Wahid (Maha Esa), dan aslim (berserah dirilah kamu) kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang tunduk patuh. Orang yang apabila disebut Allah, gementarlah hati mereka, yang bersabar terhadap apa yang menimpa mereka, dan mereka mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian daripada apa yang Kami rezekikan kepada mereka.

Allah mendatangkan syariat atau peraturan kepada setiap umat. Mungkin ada perbezaan sedikit sebanyak di antara syariat satu Nabi dengan syariat Nabi yang datang selepasnya. Peraturan boleh berubah tetapi dasarnya tidak berubah, iaitu wajib patuh kepada peraturan yang Allah swt tetapkan. Al-mukhbitin, iaitu orang yang tunduk patuh menerima peraturan Allah swt tanpa takwil. Induk kepada peraturan tersebut adalah iktikad bahawa Ilah hanya satu, tidak ada ilah lain selain Allah swt. Di antara peraturan yang Allah swt turunkan ialah mendirikan solat dan menginfakkan harta. Bertauhid dan bersungguh-sungguh dalam mendirikan solat, menginfakkan harta dengan bertawakal dan bersabar kepada Allah swt memberi kesan yang kuat bagi mencapai tahap fitrah yang boleh menggetarkan tubuh badan tatkala mendengar nama Allah disebut dan ayat-ayat Allah dibaca. Apabila mata dan telinga fitrah terbuka mudahlah mengerti tentang Allah yang tiada Ilah selain Dia dan Dia adalah Rabb tempat bergantung sekalian makhluk.

Surah al-A’raf 7/172: Dan (ingatlah) ketika Rabb (Tuhan) engkau keluarkan keturunan Adam daripada sulbi (tulang punggung) mereka dan Dia (Allah) jadikan mereka saksi ke atas diri mereka sendiri, (Allah berfirman): “Bukankah Aku Rabb (Tuhan) kamu?” Semuanya menjawab: “Ya, benar, kami menyaksikan.” (Allah lakukan demikian) supaya di Hari Kiamat nanti kamu tidak berkata: “Sesungguhnya kami lalai tentang ini.”

Fitrah manusia sudahpun menyaksikan bahawa Allah adalah Rabb (Tuhan). Makrifatullah yang tersimpan pada fitrah itu perlu dikeluarkan daripada hijab yang membungkusnya. Zikrullah dan ayat-ayat Allah berperanan menyingkap hijab tersebut. Apabila hijab itu tersingkap bebaslah fitrah memancarkan cahayanya. Pada tahap ini kebenaran yang ditemui di luar akan disahkan oleh kebenaran yang sudah ada pada fitrah. Sebab itu biasa terjadi seseorang bertanyakan sesuatu perkara apabila diberikan jawapan dia sendiri mengiyakan jawapan tersebut, padahal pada mulanya dia yang mencari jawapan.

Surah al-Anfal 8/29: Wahai orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah nescaya dijadikan untuk kamu Furqan (pembeza yang memperlihatkan yang benar dan yang salah) dan dihapuskan kesalahan kamu daripada kamu, dan (juga) diampunkan (dosa) kamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah, Ilah dan Rabb

La Ilaha Illallah (Tiada Ilah /Tuhan melainkan Allah)

Bagi tujuan pembelajaran memudahkan kita memahami tentang Allah, Ilah dan Rabb kita perlu mengadakan contoh dan perbandingan. Tetapi perlu kita ingat:

Surah al-An’am 6/100: Subhanahu (Maha Suci Dia), dan Ta’ala (Maha Tinggi) daripada apa yang mereka sifatkan.

Surah as-Saffat 37/159: Subhanallah (Maha Suci Allah) daripada apa yang mereka sifatkan.

