AKIDAH ISLAM

Definasi Akidah
Dari segi bahasa akidah bermaksud  simpulan iman / keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat. Dari segi istilah ia bermaksud  kepercayaan yang pasti dan keputusan yang muktamad (mutlak), tidak bercampur dengan syak atau keraguan samada ianya benar atau salah.

Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai Rabb dan Ilah serta beriman dengan nama-namaNya dan segala sifat-sifatNya juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, Hari Akhirat dan beriman dengan takdir Allah samada baik atau buruk termasuk juga segala apa yang datang dari Allah, seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran dan petunjuknya. Oleh itu, akidah Islam ialah keimanan dan keyakinan terhadap Allah dan RasulNya serta apa yang dibawa oleh Rasul dan dilaksanakan dalam kehidupan

Asas Akidah:
Asas akidah ialah keyakinan terhadap keesaan Allah dan Dia sahaja yang berhak disembah. Percaya Dia sahaja yang berkuasa mengadakan sesuatu dan meniadakannya.

Ilmu Tentang Akidah
Ilmu Tauhid: Ilmu yang menerangkan tentang sifat Allah swt yang wajib diketahui dan dipercayai
Ilmu Usuluddin: Ilmu yang menerangkan kepercayaan Islam, iaitu kepercayaan kepada Allah swt dan pesuruhNya
Ilmu Makrifat: Ilmu yang membahaskan perkara-perkara yang berhubung dengan cara-cara mengenal Allah swt
Ilmu Kalam: Ilmu yang membahas tentang akidah dengan dalil-dalil aqliah (ilmiah) sebagai hujah terhadap pendapat yang berlawanan.
Ilmu Akidah: Ilmu yang membahas tentang perkara-perkara yang berhubung dengan keimanan kepada Allah swt

Tauhid
1:  Tauhid Rububiyah bermaksud hanya Allah sahaja sebagai Rabb (pencipta, pemilik, pemerintah, pengurus, penjaga, pemberi bakat dan keupayaan kepada makhluk-Nya, menyusun undang-undang dan peraturan, menyatakan hukum halal-haram dan sah-batal, memberi rezeki dan seumpamanya. Tidak boleh dijadikan, dianggap atau dirasakan yang lain sebagai rabb atau bersama-sama Allah menjadi Rabb.
2:  Tauhid Uluhiyyah bermaksud orang yang beriman dengan keimanan yang sebenar hanya mengambil Allah sebagai Ilah, tidak meletakkan Allah bersama-sama yang lain sebagai Ilah. Maksud Ilah ialah yang dipuja, disembah, dicintai, dipatuhi, ditujukan permohonan.
3:  Maksud beriman kepada Allah juga ialah tuntutan mempelajari dan memahami segala yang datang daripada Allah melalui RasulNya sama ada dalam al-Quran atau al-Sunnah. Maksud beriman kepada Allah bukan sekadar percaya tentang kewujudan Allah tetapi termasuk juga segala apa yang datang daripada Allah swt

Peringkat-Peringkat Iman
1:  Iman Taqlid – Iman ikut-ikutan, hanya semata-mata mengikut pendapat orang lain
2:  Iman Ilmu – Beriman semata-mata kerana berilmu dan berdasarkan pada fikiran tidak terletak di hati
3:  Iman A’yan – Iman yang terletak di dalam hati. Iman ini dimiliki oleh orang-orang soleh
4:  Iman Hak – Iman sebenar yang terlepas dari nafsu syaitan. Iman ini dimiliki oleh golongan muqarabbin, iaitu orang yang hampir dengan Allah
5:  Iman Hakikat – Iman peringkat tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Iman ini hidup semata-mata untuk Allah dan Rasul serta hari Akhirat seperti para sahabat nabi.

Kedudukan Akidah yang Benar

Akidah yang benar merupakan landasan tegaknya agama dan kunci diterimanya amalan. Allah Ta’ala berfirman:
   
Al-Kahf 18-110: Katakan: "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku sesungguhnya Ilah (Tuhan) kamu itu adalah Ilah (Tuhan) Ahad (Maha Esa)." Sesiapa mengharapkan perjumpaan dengan Rabb (Tuhan)nya hendaklah dia mengerjakan amal yang salih, dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Rabb (Tuhan)nya".

