EVOLUSI ADAM AS
Taman (Syurga) tempat tinggal Adam as sebelum ke bumi

Quran menyebut tentang Taman (Syurga) tempat kediaman Adam as dan Hawa. Perkataan yang digunakan dalam Quran ialah Jannah yang dalam bahasa Melayu bermakna Taman, tetapi disebut Syurga untuk membezakan dengan taman-taman biasa yang ada di bumi. Perbahasan ahli-ahli tafsir adalah apakah Taman (Syurga) tempat kediaman Adam as itu merupakan Jannah yang dijanjikan sebagai tempat balasan di akhirat untuk orang yang berbuat kebaikan dunia? Sebahagian daripada mereka mengatakan Taman (Syurga) kediaman Adam as itu memang Jannah tersebut. Sebahagian yang lain berpendapat ia adalah satu tempat yang indah yang ada di bumi ini.

Beberapa ayat-ayat Quran menyentuh tentang Adam as:
Surah al-Baqarah 2/30, maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Rabb (Tuhan) engkau berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak jadikan seorang khalifah (wakil) di bumi.
Surah al-A’raf 7/11, maksudnya:...Kemudian Kami perintahkan kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam.

Allah swt memberitahu para malaikat yang Dia mahu menciptakan khalifah di bumi. Setelah diciptakan khalifah tersebut Allah swt memerintahkan para malaikat sujud. Firman Allah swt dan perintah sujud itu ditujukan kepada malaikat. Tentulah ia berlaku dalam alam malaikat, atau biasa disebut Alam Malakut.

Seterusnya Quran menceritakan:
Surah al-Baqarah 2/35, yang bermaksud: Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isteri engkau di dalam Taman (Syurga) ini, dan makanlah kamu berdua daripadanya sepuas-puasnya sebagaimana kamu berdua sukai.....
Surah al-A’raf 7/19, yang bermaksud: (Allah berfirman): “Wahai Adam, tinggallah kamu bersama isteri kamu di dalam Taman (Syurga) itu, makanlah kamu berdua apa yang kamu ingini....
Surah Ta Ha 20/118-119, yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu tidak akan kelaparan di dalamnya dan tidak telanjang. Dan sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga dan tidak akan merasa kepanasan di dalamnya."

Suasana Taman (Syurga) tempat kediaman Adam as itu adalah: boleh makan sepuas-puasnya; tidak kelaparan di dalamnya; tidak bertelanjang; tidak dahaga dan tidak kepanasan. Kualiti hidup yang demikian tidak sesuai untuk menggambarkan kehidupan di bumi. Apa yang dinikmati oleh Adam as dalam Taman (Syurga) tempat kediamannya menceritakan bahawa apa yang ada di bumi adalah kebalikan daripada yang demikian.

Quran juga menceritakan:
Surah al-Sajdah 32/7-9, yang bermaksud: ....Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalamnya daripada Roh-Nya.

Penciptaan Khalifah Allah dan tiupan daripada RohNya adalah urusan yang besar dan mulia. Urusan yang demikian sesuai berlaku di tempat yang mulia dan tinggi bukan di bumi, tempat yang rendah. Pada peringkat permulaan penciptaannya, Adam as lebih dikuasai oleh kualiti rohani atau nurani yang lahir dari tiupan daripada Roh Allah swt. Kualiti yang demikian sama dengan kualiti malaikat, seperti juga Azazil dari golongan jin yang berkualiti malaikat. Azazil yang berkualiti malaikat dan Adam as yang juga berkualiti malaikat sesuai tinggal di alam malaikat. Jin Azazil yang menderhakai Allah swt hilang kualiti malaikatnya, berubah dia menjadi iblis dan tidak sesuai lagi tinggal bersama malaikat. Dia diusir keluar dari tempat malaikat.

Adakah Taman (Syurga) atau Jannah tempat kediaman Adam as itu Jannah tempat pembalasan akhirat? Pembalasan akhirat berlaku di akhirat sesudah terjadinya kiamat. Sebelum berlaku kiamat tidak ada sesiapa memasuki Jannah akhirat itu.

Satu istilah boleh membawa maksud yang berbagai-bagai. Planet tempat umat manusia tinggal dinamakan bumi. Rasulullah saw menceritakan bahawa neraka terletak di bawah tujuh petala bumi. Jika dikorek planet bumi sehingga ke terasnya, walaupun dijumpai cecair yang panas mendidih, tetapi tidak dijumpai manusia yang diseksa di dalamnya, kerana neraka tidak ada di sana. Sewaktu baginda saw melakukan Mikraj melepasi langit ke tujuh, baginda sampai ke Sidratul-Muntaha. Dari sana baginda dibawa melihat neraka. Pada alam peringkat Sidratul Muntaha baharu ada neraka yang Rasulullah saw katakan berada di bawah tujuh petala bumi. Konsep bumi berubah dari planet bumi kepada alam yang sangat besar.