Jangan sampai contoh dan perbandingan menyebabkan rosak akidah. Apabila dasarnya sudah dipegang baharulah kita boleh menggunakan contoh perbandingan sebagai cara pembelajaran. Ada dua jenis wujud. Pertama wujud makhluk. Wujud makhluk banyak. Dalam wujud makhluk itu ada satu bangsa yang mengatasi bangsa-bangsa yang lain, iaitulah bangsa manusia. Dalam bangsa manusia itu ada seorang yang melebihi manusia yang lain, namanya Muhammad saw. Muhammad saw ini adalah ketua sekalian Rasul. Andaikata dalam bangsa manusia itu ada seorang sahaja manusia iaitu Muhammad saw, maka makhluk lain akan kata tidak ada seorang manusiapun kecuali Muhammad saw. Andaikata tidak ada seorang Rasul melainkan Muhammad saw dari bangsa manusia yang seorang itu sahaja, maka makhluk lain akan kata tidak ada seorang Rasulpun melainkan manusia dan Rasul manusia itu namaanya Muhamamd saw. Oleh kerana Muhammad saw itu Rasul maka dialah yang mengadakan peraturan dan yang lain berkomunikasi dengannya selaku Rasul. Apabila hendak dibuat persembahan, maka persembahan itu ditujukan kepada Muhammad saw yang manusia, kerana manusia itulah induk, tanpa manusia tidak ada Muhammad saw dan tidak ada Rasul.

Wujud kedua ialah wujud Ilah. Wujud dalam kategori ini hanya satu Ilah sahaja yang ada tidak ada sesuatu apapun yang lain, tidak ada Ilah yang lain dan tidak ada makhluk yang lain. Ilah menamakan DiriNya Allah. Dia adalah Rabb, iaitu yang mencipta, memelihara dan mengurus-tadbir. Justeru dikatakan tidak ada Ilah melainkan satu Diri sahaja iaitulah Allah dan Dia adalah Rabb bagi sekalian ciptaanNya. Makhluk berkomunikasi dengan Allah yang Rabb kerana Rabb yang mengurus-tadbir. Pengibadatan pula ditujukan kepada Allah yang Ilah kerana Ilah itulah induk. Tanpa Ilah tidak ada Allah dan tidak ada Rabb. Sebab itulah diucapkan “La Ilaha Illallah” tidak diucapkan “La Rabb Illallah”.

Surah al-Baqarah 2/163: Dan Ilah (Tuhan) kamu adalah Ilah (Tuhan) Al-Wahid (Yang Maha Esa), tidak ada Ilah (Tuhan) selain Dia (Allah), Al-Rahman (Yang Maha Pemurah), lagi Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani).

Ayatul Kursi menceritakan dengan terperinci keadaan Ilahiah Allah.

Surah al-Baqarah 2/255: Allah, tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Dia, Al-Hayyu (Yang Maha Hidup), Al-Qayyum (Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri), tidak ditimpa mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya yang di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di samping-Nya melainkan dengan izin-Nya? Dia mengetahui yang di hadapan mereka dan  yang di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu apapun daripada ilmu Allah kecuali apa yang Dia kehendaki. Kursi-Nya (pentadbiran Allah) meliputi langit dan bumi, dan tidaklah memberatkan-Nya dalam memelihara kedua-duanya, dan Dia adalah Al-‘Aliy (Yang Maha Tinggi), lagi Al-‘Adzim (Yang Maha Agung).
Allah swt memperkenalkan lagi DiriNya dengan memberitahu Nama-namaNya yang baik-baik dan Sifat-sifatNya.

Surah Ta Ha 20/8: Allah, tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Dia; Dia mempunyai Asma-ul-Husna (nama-nama yang baik).

Surah Hasyr 59/22-24: Dia adalah Allah, yang tiada Ilah (Tuhan) selain Dia, ‘Alim (Maha Mengetahui) akan yang ghaib dan yang nyata. Dia adalah Al-Rahman (Yang Maha Pemurah), lagi Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani). Dia adalah Allah, yang tiada Ilah (Tuhan) selain Dia, Al-Malik (Yang Maha Memerintah), Al-Quddus (Yang Maha Suci), Al-Salam (Yang Maha Sejahtera), Al-Mukmin (Yang Maha Mengurniakan keamanan), Al-Muhaimin (Yang Maha Memelihara), Al-‘Aziz (Yang Maha Perkasa), Al-Jabbar (Yang Maha Gagah), Al-Mutakabbir (Yang Maha Memiliki segala kebesaran). Subhanallah (Maha Suci Allah) daripada apa yang mereka persekutukan. Dia adalah Allah Al-Khaliq (Yang Maha Menciptakan), Al-Baari-u (Yang Maha Mengadakan), Al-Musawwiru (Yang Maha Membentuk rupa), bagi-Nya al-Asma-ul-Husna (Nama-nama yang baik-baik). Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan di bumi. Dan Dia adalah Al-‘Aziz (Yang Maha Perkasa), lagi Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana).