   
Zumar 39-65:     Bahkan telah diwahyukan kepada engkau dan kepada orang yang sebelum engkau: "Jika kamu mempersekutukan, nescaya akan hapuslah amalmu, dan tentulah kamu termasuk orang yang rugi. 

Ayat-ayat yang mulia ini menunjukkan bahwa amalan tidak akan diterima apabila dicampur dengan kesyirikan. Oleh sebab itulah para Rasul sangat memperhatikan urusan memelihara akidah sebagai induk dakwah mereka. Inilah dakwah pertama yang diserukan oleh para Rasul kepada kaum mereka; menyembah kepada Allah semata-mata dan meninggalkan penyembahan kepada selain-Nya. Allah ber firman:

     
An-Nahl 16-36:    Dan sesungguhnya Kami telah utuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (yang menyeru mereka): "Hendaklah kamu mengabdikan dirimu dan beribadat kepada Allah dan jauhilah Taghut.” Maka antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah, dan ada pula yang tetap dalam kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan.

Bahkan setiap Rasul mengajak kepada kaumnya dengan seruan yang serupa. Nabi Nuh as menyeru:
      
Al-A’raf  7-59: Sesungguhnya Kami telah utuskan Nuh kepada kaumnya, lalu dia (Nuh) berkata: “Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadat kepada Allah; tidak ada  Ilah (Tuhan) bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab Hari yang besar.”

Nabi Hud as menyeru:
    
Al-A’raf 7-65:    Dan kepada (kaum) ‘Ad (Kami utuskan) saudara mereka Hud. Dia (Hud) berkata: “Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadatlah kepada Allah; tidak ada Ilah (Tuhan) bagi kamu selain Dia. Mengapakah kamu tidak mahu bertakwa?”

Nabi Salih as menyeru:
    
Al-A’raf 7-73:    Dan kepada (kaum) Samud (Allah utuskan) saudara mereka Salih. Dia (Salih) berkata: “Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadatlah kepada Allah semata-mata; tidak ada Ilah (Tuhan) bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya telah datang keterangan daripada Rabb (Tuhan) kamu. Ini adalah unta Allah sebagai satu ayat (tanda), maka biarkanlah ia memakan di bumi Allah, jangan kamu mengganggunya dengan apa juga kejahatan kerana (jika demikian) kamu akan ditimpa azab yang pedih.”

Nabi Syuaib as menyeru:
      
Al-A’raf 7-85:    Dan kepada (penduduk) Madyan (Allah utuskan) saudara mereka Syuaib. Dia (Syuaib) berkata: “Wahai kaumku! Abdikan dirimu dan beribadatlah kepada Allah yang sekali-kali tidak ada Ilah (Tuhan) bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan daripada Rabb (Tuhan) kamu. Maka sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu mengurangi hak manusia, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi sesudah diperbaikinya. Demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu benar-benar beriman.”

Begitulah yang diucapkan oleh sekalian nabi-nabi.

Pentingnya soal akidah dititiberatkan

Tauhid adalah satu-satunya jalan keselamatan di akhirat, tidak ada jalan lain. sementara syirik pula adalah jalan kepada kebinasaan. Ayat 65 surah az-Zumar telah menyatakan dengan tegas bahawa :
"Jika kamu mempersekutukan, nescaya akan hapuslah amalmu, dan tentulah kamu termasuk orang yang rugi." Ayat 48 surah an-Nisa' lebih tegas lagi mengistiharkan tidak ada pengampunan bagi orang yang berbuat syirik.  
    
An-Nisa’ 4-48:    Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan orang yang mensyirikkan-Nya, dan Dia bersedia mengampunkan selain yang demikian terhadap sesiapa yang Dia kehendaki. Dan sesiapa mensyirikkan Allah, sungguh dia melakukan dosa yang besar.

     
Al-An’am 6-82:    Orang beriman yang tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), bagi mereka adalah keamanan dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.

     
Al-Maidah 5-72:    Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: “Allah itu Almasih ‘ibn Maryam,” sedangkan Almasih telah berkata: “Wahai Bani Israil! Abdikan dirimu dan beribadat kepada Allah, Rabb (Tuhan) aku dan Rabb (Tuhan) kamu.” Sesungguhnya sesiapa mensyirikkan Allah, maka sungguh Allah mengharamkan baginya Taman (Syurga) dan tempatnya ialah Api (Neraka). Dan tidak ada untuk orang yang zalim itu seorang penolong.