Jannah atau Taman (Syurga) menggambarkan tempat kediaman yang penuh dengan kenikmatan. Jannah tempat Adam as tinggal sebelum dihantar ke bumi merupakan satu tempat yang penuh dengan perkara-perkara yang menyenangkan tetapi belum sampai kepada tahap kesenangan dan kenikmatan Jannah akhirat. Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Dari Nabi saw., beliau bersabda: Allah berfirman: Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang saleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terbesit dalam hati manusia. (Sahih Muslim).
Allah swt berfirman:

Surah as-Sajdah 32/17: Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka daripada yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap amalan mereka.  


Evolusi Adam as dari satu diri kepada dua diri

Surah ar-Rahman 55/14: Dia ciptakan manusia daripada tanah liat seperti tembikar.

Surah al-Hijr 15/26: Dan sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, daripada tanah hitam yang berubah bau.

Surah al-Sajdah 32/7-9, yang bermaksud: Yang memperelokkan segala sesuatu yang Dia ciptakan, dan Dia memulai penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripadasaripati air yang hina (air mani).     Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalamnya daripada Roh-Nya, dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur.  

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Rasulullah saw. bersabda: Allah menciptakan Adam dalam bentuknya setinggi enam puluh hasta. Setelah menciptakannya, Allah berkata: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada kelompok itu, yaitu beberapa malaikat yang sedang duduk, dan dengarkanlah apakah jawapan mereka karena itulah ucapan selamat untukmu dan keturunanmu. Maka Adam pergi menghampiri lalu mengucapkan: "Semoga keselamatan menyertai kalian". Mereka menjawab: "Semoga keselamatan dan
rahmat Allah menyertai kalian". Mereka menambahkan "rahmat Allah". Maka setiap orang yang memasuki surga itu seperti bentuk Adam yang tingginya enam puluh hasta. Seluruh makhluk setelah Adam terus berkurang tingginya sampai sekarang (empat hasta). (Sahih Muslim)

Lembaga Adam as yang 60 hasta walaupun sudah lengkap kejadiannya namun tidak ada bahagian jasadnya yang berfungsi sehinggalah Allah swt tiupkan daripada RohNya ke dalam lembaga Adam as itu. Tiupan daripada Roh Allah swt menghidupkan Adam as. Penghidupan memberinya berbagai-bagai bakat: melihat, mendengar, hati dan lain-lain. Adam as boleh bergerak, boleh melihat, boleh mendengar, boleh berkata-kata dan hati yang membolehkannya bersyukur.

Tiupan dari Roh Allah swt bukanlah perpindahan Roh Allah swt kepada Adam as. Roh yang menghidupkan Adam as bukanlah Roh Allah swt, tetapi talian hayat yang ditiupkan dari Roh Allah swt. Allah swt menjelaskan keadaan tersebut melalui Almasih ‘Isa ‘ibn Maryam.

Surah Aali-‘Imran 3/49: Dan (Almasih ‘Isa ‘ibn Maryam) Rasul kepada Bani Israil (berkata kepada kaumnya): “Sesungguhnya aku datang kepada kamu membawa ayat (tanda) daripada Rabb (Tuhan) kamu, (iaitu) aku dapat  membentukkan seperti seekor burung daripada tanah untuk kamu, kemudian aku hembuskan kepadanya, maka ia menjadi seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah. Dan aku dapat menyembuhkan orang buta dan orang berpenyakit sopak, dan aku dapat menghidupkan orang yang sudah mati dengan izin Allah. Dan aku (juga) dapat menceritakan apa yang kamu makan dan kamu simpan di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya hal-hal yang demikian menjadi suatu ayat (tanda) bagi kamu jika kamu memang beriman.”