Nama-nama yang Allah swt ceritakan memberi kefahaman yang lebih luas tentang Allah, Ilahiah dan RububiahNya. Beriktikad bahawa Ilah adalah Satu, diikuti dengan amal salih dan ibadat tanpa melakukan syirik menjadi jalan seseorang hamba menemui Rabbnya.

Surah al-Kahf 18/110: Katakan: "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku sesungguhnya Ilah (Tuhan) kamu itu adalah Ilah (Tuhan) Ahad (Maha Esa)." Sesiapa mengharapkan perjumpaan dengan Rabb (Tuhan)nya hendaklah dia mengerjakan amal yang salih, dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Rabb (Tuhan)nya".

Dalam bahasa Melayu Ilah dan Rabb kedua-duanya disebut dengan satu panggilan sahaja iaitu Tuhan. Bagi orang Melayu Tuhan ialah sesuatu yang disembah, segala ibadat dilakukan keranaNya semata-mata, Dia yang menciptakan makhluk, Dia yang mematikan, Dia yang memberi rezeki dan lain-lain sifat yang dinisbahkan kepada ketuhanan. Pengertian makna Tuhan yang digunapakai oleh orang Melayu menggabungkan pengertian bagi Ilah dan Rabb. Tuhan yang dimaksudkan oleh orang Melayu adalah Ilah dan Rabb yang sama iaitulah Allah swt. Perkataan tuhan adalah bahasa yang keluar dari iktikad dalaman yang melampaui bahasa. Apabila orang Melayu berkata: “Ya Allah ya Tuhanku” ia membawa maksud yang tersimpan dalam akal dan hatinya iaitu: “Ya Allah, Ya Ilahi, Ya Rabbi”, yang membawa pengertian ‘Ya Allah Yang Maha Esa, yang disembah, yang ditujukan ibadat, yang menguasai sekalian alam dan yang memiliki segala sifat-sifat ketuhanan.’

Surah at-Taubah 9/129:    Maka jika mereka berpaling, katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Dia; kepada-Nya aku bertawakal dan Dia adalah Rabb (Pemilik) ‘Arasy yang agung.

Jika mahu menterjemahkan perkataan Ilah dan Rabb dari bahasa Quran ke bahasa Melayu, tidak akan ditemui istilah yang tepat. Ilah dan Rabb adalah iktikad dalam hati. Bahasa hati melampaui bahasa lisan. Walau bahasa apa sekalipun digunakan untuk menceritakan apa yang ada dalam hati ia tetap tidak sampai kepada maksud sebenarnya. Apabila dibuat huraian, maka huraian itu hanyalah dalam bentuk ilmu bukan hakikat yang sebenarnya. Apabila disebut perkataan ALLAH, pengertian tentang Allah tidak sama walaupun perkataan dan bunyinya sama. Makrifatullah berbeza-beza di antara seorang dengan seorang yang lain. Namun penjekasan ilmu perlu bagi membimbing kepada pengertian yang benar.

Rabb bermaksud pembuat peraturan, pentadbir atau pengurus dan juga pembimbing. Kalimah Rabb juga bermaksud pencipta dan pemilik langit dan bumi, mengurniakan bakat fitrah kepada setiap makhluk agar masing-masing dapat menjalankan fungsinya. Makna Rabb dalam Al-Qur’an ada kaitan dengan penciptaan alam, pemberi rezeki dan pemberi nikmat kepada manusia. Jika Quran menceritakan tentang kekufuran manusia, maka kekufuran itu adalah kepada Rabb. Ilah pula merujuk kepada “yang disembah” atau yang kepadaNya ditujukan ibadat. Dalam Al-Qur’an perkataan Ilah dikaitkan dengan hal sembahan dan ibadah.

Surah al-Baqarah 2/133: Atau adakah kamu menyaksikan ketika Ya’aqub hampir menemui ajalnya, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Siapakah yang kamu pertuhankan sepeninggalanku?” Mereka menjawab: “Kami akan pertuhankan Ilah (Tuhan) engkau (Ya’aqub) dan Ilah (Tuhan) bapa-bapa engkau, Ibrahim, Ismail (anak Ibrahim) dan Ishaq (anak Ibrahim) iaitu Ilah (Tuhan) Al-Wahid (Yang Maha Esa), dan kami adalah Muslim.”

Selain perkataan Ilah digunakan dengan merujuk kepada Allah swt, Quran menggunakan perkataan ilah juga pada setiap yang diambil sebagai tuhan dan tempat sembahan.