      
Al-Hajj 22-31:     Dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia. Sesiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, dia seolah-olah jatuh dari langit, lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh. 
 
Dari Anas Radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Allah ta’ala berfirman: Wahai anak Adam, sesungguhnya Engkau berdoa kepada-Ku dan memohon kepada-Ku, maka akan aku ampuni engkau, Aku tidak peduli (berapapun banyaknya dan besarnya dosamu). Wahai anak Adam seandainya dosa-dosamu sampai ke awan di langit kemudian engkau minta ampun kepada-Ku nescaya akan Aku ampuni engkau. Wahai anak Adam sesungguhnya jika engkau datang kepadaku dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiku dengan tidak menyekutukan Aku sedikitpun maka akan Aku temui engkau dengan sepenuh itu pula ampunan “
(Riwayat Turmuzi dan dia berkata : Hadithnya hasan shahih).


Di dalam sohih Muslim tercatat : Firman Allah Ta'ala ( maksud ) : Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal maka Aku akan mendekatinya sehasta. Dan sesiapa yang menghampiriKu sehasta maka aku akan menghampirinya sepemeluk dan sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan maka Aku akan kepada dalam keadaan bersegera. Dan sesiapa menemuiKu (selepas mati) dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu.

Perkara yang merosakkan akidah:
1: Hati: percaya dan yakin bahawa-
              Alam ini tiada pencipataanya.
              Kerasulan Nabi Muhammad saw adalah palsu.
              Semua agama di dunia adalah sama.
              Konsep dosa, pahala, syurga dan neraka adalah palsu belaka.
              Percaya ada kuasa lain selain Allah boleh memberikan kesan dan pertolongan.
2: Lidah:
              Mengingkari dan mempersendakan hukum Allah., misalnya mengatakan zina, arak dan judi     sebagai halal.
              Menghina perkara berkaitan rukun Iman dan Islam.
              Mengatakan syaraiat Islam tidak sesuai dengan peredafran zaman.
              Mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis Rasulullah saw.
3: Perbuatan:
              Melakukan upacara ibadat sama seperti yang dilakukan oleh orang yangbukan Islam.
              Meletakkan ayat suci al-Quran di tempat najis dengan tujuan menghina agama.
              Guna ayat suci al-Quran dengan tujuan menyeleweng ajaran Islam.
              Menafikan kewajipan solat atau mengubahsuai solat.

Contoh syirik yang diceritakan oleh al-Quran

    
Taubah 9-31: Mereka menjadikan guru-guru mereka dan rahib mereka sebagai arbab (tuhan-tuhan) selain Allah, dan Almasih ‘ibn Maryam (juga mereka jadikan sekutu Allah), padahal mereka tidak diperintahkan melainkan hanya menyembah Ilah (Tuhan), Wahid (Maha Esa), tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Dia, Subhanahu (Maha suci Dia), daripada apa yang mereka persekutukan.

Ketika Rasulullah saw membaca ayat di atas, 'Adi bin Hatim, seorang Masehi ada di dalam majlis baginda saw. 'Adi berkata: "Tidaklah mereka (orang Masehi) menyembah mereka (guru-guru dan rahib-rahib)." Rasulullah saw menjawab: "Bahkan! Kerana sesungguhnya pendeta (rahib) mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, lalu mereka turuti sahaja. Itulah yang dipanggil  mereka beribadat (memuja) kepada pendeta (rahib) itu."

     
Al-Furqan 25-43: Tidakkah engkau perhatikan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah (tuhan)? Apakah kamu dapat menjadi wakil (pemelihara) atasnya?

Berhala paling besar dalam diri seseorang ialah hawa nafsunya. Orang yang terkurung dalam kepompong hawa nafsu tidak dapat menerima nilai-nilai murni kemanusiaan dan tidak dapat menerima kebenaran. Nabi-nabi datang membawa mukjizat yang jelas, tetapi ditolak oleh mereka yang dikuasai oleh hawa nafsu, sekalipun pandangan akalnya mengakui kebenaran yang dibawa oleh para Nabi tersebut.

        
Yaa Sin 36-60:     “Bukankah Aku telah ingatkan kamu, Bani Adam, supaya tidak mempertuhankan syaitan? Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu musuh yang nyata.”