Allah swt menciptakan Adam as daripada tanah. Tiupan dari Roh Allah swt menghidupkan Adam as. Almasih ‘Isa ‘ibn Maryam menciptakan burung daripada tanah, meniupkan kepadanya, maka ia menjadi burung yang hidup dengan izin Allah swt. Almasih ‘Isa ‘ibn Maryam diperkuatkan dengan Ruhul Qudus. Ruhul Quddus tidak masuk kedalam burung tanah tadi untuk menjadi roh yang menghidupkan burung itu. Tiupan Ruhul Quddus melahirkan talian hayat atau roh kehidupan, menghidupakn burung
berkenaan dengan izin Allah swt. Hal yang sama berlaku tatkala Almasih ‘Isa ‘ibn Maryam menyembuhkan orang buta, orang berpenyakit sopak, dan menghidupkan orang yang sudah mati dengan izin Allah swt. Bakat atau keupayaan yang Allah swt bekalkan kepada Ruhul Qudus itulah yang mengidupkan burung, menyembuhkan orang buta dan orang yang berpenyakit sopak, juga menghidupakan orang mati dengan izin Allah swt. Izin Allah swt itulah yang sebenarnya menjadi bakat, keupayaan dan kekuatan yang melakukan semua perkara itu. Bila Allah swt izinkan baharulah ada Tenaga Ilahiah yang menjanakan tindakan dan kesan.

Surah an-Nisa’ 4/1: Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kamu kepada Rabb (Tuhan) kamu yang menciptakan kamu daripada diri yang satu, dan daripadanya dijadikan jodohnya, kemudian daripada kedua-duanya Dia biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu saling bertanya tentang-Nya, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah adalah Raqib (Pengawas) atas kamu.

Umat manusia dijadikan daripada diri yang satu. Diri yang satu ini sangat kompleks. Ahli kajihayat atau saintis genetik tidak mampu mengungkai diri yang satu itu berdasarkan pengetahuan genetik yang ada hari ini. Pada diri yang satu itu ada intipati unsur yang mampu berpisah daripadanya untuk menjadi diri yang lain. Diri yang kedua ini serupa dengan diri yang pertama tetapi berlawanan namun berpadanan. Jika diri pertama diibaratkan tangan kanan, diri kedua adalah tangan kiri yang serupa dengan tangan kanan, tetapi berlawanan namun berpadanan. Jika tangan kanan dan tangan kiri dibawa bertemu kedua-duanya berpadu dengan sempurna. Pada diri yang satu itu ada bakat, keupayaan, kekuatan dan pengetahuan untuk memisahkan unsur ‘tangan kiri’ daripadanya, sehingga tinggallah padanya unsur ‘tangan kanan’ yang sempurna. Segala yang terpisah dari diri yang satu itu membentuk satu bentuk ‘tangan kiri’ yang sempurna. Kedua-duanya menjadi diri yang sempurna dalam aspek masing-masing.

‘Kelahiran’ diri kedua daripada diri pertama bukan seperti kelahiran bayi dari perut ibu, melalui peringkat bayi, kanak-kanak, dewasa dan tua. Manusia mengambil masa lebih kurang 33 – 40 tahun untuk menjadi dewasa dan matang. Alam atas berbeza dari alam planet bumi.

Surah al-Hajj 22/47: ....Sesungguhnya satu Hari di sisi Rabb (Tuhan) engkau sama dengan seribu tahun menurut perhitunganmu.

Pergerakan pada alam atas adalah pergerakan malaikat yang seribu kali lebih cepat daripada pergerakan alam bawah. Perpisahan diri kedua daripada diri pertama dan pembesarannya kepada saiz diri pertama berlaku dalam sekelip mata sahaja. Sebab itu Adam as mendapati tiba-tiba sahaja sudah ada pasangannya.

Menurut penemuan ahli kaji hayat, organisma unisel (satu sel), misalnya amoeba, mampu memecahkan satu organisma menjadi dua organisma yang sama dan serupa, seperti kembar seiras. Fenomena demikian tidak berlaku pada organisma yang kompleks. Diri manusia yang pertama walaupun kompleks boleh bertindak seperti organisma satu sel, yang satu menjadi dua, malah yang kedua itu mempunyai sifat yang berlawanan dengan yang pertama, tetapi sifat berlawanan itulah keharmonian dua diri tersebut sehungga mereka boleh dijodohkan.

Pada kejadian manusia pertama yang daripada tanah itu bukan sekadar tersimpan intipati unsur melahirkan diri kedua yang serupa tetapi berlawanan, malah lebih menakjubkan lagi padanya juga tersimpan intipati unsur yang mampu melahirkan umat manusia yang bermula dari dirinya sehinggalah manusia terakhir pada Hari Kiamat. Potensi yang tersimpan padanya berkemampuan menjana evolusi manusia, dari satu diri kepada dua diri, kepada keluarga-keluarga, puak-puak dan bangsa-bangsa. Berlaku evolusi yang sangat kompleks melibatkan perubahan gene akibat perubahan DNA, perbezaan jenis darah, perbezaan warna kulit, perbezaan warna mata, perbezaan cap jari, perbezaan paras rupa, perbezaan bentuk badan dan bermacam-macam lagi perbezaan. Semuanya bermula dengan satu diri yang mempunyai kimia biology tersendiri tetapi berkemampuan mengadakan evolusi. Diri pertama, bapa manusia, Adam as, membekalkan keturunannya dengan kemampuan untuk terus hidup (survival) untuk menghadapi perubahan geography dan cuaca.