Surah al-Furqan 25/3: Kemudian mereka mengambil ilah (tuhan) selain-Nya, yang (tuhan itu) tidak menciptakan apapun, bahkan mereka sendiri diciptakan, dan tidak ada kekuasaan atas diri mereka sendiri pada kemudaratan, dan tidak pada kemanfaatan, dan tidak ada kekuasaan pada kematian dan kehidupan, dan tidak (pula) kebangkitan.

Surah al-Qasas 28/38: Dan berkata Firaun: "Wahai pembesar! Aku tidak mengetahui ada ilah (tuhan) bagimu selain aku. Bakarlah tanah liat untukku wahai Haman, kemudian buatkanlah untukku menara, barangkali aku dapat melihat Ilah (Tuhan) Musa. Tetapi sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang yang berdusta.”

Walaupun kafir musyrikin menggunakan kalimah Ilah pada tuhan-tuhan mereka dan Firaun menggunakan kalimah Ilah juga untuk menyatakan dirinya adalah tuhan, itu tidak mencacatkan kalimah Ilah yang orang Islam gunakan pada Allah. Ia memudahkan orang kafir musyrikin dan orang-orang yang seperti Firaun mengerti maksud penafian pada ucapan La Ilaha Illallah.

Hak Allah, Ilah dan Rabb

Allah swt memberikan alasan yang padat mengapa tidak boleh ada Ilah selain Dia.

Surah al-Isra’ 17/42-43: Katakan: "Jika ada ilah (tuhan) di samping-Nya, sebagaimana mereka katakan, nescaya mereka (tuhan itu) mencari jalan kepada Yang Memiliki ‘Arasy". Subhanahu wa Ta’ala (Maha Suci dan Maha Tinggi Dia) daripada apa yang mereka katakan itu, sangat tinggi, sangat besar!

Surah al-Anbiya’ 21/22:     Sekiranya ada di antara kedua-duanya (langit dan bumi) ilah (tuhan) selain Allah, tentulah binasa kedua-duanya. Subhanallah (Maha Suci Allah), Rabb (Tuhan) 'Arasy, daripada apa yang mereka sifatkan.

Surah al-Mukminun 23/91:  Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada Ilah (Tuhan) beserta-Nya. Kalau demikian, nescaya setiap Ilah (Tuhan) itu akan membawa makhluk yang masing-masing ciptakannya, dan sebahagian daripada Ilah (Tuhan) itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Subhanallah (Maha Suci Allah) daripada apa yang mereka sifatkan.

Apabila ditolak ilah-ilah yang lain daripada Allah swt, orang yang mengaku “La Ilaha Illallah” masuk kepada suasana Muslim.

Surah al-Anbiya’ 21/107-108: Dan tidak Kami utuskan engkau, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.  Katakan: "Sesungguhnya diwahyukan kepadaku: "Bahawasanya Ilah (Tuhan) kamu adalah Ilah (Tuhan) Wahid (Maha Esa), maka adakah kamu (menjadi) Muslim?”

Seorang Muslim beriman bahawa hanya Allah swt sahaja Ilah, tidak ada Ilah yang lain. Pengakuan tersebut ada tuntutan pengabdian dan pengibadatan kepada Allah swt dan tuntutan mendirikan solat bagi mengingati Allah swt.

Surah Ta Ha 20/14: Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Ilah (Tuhan) selain Aku, maka abdikan dirimu dan beribadat kepada-Ku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.

Kedudukan seorang hamba abdi adalah hamba abdi tidak berhak menanyakan apa yang Rabbnya buat. Dia tidak berhak bertanya mengapa dia dilahirkan dalam keluarga miskin, tidak dalam keluarga Diraja. Mengapa dia dizahirkan dalam abad ini tidak sebelumnya atau selepasnya. Mengapa solat subuh dua rakaat, solat maghrib tiga rakaat. Mengapa nabi Muhammad saw dipilih menjadi Nabi akhir zaman. Apa juga hal yang menyentuh keputusan dan tindakan Alalh swt tidak ada sesiapapun layak menanyakannya. Inilah sifat kehambaan yang sebenarnya.

Surah al-Anbiya’ 21/23: Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya, dan mereka yang ditanya. 