Pertuhanan hawa nafsu disokong oleh pertuhanan kepada syaitan. Nafsu dan syaitan menjadi gabungan yang mantap. Nafsu cenderung kepada hiburan dan perkara yang melalaikan. Syaitan cenderung menderhakai perintah dan hukum Allah.

   
Al-An’am 6-100: Dan mereka menjadikan jin sebagai sekutu Allah, padahal Dia yang menciptakan mereka (jin-jin). Dan mereka mengadakan bagi Allah anak-anak lelaki dan perempuan, (mereka berbuat demikian) tanpa pengetahuan. Subhanahu (Maha Suci Dia), dan Ta’ala (Maha Tinggi) daripada apa yang mereka sifatkan.

    
Saba’ 34-41: Mereka (malaikat) menjawab: "Subhanaka (Maha Suci Engkau)! Engkau adalah Wali (Pelindung) kami, bukan mereka. Bahkan mereka mempertuhankan jin, kebanyakan mereka (manusia) beriman kepada mereka (jin) itu."

Kegelapan nafsu yang dimanipulasi oleh syaitan melahirkan pertuhanan kepada jin. Pemujaan terhadap batu, kayu, bintang, kuburan dan lain-lain anasir alam sebenarnya pertuhanan terhadap jin. Bila anasir alam dipuja, maka datanglah jin mengajak kepada cara peribadatan syirik. Berbagai-bagai amalan syirik dikerjakan dengan anggapan itulah yang benar.

Sebab-Sebab Penyimpangan dari Akidah yang Benar

Banyak sebab-sebab berlakunya penyimpangan dari akidah yang benar. Di antara penyebab itu adalah:
1.Jahil terhadap prinsip-prinsip akidah yang benar. Orang jahil tidak mau belajar, orang alim tidak mau mengajar. Orang ramai tidak memahami akidah yang benar dan tidak mengerti akidah yang sesat, sehingga yang benar dianggap batil dan yang batil dianggap benar. Umar bin Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah berkata, “Jalinan agama Islam akan terurai satu persatu, apabila di kalangan umat Islam tumbuh  generasi yang tidak mengerti hakikat jahiliyah.”
2 Ta’asub (fanatik) kepada nenek moyang dan  mempertahankan apa yang diterima daripada mereka meskipun ianya kebatilan, dan meninggalkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran nenek moyang walaupun hal ianya kebenaran. Al-Quran menceritakan, “Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutilah wahyu yang diturunkan Tuhan kepada kalian!’ Mereka justru mengatakan, ‘Tidak, tetapi kami tetap akan mengikuti apa yang kami dapatkan dari nenek-nenek moyang kami’ (Allah katakan) Apakah mereka akan tetap mengikutinya meskipun nenek moyang mereka itu tidak memiliki pemahaman sedikit pun dan juga tidak mendapatkan hidayah?” (QS. Al Baqarah: 170)
3.Taklid buta (mengikuti tanpa landasan dalil), iaitu mengambil pendapat orang lain dalam soal akidah tanpa mengetahui landasan dalil dan kebenarannya. Mereka mengikuti saja perkataan tokoh-tokoh tertentu padahal mereka itu sesat. Orang yang diikut sesat dan yang mengikut juga sesat.
4.Berlebih-lebihan dalam menghormati tokoh tertentu yang dianggap sebagai orang saleh atau wali. Mereka mengangkatnya melebihi kedudukan sebagai manusia. Mereka  berkeyakinan bahwa wali yang sudah mati boleh memberi manfaat, meluaskan rezeki dan mampu menolak bala dan musibah. Kubur wali dikunjungi untuk meminta-minta berbagai hajat kepada orang yang sudah mati itu. Mereka menjadikan wali yang telah mati itu sebagai perantara. Padahal perbuatan semacam ini jelas-jelas dilarang oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Beliau bersabda, “Allah melaknat kaum Yahudi dan Nasrani karena mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai tempat ibadah.” (HR. Bukhari). Kalau kubur nabi-nabi saja tidak boleh lalu bagaimana lagi dengan kubur orang selain Nabi ?
5.Jahil terhadap kekuasaan dan keluasan ilmu Allah. Mereka melihat kepada kekuatan diri mereka dalam mendapatkan apa yang mereka ingini, seperti Qarun yang menyombongkan dirinya di hadapan manusia, “Sesungguhnya aku mendapatkan hartaku ini hanya karena pengetahuan yang kumiliki.” (QS. Al Qashash: 78). Padahal apa yang bisa dicapai oleh manusia itu tidaklah seberapa apabila dibandingkan kebesaran alam semesta yang diciptakan Allah Ta’ala. Allah berfirman yang artinya, “Allah lah yang menciptakan kamu dan perbuatanmu.” (QS. Ash Shaffaat: 96)
6.Institusi keluarga tidak dibina di atas asas agama yang benar, padahal Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda, “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR. Bukhari). Anak-anak lebih terpengaruh dengan didikan media massa, terutamanya tv. Idola atau ikon mereka adalah orang-orang yang rosak akhaknya. Akhlak yang rosak itulah menjadi model untuk mereka ikuti.