Allah swt memperlihatkan kekuasaanNya melalui dua fenomena, iaitu fenomena biasa dan fenomena mukjizat. Fenomena biasa berjalan melalui sistem sebab musabab dan mampu diolah oleh akal fikiran. Fenomena mukjizat melampaui sebab musabab, logik dan tidak mampu dihurai oleh akal fikiran. Nabi Ibrahim as memasuki api yang besar tanpa memakai pakaian kalis api, tetapi tidak terbakar. Nabi Musa as membelah laut dengan tongkatnya. Nabi Sulaiman as memerintah angin, haiwan dan jin. Nabi Isa as menghidupkan burung yang dibuat daripada tanah, menyembuhkan orang buta dan orang berpenyakit sopak dan juga menghidupkan orang mati. Nabi Muhammad saw membelah bulan dan air mengalir dari jari baginda saw. Semua itu adalah mukjizat. Penciptaan Adam as termasuk dalam kategori mukjizat. Sebab itulah ada perkara yang luar biasa, merombak hukum logik dan sebab musabab, keluar dari teori sains. Semuanya bermula dengan:
Surah al-Sajdah 32/7-9, yang maksudnya: ..........    Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalamnya daripada Roh-Nya...

Tiupan daripada Roh Allah swt itulah yang memungkinkan mukjizat berlaku pada kejadian Adam as. Hanya Allah swt sahaja yang berkuasa berbuat demikian. Sesungguhnya Dia atas tiap sesuatu adalah Maha Kuasa.


Evolusi Adam as dan Hawa dari kualiti malaikat kepada kualiti manusia sepenuhnya

Surah Ta Ha 20/120-121, maksudnya: .......Kedua-duanya memakan daripadanya (pohon itu), lalu kelihatan kepada mereka aurat mereka, dan segeralah mereka menutupinya dengan daun-daun daripada Taman (Syurga). Maka derhakalah Adam kepada Rabb (Tuhan)nya dan sesatlah dia.

Surah al-A’raf 7/20-22, yang maksudnya: Maka syaitan membisikkan kepada kedua-duanya untuk menampakkan kepada kedua-duanya apa yang tertutup daripada aurat kedua-duanya, ............. Maka apabila mereka berdua merasai pohon itu, terbukalah aurat kedua-duanya, lalu mereka menutupinya dengan daun Taman (Syurga).

Sebelum berlaku kejadian perlanggaran Adam as dan Hawa terhadap perintah Tuhan mereka, kedua-dua mereka berada dalam kualiti malaikat. Satu elemen penting dalam kejadian manusia iaitu nafsu syahwat tidak aktif, sebagaimana kejadian malaikat yang tidak ada nafsu. Bukan setakat nafsu syahwat tidak aktif, sistem pernafasan juga tidak aktif kerana pada alam malaikat kehidupan tidak memerlukan oksigen dan aliran darah. Sistem perkumahan juga tidak aktif kerana dalam alam tersebut tidak berlaku proses berpeluh dan makanan yang dimakan tidak menjadi najis. Potensi yang merangsang manusia untuk bermusuh-musuhan dan berbunuhan juga tidak aktif.

Apabila Adam as dan Hawa merasai pohon terlarang berubahlah sistem jasad mereka. Aurat mereka yang sebelum itu tersembunyi menjadi kelihatan. Sistem pernafasan, sistem perkumahan dan semua sistem kehidupan bumi menjadi aktif. Bakat dan potensi kemanusiaan Adam as dan Hawa berfungsi sepenuhnya. Azazil menderhakai perintah Allah swt, menyebabkan muncul sepenuhnya bakat aslinya ialah bakat jin dan dia menjadi iblis. Adam as dan Hawa melanggar pesanan Allah swt, menyebabkan bakat asli mereka, iaitu bakat manusia muncul sepenuhnya. Oleh kerana organ dan sistem tubuh Adam as dan Hawa sudah berfungsi sebagai manusia biasa, mereka tidak lagi sesuai tinggal di Taman (Syurga). Mereka sudah memerlukan oksigen, jantung mereka perlu mengpam darah ke seluruh tubuh, sistem perumahan sudah berfungsi dan nafsu syahwat mereka sudahpun aktif. Jika mereka lama di dalam Taman (Syurga) mereka akan mati. Atas belas ihsan Allah swt mereka dihantarkan ke bumi, tempat yang sesuai dengan sistem kemanusiaan mereka.