Hamba abdi behajat kepada Rabbnya

Oleh kerana hanya Dia sahaja Rabb masyrik dan maghrib dan hanya Dia sahaja Ilah, maka tiada pilihan bagi hamba abdi kecuali mengambilNya sebagai Wakil, yang menjaga, memelihara, melindungi dan mengurus-tadbir urusan hambaNya.

73-9: Rabb (Tuhan) Masyrik (tempat matahari terbit) dan Maghrib (tempat matahari terbenam), tiada Ilah (Tuhan) melainkan Dia (Allah), maka ambillah Dia sebagai Wakil.

Hamba yang Allah swt menjadi Wakilnya selamat daripada fitnah syaitan dan musuh-musuhnya

Surah al-Isra’ 17/65: Sesungguhnya hamba-Ku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Rabb (Tuhan)mu sebagai Wakil (Pelindung)".

Syarat bagi hamba yang mahu Allah swt menjadi Wakil ialah mengikuti wahyu yang diturunkan kepada nabi Muhammad saw dan bertawakal kepada Allah swt.

Surah al-Ahzab 33/2-3: Dan ikutilah apa yang diwahyukan kepada engkau daripada Rabb (Tuhan) engkau. Sesungguhnya Allah terhadap apa yang kamu kerjakan adalah Maha Mengerti. Dan bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Wakil (Pemelihara).

Allah swt memberikan jalan keluar kepada hambaNya iaitu berdoa kepada Rabbnya. Doa adalah jambatan rahsia di antara Rabb dengan hambaNya. Quran mengajarkan banyak doa-doa, di antaranya:

Surah al-Baqarah 2/286: Allah tidak membebankan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Dia (manusia) akan mendapat pahala menurut apa yang dia usahakan dan mendapat seksa menurut apa yang dia lakukan. (Mereka berdoa): “Rabbana (wahai Tuhan kami)! Janganlah Engkau tuntut kami atas kelalaian dan kekeliruan kami. Rabbana (wahai Tuhan kami)! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami beban berat sebagaimana Engkau telah pikulkan ke atas orang sebelum kami. Rabbana (wahai Tuhan kami)! Janganlah Engkau hadapkan kepada kami perintah yang tidak mampu kami melaksanakannya, dan maafkanlah kami serta ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkau jua Maulana (Penolong kami), tolonglah kami dalam mengalahkan kaum yang kafir.”

Surah Aali-‘Imran 3/8: (Mereka berdoa): “Rabbana (wahai Tuhan kami)! Janganlah Engkau sesatkan hati kami sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat yang langsung daripada sisi Engkau. Sesungguhnya Engkau Al-Wahhab (Yang Maha Memberi).

Surah al-A’raf 7/23: Keduanya menjawab: “Rabbana (wahai Tuhan kami)! Kami telah menganiayai diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak ampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, sungguh jadilah kami dalam golongan orang yang rugi.”

Surah al-A’raf 7/126: Rabbana (wahai Tuhan kami)! Teguhkanlah kami dalam kesabaran dan matikan kami sebagai Muslim.”

Surah Ta Ha 20/2-285:  Berkata (Musa): "Rabbi (wahai Tuhanku), lapangkanlah untukku dadaku. Dan mudahkanlah untukku urusanku. Dan lepaskanlah ikatan daripada lidahku. Supaya mereka mengerti perkataanku.”

Surah al-Mukminun 23/97-98: Dan katakan: "Rabbi (wahai Tuhanku), daku berlindung kepada Engkau daripada bisikan syaitan. Dan daku berlindung kepada Engkau, Rabbi (wahai Tuhanku), daripada kehadiran mereka (syaitan) kepadaku."

28-16:     Dia (Musa) mendoakan: "Rabbi (wahai Tuhanku)! Sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri, ampunilah daku." Dia mengampuninya, sesungguhnya Dia adalah Al-Ghafur (Yang Maha Pengampun), lagi Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani). 

Surah al-Fatihah 1/1-7: Bismillah ir-Rahman ir-Rahim (Dengan Nama Allah Yang Pemurah, Yang Maha Mengasihani). Alhamdulillah (segala puji tertentu bagi Allah semata-mata), Rabb (Tuhan) sekalian alam. Al-Rahman (Yang Maha Pemurah), Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani).     Yang menguasai pemerintahan Hari al-Din (Hari Pembalasan). Hanya kepada Engkau sahaja kami mengabdikan diri dan beribadat, dan hanya kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami Jalan Lurus. Jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan orang yang Engkau murkai dan bukan orang yang sesat.