Sambutan upacara bukan Islam:

Redha kepada agama lain atau menganggap semua agama adalah sama, boleh menyebabkan kufur. Kata Hukama; Redha dengan kekufuran adalah kufur, redha dengan maksiat adalah juga maksiat. Tidak harus orang Islam menghadiri  upacara agama lain.

Furqan 25-72: Dan orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka melalui perkara yang sia-sia, mereka lalui (sahaja) dengan (sikap yang) mulia. Ibnu Kathir menjelaskan maksud ayat ini adalah merujuk kepada perbuatan syirik seperti penyembahan berhala dan perayaan orang kafir.

Cara menyuburkan iman dan akidah:

Ilmu
Amal soleh.
Zikrullah.
Fikir
    Fikir sesuatu kejadian dengan kekuasaan Allah, akan mengingatkan dirinya kepada Allah.
    Bencana alam satu bentuk peringatan.
    Berfikir tentang kuasa Allah akan menjadikan manusia lebih beriman.

Kesan kemantapan akidah:
1.  Merasai kemanisan iman.
2:  Hati sentiasa terdorong untuk beramal ibadah.
3.  Takut kepada azab.
4:  Mampu mengawal daripada kemaksiatan.
5:  Berjaya membina kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat.
6.  Sentiasa dalam keredhaan Allah.
7:  Tekun dalam usaha dan agama.
8.  Bertanggungjawab kepada manusia dan alam.
9.  Menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Kemanisan iman:
Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa terdapat padanya tiga perkara maka dia akan merasai kemanisan iman.
1.  Mencintai Allah dan Rasul melebihi cinta kepada yang lain.
2.  Mencintai manusia lantaran (berdasarkan) cinta kepada Allah semata-mata.
3.  Benci untuk kembali kepada kekufuran (engkar) laksana orang yang benci kalau dilemparkan ke dalam api.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ciri-ciri orang beriman:

Firman Allah swt:  Sesungguhnya orang beriman itu hati mereka gementar apabila disebut nama Allah dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah semakin bertambah aman mereka. Mereka mengerjakan solat, dan menfkahkan rezeki yang dikurniakan kepada mereka. Itulah sifat orang beriman. Mereka mendapat kehormatan, keampunan dan rezeki yang berharga di sisi Allah. (Surah al-Anfal: 2-4)

Akidah yang bersih dari segala bentuk  syirik adalah asas agama Islam. Seorang muslim sewajarnya sedar tentang kepentingan akidah dan terus memperkasakannya dan memagarinya dengan ilmu, amal dan taqwa agar ia tidak mudah dipengaruhi oleh apa jua perlakuan syirik.

Pelihara diri dari syirik

Jangan syirik dalam iktikad, seperti meyakini ada yang memiliki sifat ketuhanan selain Allah swt. Jangan syirik dalam ketaatan, misalnya mentaati manusia seumpama mentaati Allah swt. Sabda Rasulullah s.a.w: "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta" (Riwayat Bukhari). Jangan syirik dalam berkasih sayang, seperti mengasihi sesama manusia atau harta benda melebihi kasih sayang terhadap Allah swt. Jangan bertawakal atau berserah diri kepada sesama makhluk melebihi berserah dari kepada Allah swt.. Jangan melakukan ibadat kepada selain Allah swt..