Surah al-Baqarah 2/36, yang bermaksud: Digelincirkan kedua-duanya oleh syaitan daripada (larangan) itu, maka (Allah) mengeluarkan keduanya dari tempat mereka berada (Syurga). Dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain; dan bagi kamu di bumi, adalah tempat menetap dan kesenangan, sehingga sampai waktu yang ditentukan.”

Surah al-A’raf 7/24-25, yang bermaksud: Dia (Allah) berfirman: “Turunlah kamu semua, sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian, dan pada bumi kamu menetap dan mencari bekal hingga sampai waktu yang telah ditentukan.” Dia (Allah) berfirman: “Dalamnya (di bumi) kamu hidup, dalamnya kamu mati, dan daripadanya kamu akan dibangkitkan.”

Adam as dan isterinya Hawa melakukan hijrah pertama dalam sejarah manusia. Mereka berhijrah dari Taman (Syurga) yang penuh dengan kesenangan ke bumi yang penuh dengan ujian. Apa yang tidak dirasai di dalam Taman (Syurga), Adam as dan keturunannya perlu menghadapinya di bumi. Di bumi ada lapar, dahaga, panas, sakit, permusuhan dan berbagai-bagai musibah. Di bumi itulah Adam as dan keturunannya menetap, hidup dan mencari bekalan sehinggalah mereka menemui ajal dan seterusnya menunggu dibangkitkan kembali. Dalam berbagai-bagai kekacauan itulah umat manusia perlu perlu membina kehidupan yang memebri mereka kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Adam as turun ke bumi tidak membawa dosanya. Sebelum dihantar ke bumi kedudukan Adam as di sisi Tuhannya sudahpun diputuskan.

Surah al-Baqarah 2/37-38, yang bermaksud: Setelah itu, Adam menerima beberapa kalimah daripada Rabb (Tuhan)nya, maka Dia menerima taubatnya (Adam); sesungguhnya Dia (Allah) Al-Tawwab (Yang Maha Menerima taubat), Al-Rahim (Yang Maha Mengasihani).

Surah Ta Ha 20-122, yang bermaksud: Kemudian Rabb (Tuhan)nya memilihnya, Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.  

Adam as menyesali kesalahannya melanggar pesanan Alah swt, lalu Adam as memohon petunjuk dari Allah swt. Pengakauan kesalahan dan permohonan diberi petunjuk menjadikan Adam as seorang hamba pilihan Allah swt. Allah swt memilih Adam as, memberinya petunjuk dengan mengajarkan cara bertaubat dan menerima taubatnya. Hamba yang melalui peringkat bersalah, menyesal, memohon petunjuk, menjadi hamba pilihan dan diterima taubatnya itulah yang layak menjalankan amanah sebagai Khalifah Alalh swt di bumi.

Surah al-Baqarah 2/38, yang bermaksud: Kami berfirman: ......... Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, sesiapa menuruti petunjuk-Ku itu, nescaya tidak ada ketakutan bagi mereka, dan tidak (pula) mereka berdukacita.”

Surah Ta Ha 20-124, yang bermaksud: (Allah) berfirman: ....... Jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan sesiapa berpaling daripada peringatan-Ku, sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.

Dua ayat di atas menjadi bekalan hijrah yang tidak ternilai harganya buat Adam as dan isterinya untuk dibawa kepada keturunan mereka. Allah swt hantarkan penanda aras dari masa ke masa. Apa juga ujian, musibah ataupun nikmat yang datang periksanya dengan penanda aras dalam menentukan halatuju dan tindakan. Allah swt hantarkan Nabi-nabi dan Rasul-rasul untuk menghamparkan jalan yang lurus, sambung bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain supaya mudah umat manusia mencari jalan kembali kepada Allah swt, jalan yang padanya tidak ada ketakutan dan dukacita, yang menyebabkan umat manusia tidak sesat dan tidak celaka. Hijrah Adam as dan isterinya ke bumi membuka laluan kepada ratusan juta manusia untuk merasai nikmat kewujudan dan kehidupan dan yang paling utama ialah kedatangan insan yang paling mulia, paling dikasihi Alalh swt, iaitulah Nabi Muhammad saw.