Rasulullah saw memperjelaskan lagi tentang syirik: 
Dari Ibn Umar, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan syirik terhadap Allah. "  (Tirmizi)
 
Dari Ibn Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik". ( Abu Daud dan Imam Ahmad)

Hadis di atas menunjukkan bahawa tiga perkara yang tersebut adalah dari perkara-perkara syirik kecil atau syirik yang tersembunyi yang wajib dijauhi oleh tiap-tiap seorang. Tetapi bukanlah semua itu dikira syirik. Apa yang ditakuti terjadi syirik adalah perkataan yang tidak difaham, kerana boleh jadi termasuk perkara sihir,  syirik atau lain-lainnya yang dilarang oleh hukum syarak sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliah. Adapun yang mengandungi ayat-ayat al-Qur'an atau zikrullah,  maka yang demikian tidak dilarang.
  
 Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Aku telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.,: "Apakah satu-satunya dosa yang terbesar di sisi Allah.?" Baginda s.a.w., menjawab:  "(Dosa yang terbesar di sisi Allah itu) ialah: Engkau mengada-adakan bagi Allah sesuatu yang menyamaiNya pada hal Dia menciptakanmu..." (Bukhari dan Muslim)
 
Dari Zaid bin Kholid Al-Juhni r.a : Beliau telah berkata, Rasulullah saw telah bersolat subuh dengan kami di Hudaibiyyah di penghujung malam. Apabila selesai bersolat, baginda berpaling menghadap ke arah orang ramai (para sahabatnya) seraya bersabda, “Adakah kamu sekalian mengetahui apakah yang difirmankan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’ Rasulullah saw pun bersabda, “Allah berfirman, ‘Berpagi-pagi hamba-hamba-Ku beriman dengan-Ku. Maka adapun orang-orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan justeru dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya’, orang yang berkata sedemikian itu adalah orang yang beriman dengan-Ku dan kufur dengan bintang-bintang. Dan adapun orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan disebabkan bintang yang condong ke arah barat ini dan itu’, maka orang yang berkata sedemikian adalah orang yang kufur dengan-Ku dan beriman dengan bintang.” (Sahih. Dikeluarkan oleh Imam Malik, Imam Syafi’e dalam musnadnya, Imam Al-Bukhari dan Muslim, Abi ‘Awanah dan Al-Baihaqi)

Beriman dengan ketentuan Allah

Dari Abdullah bin Mas’ud : Rasulullah saw bersabda, “Penciptaan salah seorang kamu disempurnakan dalam rahim ibunya sepanjang tempoh beberapa kali (dalam) empat puluh hari. Empat puluh hari yang kedua dalam bentuk segumpal darah kemudian dalam empat puluh hari yang ketiga dalam bentuk segumpal daging. Kemudian Allah mengutuskan malaikat kepadanya lalu diperintahkan agar menulis untuknya empat kalimah dengan firman-Nya : ‘Tulislah baginya amalannya, ajalnya, rezekinya dan samada celaka atau bahagia.’ Maka demi Dia yang memegang jiwa ku di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya (jika) seseorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga hinggalah jarak beliau dengan syurga itu hanyalah satu hasta, maka sebagaimana telah dituliskan ketentuannya (sebagai ahli neraka) lalu beramallah beliau dengan amalan ahli neraka, justeru itu beliaupun masuk neraka. Dan sesungguhnya (jika) seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli neraka hinggalah jarak beliau dengan neraka itu hanyalah sehasta, namun telah ditetapkan ketentuan (takdir) untuknya (sebagai ahli syurga) lalu beliaupun beramal dengan amalan ahli syurga, justeru itu beliaupun masuk syurga.” (Sahih. Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, Imam Ahmad dan hampir seumpama lafaznya juga yang telah dikeluarkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan At-Tirmidzi)

Pelihara solat

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya amalan pertama akan dihisab pada seseorang hamba ialah solatnya. Jika solatnya baik maka sesungguhnya beliau telah berjaya dan selamat dan sekiranya solatnya rosak maka sesungguhnya rugi dan binasalah ia. Sekiranya berlaku sesuatu kekurangan pada solat fardhunya, maka Tuhan Pemelihara Azza wa Jalla akan berfirman (kepada para malaikat-Nya) : Lihatlah oleh kamu adakah hamba-Ku mempunyai ibadat tathowwu’? Lalu solat fardhunya itu disempurnakan dengan solat tathowwu’-nya itu. Kemudian seluruh amalan dihisab sedemikian juga.”(Sahih. Dikeluarkan oleh At-Tirmidzi dan An-Nasa’i. Juga dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Hakim dll dengan lafaz sedikit berbeza)